Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan rollcage ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

Anda tentu tahu kan memang ada pengeluar yang menghasilkan kereta produksi jalanan yang diberikan rollcage standard dari kilang, seperti Porsche 911 GT3 RS dan Volkswagen Golf GTI Clubsport S? Model-model sebegini biasanya dihasilkan oleh pengeluar sebagai sebuah model yang dijual di bilik pameran, sah digunakan di jalan raya, dalam masa yang sama turut sah untuk digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan litar dalam kelas Clubsport atau one make race.

Tetapi tahukah anda bahawa Proton juga pernah menghasilkan model sebegini? Ya, menerusi sayap perlumbaan rasminya iaitu Proton R3, jenama automotif nasional ini pernah menjual Satria Neo dengan rollcage dari kilang yang sah digunakan di jalan raya, digelar sebagai Satria Neo R3 Clubsport.

Model ini diperkenalkan pada tahun 2008, waktu itu Proton R3 masih diterajui oleh Prince of Drift Tengku Djan Ley, namun Neo Clubsport ini dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad iaitu hanya 25-unit, dan satu siri perlumbaan one make turut dirancang ketika itu (pembeli kereta ini wajib untuk menyertai perlumbaan tersebut).

Neo Clubsport ini juga bukan diasaskan dari model tertinggi CPS, tetapi dihasilkan dari versi 1.6 liter manual biasa – untuk yang biasa berlumba dengan enjin S4PH Proton, mereka pasti tahu bahawa enjin asas Campro ini sebenarnya lebih mudah diubahsuai berbanding versi CPS walaupun kuasa kuda dari kilang lebih rendah.

Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

Jadi pada bahagian luaran, ia tidak diberikan kit badan Neo CPS, namun ia tetap menerima perincian istimewa dari R3 termasuk spoiler bawah bampar hadapan dan spoiler bumbung R3 menampilkan sayap yang direka dengan sudut attack lebih agresif sama seperti pada Neo Lotus Edition.

Selain itu, ia turut diberikan perincian-perincian kereta lumba sebenar seperti sepasang bonnet pin pada bonet hadapan, cangkuk tunda pada bampar hadapan, kill switch pada penutup cowl hadapan untuk memutuskan bekalan elektrik sekiranya kereta terlibat dalam kemalangan serta sepasang klip pada pintu tailgate belakang.

Bagi menandakan ia bukan model biasa, pelekat R3 Clubsport dilekat pada bahagian hadapan ruang roda belakang, serta satu lagi di pintu tailgate belakang yang turut memaparkan grafik litar Sepang seakan logo grafik litar Nürburgring. Kesemua unit Neo R3 Clubsport ini dilengkapkan dengan pemandanan rim aloi R3 15-inci dengan tayar Brigestone Potenza RE001 bersaiz 195/50R15.

Pada bahagian dalaman pula, kesemua karpet telah dibuang dan tempat duduk pemandu digantikan dengan tempat duduk perlumbaan bucket sepenuhnya Recaro TS-G, bersama tali pinggang perlumbaan dari Sparco. Tiada beg udara dibekalkan pada kereta ini di mana roda stereng Neo standard digantikan dengan roda stereng Momo Tuner lengkap dengan bosskit jenis quick release.

Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

Seperti yang disebutkan tadi, Neo R3 Clubsport hadir bersama rollcage enam-point yang disahkan oleh FIA dari kilang. Dan disebabkan ia telah menerima kelulusan Vehicle Type Approval (VTA) dari pihak JPJ bagi membolehkan Proton menjual kereta ini secara rasmi dengan nombor pendaftaran dan cukai jalan, rollcage pada Satria Neo R3 Clubsport ini adalah sah digunakan di atas jalan raya biasa.

Selain itu, kabin model istimewa ini turut diberikan dan satu lagi kill switch yang diletakkan di atas unit pemain audio utama, dan plat pengesahan bahawa ia adalah jentera asli yang dihasilkan oleh R3 dilekat pada sebelah kiri terowong tengah yang boleh anda lihat dengan jelas dari tempat duduk penumpang hadapan.

Pada bahagian enjin, R3 telah menukar aci sesondol asal dan melakukan pengubahsuaian ringkas pada sistem kemasukan udara, ekzos, talaan semula pada kotak komputer enjin. Ini membolehkan kuasa asal 110 hp melonjak kepada 137 hp. Ia turut diberikan set suspensi boleh laras R3 yang bukan sahaja dapat memberikan stance yang lebih cantik, malah menghasilkan pengendalian yang jauh lebih baik.

Anda mungkin tergelak mendengar bahawa kereta ini hanya menjana 137 hp bukan? Untuk pengetahuan anda, dalam keadaan standard dengan berat hanya 1,050 kg, Satria Neo R3 Clubsport ini mampu mencatatkan rekod lap terpantas di litar Sepang dengan masa di bawah 3 minit!

Secara keseluruhan, kesemua tingkat taraf yang diberikan oleh R3 pada Satria Neo Clubsport ini adalah bernilai RM29k, dan kereta ini dijual pada harga RM75k ketika itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required