Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

Minggu lalu, kami telah memaparkan dua buah model penuh Proton yang dihasilkan oleh sayap perlumbaan rasmi mereka, Race.Rally Research (R3) iaitu Satria R3 dan Satria Neo Clubsport. Tak lengkap rasanya jika kami tidak mengimbau dua lagi model lagenda yang pastinya akan menjadi rebutan pengumpul kereta pada masa akan datang (sekarang pun nampak dah mula) iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing dan juga Satria Neo R3.

Kita mulakan dahulu dengan model paling mahal pernah dihasilkan oleh R3 iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing. Seperti yang kita tahu, sebelum 49.9% pegangan Proton diambil alih oleh Geely pada 2017, jenama kereta sport dari British iaitu Lotus adalah jenama yang bernaung di bawah Proton.

Jadi bagi meraikan kembalinya semula Lotus ke perlumbaan Formula 1, Proton telah menghasilkan Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan pengeluaran hanya sebanyak 25-unit pada tahun 2010. Bukan sahaja jumlahnya yang begitu terhad, malah dengan pelbagai peralatan prestasi yang bukan calang-calang dipadankan pada model istimewa ini, ia dijual pada harga RM115,000!

Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

Neo Lotus Racing ini masih dijana oleh enjin 1.6 liter sama seperti enjin CPS pada model standard. Namun ia telah menerima sentuhan semula dari R3 dengan pemadanan aci sesondol dan sistem ekzos istimewa bersama header yang diperbuat dari titanium, kotak angin untuk sistem kemasukan diperbuat dari gentian karbon serta talaan kotak komputer yang telah diolah, membolehkan kuasa asal 125 Nm/150 Nm melonjak kepada 145 Nm dan tork maksima 168 Nm.

Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan bagi memacu roda hadapan. Namun kotak gear tersebut tetap menerima sentuhan semula dari R3 dengan nisbah gear yang lebih sesuai. Menurut R3, Neo Lotus ini mampu untuk menjerit hingga 7,500 rpm pada setiap gear membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j.

Pengendalian yang sudah pun diakui sangat baik pada Satria Neo standard di mantapkan lagi menerusi pemadanan penyerap hentak bersama spring boleh laras sepenuhnya dari jenama perlumbaan terkenal dari Sweden iaitu Öhlins. Kemudian, sistem brek hadapan telah diganti dengan cakera dan angkup empat-silinder yang jauh lebih besar keluaran AP Racing.

Neo istimewa ini kemudiannya menerima set rim 16-inci pelbagai-jejari khas yang lebih ringan, serta diberikan tayar berprestasi tinggi Bridgestone Potenza Adrenalin RE001 205/45R16 secara standard dari kilang.

Pada bahagian luaran, Neo Lotus ini turut diberikan perincian yang cukup istimewa. Ia hadir dengan kit badan FRP terdiri dari bampar hadapan yang diberikan liang udara lebih besar, skirt sisi lebih labuh, bampar belakang yang diberikan liang udara serta diffuser agresif dan spoiler bumbung.

Ia turut disertakan dengan fender hadapan yang diberikan liang udara bersama kemasan dengan logo ‘Lotus Racing’ dan menempat lampu isyarat membelok, manakala penutup bonet hadapan pula diperbuat dari gentian karbon. Dengan segala kelengkapan ini, sebanyak 62 kg berat berjaya dibuang dari asal, menjadikan ia kini hanya seberat 1,150 kg.

Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

Kereta ini diberikan ‘warna perlumbaan kebangsaan’ Britain iaitu British Racing Green serta jalur badan dari belakang hingga hadapan berwarna kuning.

Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tempat duduk R3 balutan kulit Nappa berwarna hijau dan fabrik seakan gentian karbon yang lebih sporty, bersama sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala. Bahagian lain seperti kemasan pada papan pemuka, panel pintu, perumah tuil gear turut diberikan serlahan warna hijau yang sama.

Tiada roda stereng Momo diberikan, sebaliknya roda stereng asal Satria Neo yang masih mempunyai beg udara digunakan kembali, tetapi ia dibalut semula dengan kulit bersama penanda tengah dan serlahan jahitan benang berwarna kuning seperti pada tempat duduk. Juga model istimewa ini turut diberikan butang penghidup enjin tetapi ia masih memerlukan kunci seperti Honda Civic Type R FD2R.

Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

Setahun selepas Neo Lotus Edition ini diperkenalkan, Proton melancarkan pula Satria Neo R3, iaitu versi yang lebih mampu milik serta dihasilkan lebih banyak tetapi masih terhad dengan pengeluaran hanya 150-unit sahaja.

Neo R3 2011 menggunakan konfigurasi enjin yang sama seperti Neo Lotus Racing, dengan bekalan kuasa 145 hp dan tork maksima 168 Nm terus dari kilang dari enjin 1.6 liter CPS berkenaan. Tiada suspensi Öhlins dan brek dari AP Racing pada versi ini, namun ia tetap menerima talaan pengendalian lebih unik dari Neo CPS biasa.

Pada bahagian luar, Neo R3 ini menggunakan asas rupa Neo CPS dengan bampar hadapan dan belakang yang sama dan juga overfender yang mengingatkan kita semula pada Satria GTi. Sentuhan R3 diberikan menerusi spoiler bawah bampar hadapan, spoiler bumbung belakang yang lebih ‘congek’, dan juga rim 16-inci asli R3 dengan offset lebih ngam dengan fender (rim pada CPS nampak lebih ‘kuncup’ kedalam). Kesemua 150-unit Proton Satria Neo R3 ini hanya hadir dengan warna badan Fire Red.

Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tema warna yang sama seperti diluar iaitu merah-hitam yang diberikan pada tempat duduk lebih sporty yang diletakkan lebih rendah, papan pemuka, panel pintu dan perumah tuil gear. Roda stereng turut dibalut kulit dengan penanda tengah dan serlahan benang merah, serta diberikan butang penghidup enjin sama seperti Neo Lotus.

Namun pada tahun 2012, Proton sekali lagi melancarkan satu model yang diberikan nama ‘Satria Neo R3’, tetapi anda jangan keliru, kerana ini sebenarnya hanyalah Neo CPS yang diberikan aksesori kosmetik R3, dijual pada harga yang lebih murah, dan ia juga sebenarnya adalah versi ‘selamat tinggal’ untuk Neo kerana ini adalah kumpulan terakhir Satria Neo yang dihasilkan oleh kilang Proton.

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing 2010

Proton Satria Neo R3 2011

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required