Anda pernah dengar Singer Vehicle Design? Firma kejuruteraan dari Los Angeles Amerika Syarikat tersebut menjalankan kerja-kerja restorasi untuk Porsche 911 klasik, yang bukan sahaja boleh merubah sesebuah kereta lama itu menjadi seakan baharu, malah diolah dengan spesifikasi lebih baik dari yang dihasilkan kilang, dalam masa yang sama masih mengekalkan karekter asal model ikonik tersebut.

Dengan idea yang sama, Suriya Sankaran dan anaknya, Dharveen Suriya telah menubuhkan Dream Street Restoration (DSR) tahun ini, dan kepakaran mereka bukanlah model-model ikonik dari jenama luar negara, sebaliknya adalah model-model lagenda dengan kod casis C99 dari Proton iaitu Satria GTi, Wira 1.8 EXi DOHC (tiang-gol) dan juga Proton Putra.

Kenapa Proton C99? Untuk yang mengikuti perkembangan sukan rali dalam negara, mungkin nama Suriya Sankaran bukanlah asing. Anak jati Pulau Pinang ini berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia pada era lewat 90’an dengan Proton Wira 1.8 miliknya, bertarung dengan nama-nama besar seperti Karamjit Singh, Saladin Mazlan, Jimmy Low dan ramai lagi.

Suriya juga pernah berkhidmat dengan Honda Malaysia dan menyertai Honda Malaysia Racing Team (ini adalah pasukan rasmi Honda Malaysia yang diwujudkan seakan ‘aktiviti ko-kurikulum’ untuk kaki tangan mereka yang berminat dengan sukan permotoran), kemudian berhijrah ke Proton sebagai antara orang penting yang menguruskan pasukan Proton R3 dari tahun 2008 hingga tahun 2012.

Selain terlibat dalam perlumbaan, ketika bersama dengan Proton R3 Suriya antara yang terlibat dalam pembangunan model-model jalan raya Proton R3 termasuk Proton Satria Neo Lotus Racing dan Satria Neo R3. Jadi dengan pengetahuan yang dikutip semasa berkhidmat dengan R3 kini digunakan sebagai asas kepada DSR.

Proton Satria GTi keluaran tahun 2000 yang anda lihat ini adalah hasil restorasi pertama DSR. Kereta ini ditemui oleh Suriya dan Dharveen dalam keadaan menyedihkan kerana terlalu lama tersadai, dan ia sebenarnya baru siap direstorasi serta telah pun mempunyai tuan baru, hanya menunggu masa untuk dihantar.

Menurut Suriya, kereta ini direstorasi oleh DSR bukan sekadar mahu berada tahap seperti baru keluar dari kilang, tetapi memperbaiki kekurangan yang ada pada kereta tersebut, menghasilkan produk-produk mekanikal dan kosmetik baharu dengan jenama DSR, bagi memastikan ia pada tahap 120% lebih baik dari kondisi ketika pemilik pertamanya membawa pulang kereta ini dari bilik pameran.

Langkah pertama yang dibuat oleh DSR selepas membawa pulang kereta ini adalah ‘membaraikan’ kesemua komponennya. Badan kosong kereta ini telah dihantar untuk di cat semula, di mana semua ‘bahan-bahan’ untuk mengecat telah dibeli dan dipilih sendiri oleh DSR bagi memastikan kualiti akhirnya memenuhi standard yang mereka mahukan.

Bahagian dalaman kereta ini ketika ‘diselamatkan’ berada dalam keadaan yang cukup teruk. Oleh itu mana-mana panel yang telah rosak telah digantikan, manakala bahagian yang masih boleh diselamatkan seperti pelapik bumbung, papan pemuka, dibersihkan dan diperbaiki semula agar kelihatan baru. Tempat duduk pada GTi ini juga telah dibasuh, dan dibalut semula dengan fabrik yang dibekalkan oleh pengilang OEM asal Recaro Njoy berkenaan.

Kalau anda perasan, GTi ini telah diberikan set karpet baharu dengan logo DSR – menurut Suriya, karpet ini juga telah dihasilkan semula oleh pihak yang sama membekalkan karpet kaki asli kepada Proton, dan ia dibuat dengan rupa dan kualiti yang sama.

Selain itu, DSR turut menghasilkan semula aksesori dalaman lain dengan jenama mereka seperti tombol gear dan juga set pedal aloi. Komponen-komponen ini masih mengekalkan rupa kelengkapan asal Satria GTi, namun dihasilkan dari material yang lebih berkualiti.

Roda stereng asal Satria GTi ini telah digantikan dengan roda stereng asli Momo Race, manakala untuk sistem bunyi pula, unit pemain audio utama asli GTi telah digantikan dengan pemain audio dari Nakamichi.

