Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Race.Rally.Research atau R3 adalah sayap perlumbaan rasmi untuk jenama Proton yang beroperasi di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) Shah Alam, kesinambungan dari pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) yang telah wujud sejak era 80’an. Dan pasukan Proton R3 ini bukan sahaja menjadi gergasi dalam dunia sukan permotoran di Malaysia tidak kira dalam disiplin rali atau litar, malah mereka turut menghasilkan peralatan berprestasi tinggi untuk kereta-kereta Proton.

Terma ‘prestasi tinggi’ ini bukan sekadar gimik imej dengan penghasilan aksesori kosmetik seperti kit badan dan set rim sahaja semata-mata, mereka benar-benar bertindak sebagai badan penala rasmi sama dengan pengeluar-pengeluar lain seperti TRD untuk Toyota dan Nismo untuk Nissan.

Selain menghasilkan peralatan tingkat taraf tersebut, Proton R3 turut dikenang dengan penghasilan model-model lengkap dari mereka seperti Satria Neo R3 Clubsport yang kami tampilkan tempoh hari, dan nampaknya semakin menjadi buruan pengumpul-pengumpul kereta buat masa sekarang. Dari pelbagai model yang telah dihasilkan tersebut, ini adalah model lengkap pertama yang dihasilkan oleh R3 untuk dijual secara rasmi – Proton Satria R3.

Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 150-unit, diperkenalkan pada tahun 2004. Projek ini diterajui oleh Ketua Projek Istimewa Divisi Sukan Permotoran Proton ketika itu, Adian Yein Khalid yang kini telahpun bersama kami sebagai bos besar untuk siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF).

Proton Satria R3 ini diasaskan dari Satria GTi, iaitu hot-hatch Proton yang muncul pada tahun 1998 hasil kerjasama dengan pembuat kereta sport dari British, Lotus. Manakala spesifikasinya pula dibangunkan dari Satria GTi yang dihasilkan oleh R3 untuk perlumbaan gaya Gymkhana, Street Shootout atau SSO.

Pengubahsuaian yang dilakukan bagi menghasilkan Satria R3 ini juga agak ekstensif, dan tidak keterlaluan untuk kita sifatkan apa yang dibuat oleh R3 terhadap Satria ini adalah hampir sama apa yang dilakukan oleh Honda untuk merubah sebuah Civic biasa kepada sebuah model Civic Type R sebenar.

Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Pertama sekali, casis Satria berkenaan dikeraskan lagi dari model biasa seperti proses yang dilakukan terhadap sebuah kereta lumba, iaitu dengan menggandakan kimpalan-kimpalan pada cantuman komponen-komponen casis berkenaan. Ini bagi memastikan kerangka model ini adalah lebih tegap dan solid seterusnya memberikan pengendalian yang lebih baik dengan body flex yang minima.

Kemudian, R3 memberikan talaan semula terhadap suspensi kereta ini berdasarkan kerangka yang lebih keras ini. Talaan baharu berkenaan memberikan pengendalian yang lebih jitu, dengan respon tepat dapat diberikan kepada pemandu. Ia juga diberikan tower bar untuk suspensi hadapan dan belakang secara standard.

Berat model istimewa ini juga telah dikurangkan dengan membuang penebat-penebat bunyi serta kemasan-kemasan yang tidak diperlukan untuk tujuan mendapatkan kelajuan. Karpet lantai pada Satria ini masih lagi ada, tetapi ia telah ditukar menggunakan karpet dengan material lebih ringan. Seiring dengan falsafah pengasas Lotus, Sir Colin Chapman yang menyatakan “to add speed, add lightness,” segala kerja-kerja untuk mengurangkan berat berkenaan menyumbang kepada karekter lebih lincah di selekoh pada Satria R3 ini.

Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Satria R3 tidak diberikan rim sama dengan GTi standard, sebaliknya diberikan rim aloi 16×7 inci lima jejari yang lebih ringan, dan dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD07 yang dibekalkan standard dari kilang bersaiz 205/45R16. Untuk brek pula, kesemua angkup pada model ini dipadankan dengan pad Mintex M1144 bersama cakera yang ditebuk.

Proton Satria R3 masih diberikan enjin yang sama seperti Satria GTi iaitu unit 4G93P 1.8 liter empat-silinder. Pengurusan enjin tersebut diuruskan oleh kotak komputer Siemens EMS 400 serta menerima sistem ekzos yang disemak semula (tiada lagi tip ekzos berkembar seperti GTi), membolehkan ia menghasilkan kuasa 140 hp dan tork maksima 148 Nm.

Ini membolehkan model istimewa berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 205 km/j. Menurut Proton, dengan segala kelengkapan yang dibekalkan ini, Satria R3 mampu untuk mencatatkan rekod lap terpantas 2 minit 55 saat di Litar Sepang dan 1 minit 59 saat di Litar Pasir Gudang, Johor.

Proton Satria R3 2004 – ‘Type-R’ dari Shah Alam!

Pada bahagian luaran, Satria R3 ini masih menggunakan kit badan yang sama (bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan overfender) dengan Satria GTi. Spoiler belakang juga nampak sama tetapi pada model R3 ini ia dihasilkan dari bahan gentian karbon yang lebih ringan.

Jika GTi hanya hadir dengan warna badan perak, model R3 ini pula hanya ditawarkan dengan warna badan Incognito Black, bersama jalur sisi badan ikonik R3 berwarna merah.

Pada bahagian kabin pula, roda stereng dengan beg udara pada Satria GTi standard ditukar dengan roda stereng Momo Tuner. Manakala tempat duduk hadapan Recaro LS ‘bantal’ digantikan dengan sepasang tempat duduk Recaro SR4 yang kelihatan lebih mirip seperti tempat duduk perlumbaan sebenar.

Secara keseluruhan, kemasan dalaman kabin Satria R3 ini diberikan tema hitam-merah, bersama tali pinggang keledar yang juga berwarna merah serta kemasan-kemasan plastik lain diberikan warna titanium gelap. Ia masih hadir dengan unit pemain utama Clarion 2-Din bersama empat pembesar suara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required