DSR tekad ‘lahirkan’ semula model-model lagenda Proton C99 yang lebih baik dari produksi kilang

DSR tekad ‘lahirkan’ semula model-model lagenda Proton C99 yang lebih baik dari produksi kilang

Anda mungkin dah baca tentang Proton Satria GTi yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR) baru kami naikkan sebentar tadi. Dalam artikel kali ini, kami akan sentuh lebih mendalam berkenaan pakar restorasi untuk model-model lagenda Proton dengan kod casis C99 iaitu Wira 1.8 EXi DOHC, Satria GTi dan Putra.

Ingat tak berkenaan sebuah Proton Wira 1.8 ‘tiang gol’ yang dipandu oleh Michael Schumacher pada tahun 2003? Ya, Wira berkenaan adalah milik En.Suriya Sankaran, salah seorang pengasas DSR. Seperti yang diketahui umum, Wira tersebut di pandu oleh Schumi selepas sesi sidang media di Hotel Pan Pacific Hotel di Sepang menuju ke Cyberjaya Lodge dengan mencatatkan kelajuan 236 km/j sebelum GP Malaysia 2003 berlangsung.

Ketika itu, Suriya masih lagi berkhidmat dengan Shell Malaysia, dia bertanggungjawab untuk menguruskan hospitaliti pasukan Scuderia Ferrari Marlboro sepanjang mereka berada di Malaysia. Satu lagi fakta menarik berkenaan Wira tersebut, ia adalah kereta harian Suriya termasuk sebagai pengangkutan seisi keluarga, dan ia adalah kereta yang sama digunakan dalam perlumbaan rali! Sebab itulah ketika Schumacher memandu kereta ini, rollcage dalam kabin masih lagi ada.

Wira berkenaan dibeli baru oleh Suriya pada tahun 1996, dan dia menyatakan ia dibeli kerana Wira 1.8 tersebut memang kereta idamannya. Dan atas minat dalam perlumbaan rali, dia mula menyertai Kejohanan Rali Malaysia dari tahun 1997 hingga tahun 2001 dengan kereta yang sama!

Proton Wira 1.8 EXi berkenaan sememangnya dihasilkan oleh Proton sebagai model ‘homologation special’ untuk perlumbaan rali yang mendapat seliaan dari FIA. Oleh itu, badan kereta ini sememangnya dihasilkan lebih kuat dari Wira biasa bagi membolehkan ia ditranformasi sebagai jentera rali dengan mudah.

Jadi Suriya hanya perlu memasang rollcage yang mudah di buka pasang (boleh dibuka selepas habis rali, dan Wira ini kembali menjadi kereta keluarga), menukar suspensi dan tayar yang sesuai untuk permukaan gravel, serta hanya melakukan ubahsuai ringan terhadap enjin 1.8 liter 4G93P berkenaan.

Walaupun tidak pernah menjadi juara ketika menentang kereta-kereta rali sebenar dari pasukan-pasukan besar dalam negagra ketika itu, Suriya mempamerkan keputusan yang konsisten dan berada dalam kelompok atas pungutan mata kejohanan. Pada tahun 1999, Suriya menerima tajaan sepenuhnya dari majikannya iaitu Shell untuk berlumba sepanjang musim berkenaan.

Dari industri minyak dan gas, Suriya kemudiannya beralih ke industri automotif sebenar pada tahun 2005, dalam masa yang sama menyumbang pengalamannya pasukan Honda Malaysia Racing Team. Dia kemudiannya berhijrah ke Proton sebagai antara orang penting yang menguruskan pasukan Proton R3 dari tahun 2008 hingga tahun 2012, aktif bersama Datuk Razak Dawood dan pasukan Mellor Elliot Motorsport (MEM), termasuk ketika Proton Motorsport berlumba dalam IRC dan APRC dengan Satria Neo S2000.

Selain terlibat dalam perlumbaan, ketika bersama dengan Proton R3 Suriya antara yang terlibat dalam pembangunan model-model jalan raya Proton R3 termasuk Proton Satria Neo Lotus Racing dan Satria Neo R3.