Setelah enjin 4G93P 1.8 liter DOHC Satria GTi ini dikeluarkan dari perutnya, ia bukan hanya sekadar mahu dirombak rawat. Sebaliknya, enjin berkenaan dibawa ke SS Motorsport Garage yang dioperasikan oleh individu sama dalam satu pasukan lumba yang telah berberapa kali menjadi juara perlumbaan Merdeka Millenium Endurance dan juga Sepang 1000km, untuk melalui proses cetak biru (blueprint).

Dengan proses ini, enjin berkenaan bukan hanya boleh beroperasi dengan prestasi sebaik ketika ia masih baru, malah lebih baik daripada itu. Ini kerana pemasangannya dilakukan oleh tangan manusia dengan deria yang lebih teliti dan bukan oleh robot di kilang. Ia sama seperti proses “satu orang, satu enjin” oleh Mercedes-AMG, atau “Takumi” di kilang enjin Yokohama Nissan yang memasang enjin VR38DETT GT-R R35.

Tiada sebarang ubahsuai pada komponen enjin ini seperti penggunaan aci sesondol dengan durasi lebih tinggi atau roda tenaga yang lebih ringan – semuanya masih lagi menggunakan komponen standard. Malah omboh dan juga masih dalam dimensi asal, dan dinding silinder hanya digilap semula dengan proses honing. Cuma aci engkol enjin tersebut telah diimbang semula.

Semasa proses pemasangan semula ‘isi perut’ enjin ini, ia bukan hanya dipasang dengan toleransi seperti yang dicatatkan dalam manual bengkel Proton untuk enjin tersebut. Tetapi proses yang dilakukan dengan tangan berkenaan membolehkan pemasangan itu dibuat dengan ruang kelegaan yang paling maksimum, bagi memastikan enjin tersebut beroperasi lebih lembut, lebih lancar dan lebih jitu berbanding enjin yang dihasilkan secara produksi besar-besaran di kilang.

Meter perbatuan Satria GTi ini telah disetkan semula kepada ‘0’, ini bermakna sebaik sahaja enjin yang telah siap ini dihidupkan, ia terlebih dahulu perlu melalui proses break-in seperti kereta baharu, dan setelah ia mencecah bacaan 1,000 km nanti, minyak enjin perlu ditukar sekali lagi, macam anda baru beli kereta baru.

Dan, untuk pemilik baharu nanti, segala maklumat, spesifikasi dan juga perincian yang dibuat dalam proses blueprint akan dibukukan dan diberikan sekali.

Proses yang sama juga telah dibuat pada kotak gear lima kelajuan manual Satria GTi ini, di mana segala gasket, bearing dan juga komponen haus dan lusuh ditukar baharu. Bahagian luar enjin dan kotak tersebut bukan hanya dibersihkan dengan proses sandblasting, ia juga telah diwarnakan semula dengan proses powdercoat supaya ia nampak baru. Untuk menambah nilai eksklusif, satu plat aluminium dengan nombor siri unik DSR juga telah dilekatkan pada unit throttle body enjin berkenaan.

Jika anda perhatikan ruang enjin ini, segala skru, nat dan cagak juga nampak seperti baru bukan? Ini kerana DSR telah menghantar kesemua komponen tersebut untuk disalut dengan kadmium, yang bukan sahaja memberikan rupa seperti komponen baru, malah turut memberikan pelindungan untuk bertahan lebih lama.

Setelah badan kereta ini siap, ia dipulangkan semula dan proses pemasangan semula komponen dalam kabin, dalam ruang enjin serta segala komponen mekanikal lain bermula.

Pasti ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan sistem suspensi di mana banyak komponen GTi ini tidak berkongsi dengan Satria biasa dan alat gantinya semakin sukar didapati? Sekali lagi, dengan hubungan yang sudah terjalin dengan pembekal-pembekal OEM terdahulu, komponen-komponen tersebut dapat dihasilkan semula, malah ada rekaan komponen-komponen getah termasuk bushing dan cagak-cagak enjin diolah semula serta diperbuat dari material lebih baik yang boleh diperolehi pada masa sekarang.

Penyerap hentak lama ditukar dengan unit baharu tetapi masih dalam spesifikasi standard, manakala untuk spring pula Satria GTi ini menerima satu set spring baharu dengan spesifikasi yang sama seperti Satria R3 di mana ia bukan sahaja membuatkan badan kereta ini lebih rendah, malah mengurangkan daya olengan bagi memberikan lebih kestabilan ketika ia dibelasah di selekoh dengan kelajuan tinggi.

