DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Kami dah siarkan berkenaan Dream Street Restoration (DSR) sebelum ini, iaitu firma restorasi yang dibentuk oleh pemandu rali dan juga bekas ahli pasukan Proton R3, Encik Suriya Sankaran bersama anaknya Dharveen Suria, yang pakar untuk melahirkan semula model-model dari casis C99 Proton (Wira 1.8 EXi, Satria GTi, Putra dan Satria R3). Kalau anda belum baca, boleh bacanya pada PAUTAN INI.

Malah hasil pertama restorasi DSR iaitu sebuah Proton Satria GTi keluaran tahun 2000 dengan plat DSR-001-C99 telahpun kami paparkan dengan terperinci sebelum ini (kalau belum baca, boleh tengok di PAUTAN INI). Sekarang, mempersembahkan, hasil restorasi kedua yang dihasilkan DSR dengan plat DSR-002-C99 – model edisi terhad yang hanya ada 150 unit di atas muka bumi ini – Proton Satria R3!

Beruntungnya kami kali ini, penulis bukan sahaja dapat melihat sebuah kereta yang menjadi idaman ketika zaman remaja dulu (sehingga sekarang) dalam keadaan yang hampir sama ketika ia keluar dari kilang pada tahun 2004 hingga 2005, dengan hubungan Suriya yang masih rapat dengan ahli-ahli pasukan R3 yang lain, artikel kali ini kami turut akan merungkai fakta-fakta sahih yang mungkin akan membuat kening anda ternaik-naik berkenaan Satria R3 ini, dan tidak pernah tersiar dalam mana-mana media sebelum ini.

Anda mungkin lihat Satria R3 ini merupakan versi tingkat taraf Satria GTi dari segi rupa dan berberapa perincian prestasi. Namun menurut Suriya, proses restorasi Satria R3 ini jauh lebih mencabar kerana kereta ini walaupun nampak seakan sama dengan GTi, disebalik kulitnya ia adalah model yang benar-benar bespoke dan banyak komponen mekanikal yang tidak boleh ditukar pakai antara GTi biasa dan Satria R3 ini.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Berbanding Satria GTi DSR-001 sebelum ini yang diterima selepas ia ditinggalkan dalam keadaan tidak terjaga dalam tempoh masa yang cukup lama, asas untuk projek kali ini adalah sebuah kereta yang kurang berjalan dan dijaga dengan elok. Namun pemilik terkini Satria R3 berkenaan membeli kereta tersebut dalam keadaan badannya telah dilayangkan dengan warna lain, bampar hadapan sudah ditebuk-tebuk, spoiler asli gentian karbon R3 sudah lagi tiada, malah suspensi asal juga telah ditukar menggunakan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya.

Kereta ini dihantar untuk direstorasi sudah tentu selari dengan matlamat DSR, iaitu menjadikan ia menjadi sebaik atau lebih baik dari keadaannya selepas keluar dari barisan produksi di kilang dahulu. Dan seperti proses restorasi sebenar yang lain, ia dimulakan dengan membuka semula semua komponen luar dan dalam yang terlekat pada kerangka badan untuk dibersihkan, dirawat dan dicat semula.

Ok, tentu ada daripada anda pernah dengar cerita bahawa Satria R3 ini diasaskan dari Satria paling asas 1.3 dan bukan dari Satria GTi bukan? Fahamkan apa yang kami tulis ini tentang fakta sebenar kerangka Satria R3 seperti yang diceritakan oleh bekas eksekutif pembangunan produk Proton R3, Faisal Asri.

Projek untuk menghasilkan Satria R3 ini bermula ketika zaman R3 dipimpin oleh Tengku Djan Ley sebagai ketua divisi Proton Motorsport, manakala projek ini sendiri diterajui oleh Ketua Projek Istimewa Divisi Proton Motorsport ketika itu, Adian Yein Khalid yang kini telahpun bersama kami sebagai bos besar untuk siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF).

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Sebenarnya, asas untuk model edisi terhad ini bukanlah diasaskan dari kerangka Satria 1.3 atau Satria GTi.Proses produksi Satria R3 ini dimulakan di kilang utama Proton di Shah Alam. Kerangka berkenaan dipasang dengan proses cantuman dua kali lebih banyak dari kerangka Satria GTi di kilang tersebut. Contohnya, sekiranya jarak antara titik kimpalan pada kerangka Satria GTi adalah 100 mm, titik kimpalan pada Satria R3 ini adalah 50 mm.

Ini menjadikan kerangka tersebut jauh lebih kuat dari kerangka Satria GTi yang akan memberikan lenturan badan yang kurang, seterusnya memberikan pengendalian yang jauh lebih baik. Dalam kata lain, kerangka badan Satria R3 ini bukan dari Satria 1.3 mahupun Satria GTi, ia adalah kerangka bespoke khas dan anda tidak mungkin dapat menghasilkan sebuah Satria R3 convert berasaskan mana-mana Satria lain dengan kualiti yang sama.