Kini, Suriya kembali berkhidmat dalam industri minyak dan gas dengan menyertai Petronas Dagangan. Namun minatnya terhadap kereta, terutamanya pada model-model C99 Proton tidak pernah luntur. Malah Proton Wira 1.8 miliknya tidak pernah dijual, dan kini digunakan sebagai pengangkutan utama anak lelakinya, Dharveen Suriya.

Seperti ayahnya, Dharveen juga mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta. Walaupun masih lagi bergelar pelajar, beliau sudahpun berpengalaman dalam urusan jual beli kereta-kereta terpakai. Jadi apabila Suriya mendapat permintaan dari rakan baiknya untuk mencari sebuah Proton Satria GTi, melihat kemahiran yang ada pada Dharveen, serta pengalamannya sendiri bersama Proton R3, idea untuk menubuhkan Dream Street Restoration pun bermula, dengan projek pertama mereka Proton Satria GTi DSR-001-C99 yang kami paparkan sebelum ini.

DSR tekad ‘lahirkan’ semula model-model lagenda Proton C99 yang lebih baik dari produksi kilang

Suriya berpandangan jauh untuk penubuhan DSR ini, oleh itu syarikat tersebut didaftarkan atas nama Dharveen. Menurut Suriya lagi, Dharveen bukan hanya mahir dalam urusan jual beli kereta, malah dia cekap dalam mencari sumber alat ganti baru dan terpakai. Buat masa sekarang, sumber alat-alat ganti terpakai dan baru DSR bukan hanya dalam Malaysia, malah Dharveen turut boleh mendapatkannya di pasaran-pasaran eksport Satria GTi seperti UK dan Australia!

Bagi setiap restorasi yang dilakukan, DSR bukan hanya mahu kereta-kereta yang dihasilkan oleh mereka sekadar baik seperti baru keluar dari kilang, sebaliknya ia disasarkan dalam keadaan 120% lebih bagus daripada itu. Jadi ini menjadi tugas untuk Suriya pula.

Untuk enjin dan transmisi, semua kereta-kereta yang direstorasi oleh DSR akan menerima khidmat cetak biru (blueprint) dari SS Motorsport Garage yang ditunjangi kenalan rapat Suriya sejak zaman dia menyumbang pengalaman dalam pasukan lumba di perlumbaan Sepang 1000km dahulu. Jadi enjin dan transmisi yang siap direstorasi oleh tangan manusia ini akan memberikan prestasi yang lebih baik dari enjin-enjin yang dipasang di kilang dengan proses produksi besar-besaran.

DSR tekad ‘lahirkan’ semula model-model lagenda Proton C99 yang lebih baik dari produksi kilang

Manakala untuk bahagian lain seperti suspensi dan juga komponen-komponen mekanikal serta bahagian dalaman, Suriya akan bekerjasama semula dengan pembekal-pembekal OEM Proton yang menghasilkan peralatan-peralatan tersebut satu ketika dulu. Produk yang dihasilkan bukan sahaja akan memberikan kualiti sebaik barang asli, malah lebih baik daripada itu kerana ada rekaan dan material diubahsuai menggunakan teknologi yang lebih maju pada masa sekarang.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan sebuah jentera-jentera Proton C99 dari Dream Street Restoration ini, jangan segan silu untuk berhubung terus dengan Suriya atau Dharveen. Mereka kini mempunyai stok kereta untuk ketiga-tiga model berkenaan yang masih belum direstorasi, bersama stok-stok alat ganti yang sudah pun bersedia.

Sebaik sahaja anda pilih dan bersetuju sahaja dengan segala kos yang dilampirkan, projek akan terus bermula dan anda akan menjadi pemilik untuk unit istimewa Wira 1.8, Satria GTi atau Putra dengan nombor siri DSR-002-C99 pula.

Artikel penuh berkenaan Satria GTi ’00 DSR pada PAUTAN INI.

GALERI: Proton Satria GTi ’00 DSR-001-C99

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Vishnu @ Ray on Sep 11, 2020 at 4:04 pm

    One of the best engineering team I’ve known actually. These experts are purely qualified on grooming the proud C99 Legacy back into action. Trusted humble advisors.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required