Untuk brek, semua angkup hadapan dan belakang telah dirombak rawat semula, dan ini satu lagi set komponen yang disalut dengan kadmium. Cakera brek hadapan dan belakang juga telah ditukar dengan komponen asli baharu. Manakala untuk roda, rim asal 16-inci GTi ini di ‘tegak’kan semula, dicat dengan warna asal menggunakan proses oven baked, dan akhirnya dibaluti dengan tayar Continental MaxContact MC6 bersaiz 205/45R16.

Setelah semua bahagian dicantumkan semula, DSR melakukan peincian akhir seperti talaan dan larasan pada sistem-sistem mekanikal, dan juga melakukan proses detailing pada cat badan, cermin-cermin dan juga pada lampu-lampu yang ada pada Satria GTi ini. Segala emblem asli pada badan GTi ini juga ditampal semula, namun untuk tulisan ‘Proton’ pada but belakang telah digantikan dengan pelekat yang lebih kecil mengikut ukuran model pasaran UK, manakala logo DSR di atasnya pula dihasilkan secara airbrush yang eksklusif.

Tak pernah sekali pun sepanjang kerjaya saya sebagai jurnalis ditawarkan untuk memandu kereta-kereta sebegini selain dari kereta-kereta baharu untuk tujuan artikel pandu uji dari pengeluar-pengeluar. Kali ini, Suriya dengan senang hati menawarkan saya untuk memandu uji Satria GTi yang diberi nombor siri unik DSR-001-C99 ini.

Ketika kereta ini dilancarkan pada tahun 1998, saya antara budak sekolah yang mengimpikan untuk memiliki hot-hatch Proton yang bukan sahaja menerima talaan, malah dengan gaya asli Lotus ini. Jadi dengan rasa terharu, pelawaan ini saya sambut dengan hati yang riang gembira. Rasa macam nak menangis pun ada, tapi kena la control macho.

Pada saya Satria GTi ini adalah sebuah kereta yang begitu beremosi. Setiap kali pedal pendikit di tekan, bunyi induksi sedutan udara ke dalam kebuk pembakaran kedengaran jelas, membuatkan pemandu mahu menekannya lagi dan lagi. Ia adalah bunyi yang dihasilkan secara semula jadi, dan bukan bunyi yang sengaja dibuat-buat seperti yang ada pada kebanyakkkan model-model sport sekarang.

Satu lagi yang saya perasan, dengan proses blueprint yang dibuat pada enjin, ia kini beroperasi dengan lebih stabil dan memberikan respon yang cukup baik. Pada kelajuan sekitar 60-70 km/j dengan kedudukan gear 4, tidak ada masalah langsung untuk anda memecut untuk memotong kereta di hadapan tanpa menurunkan gear.

Tekan sahaja pedal pendikit, ia terus ‘pergi’ tanpa rasa sebarang gegaran ketika ia mula untuk memecut. Boleh dikatakan enjin ini ‘hidup’ dan memberikan tujahan pada setiap kedudukan gear. Memang terasa seperti ‘berhantu’ betul.

Untuk stereng dan suspensi, Satria GTi ini memberikan respon yang ‘terus’ kepada pemandu, seolah-olah anda dapat merasakan permukaan jalan pada tangan yang memegang stereng. Sekali lagi, ‘rasa’ yang diberikan ini adalah telus dari rekaan-rekaan mekanikal, dan bukan rasa-rasa yang dibuat-buat dengan sistem elektronik seperti pada kereta-kereta baharu.

Anda mungkin seronok untuk memandu Mercedes-AMG A45 yang dibekalkan dengan kuasa yang tak masuk akal, bersama sistem komputer yang mengawal brek dan juga agihan tork pada setiap roda yang dilakukan oleh komputer, membuatkan anda rasa seperti seorang pemandu profesional.

Namun pengalaman untuk mengendalikan kereta yang masih penuh dengan sistem mekanikal yang mana otak yang mengawalnya bukan komputer, tetapi otak pemandu sendiri seperti Satria GTi ini, ia adalah satu kepuasan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Sekali lagi, terima kasih En. Suriya kerana sudi memberikan saya pengalaman ini.

Walaupun kereta ini sudah ada tuan yang baru, jika anda berminat untuk memiliki Satria GTi atau model-model C99 Proton yang lain seperti Wira 1.8 EXi DOHC dan juga Putra, jangan segan silu untuk berhubung terus dengan Suriya atau Dharveen.

Menurut Suriya, kereta dan juga segala alat ganti untuk ketiga-tiga model tersebut sudah pun ada, tinggal anda pilih dan bersetuju sahaja dengan segala kos yang dilampirkan, projek akan terus bermula dan anda akan menjadi pemilik untuk unit istimewa dengan nombor siri DSR-002-C99 pula!

Lebih cerita berkenaan latar belakang Dream Street Restoration ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.