Selepas kerangka Satria R3 ini siap, kilang utama juga menyembur cat dengan kod warna khas untuk Satria R3 ini yang diberi nama Incognito Black. Nama untuk warna hitam ini juga ada ceritanya sendiri; Pada tahun 1995 dahulu, BMW ada membuat satu iklan untuk model M3 E36 dengan memaparkan dua buah kereta berwarna kuning dan hitam dengan latar belakang hitam. Iklan tersebut turut disertakan dengan kapsyen “The new M3, in yellow or incognito” bermaksud “M3 baharu, dalam warna kuning atau tak nampak/menyamar”. Ya, nama Incognito Black tersebut adalah diinspirasikan dari iklan BMW M3 ini.

Kilang utama Proton ini juga memasang komponen lain untuk Satria tersebut termasuk enjin 1.8 liter 4G93P, tetapi badannya ia tidak diberikan sebarang material penebat bunyi, tiada sistem ABS seperti pada brek seperti Satria GTi. Ini adalah konsep yang hampir serupa yang diterapkan oleh Honda terhadap Honda Civic EK9 Type R untuk mengurangkan sebanyak mungkin berat, serta memberikan had membrek lebih tinggi kepada pemandu tanpa campur tangan sistem ABS khususnya untuk mendapatkan masa lap terbaik di litar.

Selain itu, ia hanya diberikan rim besi 14-inci, manakala kabin pula hanya diberikan kemasan asas yang sama seperti Satria 1.3 termasuk tempat duduk dan juga roda stereng urethane biasa. Dalam keadaan ini, kereta-kereta yang keluar dari barisan produksi tersebut dihantar ke fasiliti R3 untuk dilengkapkan.

Ketika R3 mengemukakan permohonan mereka bagi menghasilkan model edisi terhad ini, bos besar Proton ketika itu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff memberikan syarat bahawa model ini perlu dihasilkan bukan sebagai GTi yang ditala semula, tetapi ia adalah model yang berbeza. Pada bahagian dalaman misalnya, ada perincian-perincian kecil yang anda nampak sama antara GTi dan R3, tapi sebenarnya lain.

Panel kemasan plastik pada papan pemuka dan juga pada konsol tuil gear misalnya, pada Satria GTi ia hadir dalam warna perak bersama pemegang cawan yang tersorok di bawah corong penghawa dingin yang masih tampil dengan warna hitam pada bahagian luar. Namun untuk Satria R3, komponen yang sama diberikan warna titanium gelap. Satu lagi pada set pedal aloi, walaupun rekaan pada model R3 ini nampak sama seperti pedal GTi, tiada lagi logo ‘GTi’ pada pedal berkenaan menandakan ia tiada kaitan dengan Satria GTi.

Di fasiliti R3, segala komponen asas yang dibekalkan dari kilang utama telah ditanggalkan kembali dan kemudian staf-staf R3 menggantikan komponen unik dari mereka antaranya sepasang tempat duduk bucket Recaro SR4, tempat duduk belakang dengan balutan fabrik yang sama seperti tempat duduk hadapan, roda stereng Momo Tuner dengan bosskit R3 20 mm, tombol gear gentian karbon, karpet kaki R3, balutan fabrik merah pada panel pintu dan juga tali pinggang keledar juga berwarna merah.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Kalau anda perhatikan, Satria R3 ini juga hadir dengan cermin sisi manual tanpa larasan berkuasa elektrik pada GTi. Alasannya tetap sama, untuk mengurangkan sebanyak mungkin beratnya. Malah, karpet besar pada kabin Satria R3 ini juga sebenarnya lebih nipis dari karpet Satria biasa semata-mata mahu lebih ringan. Secara keseluruhan, berat Satria R3 ini tidak mencecah 1 tan, ditimbang hanya pada 995kg.

Pada bahagian luar, kit badan R3 bermula dari bampar hadapan overfender, skirt sisi dan bampar belakang adalah sama dengan GTi, bersama lampu hadapan dan belakang smoked. Selain dari warna badan, model R3 ini turut dibezakan dengan jalur merah pada sisi badan, spoiler gentian karbon, rim R3 yang dihasilkan oleh Advanti bersaiz 16-inci dengan lebar 7 jj bersama tayar Yokohama Advan Neova AD07 bersaiz 205/45R16.

Berbalik pada Satria R3 DSR-002 ini, walaupun pada bahagian luarannya sebelum ini cacamarba, mujur pada bahagian kabin kereta ini hampir dara dan tidak terusik. Segala komponen yang ditanggalkan tadi telah dibersihkan semula oleh DSR kemudian dipasangkan semula.

DSR turut memadankan berberapa aksesori dengan jenama mereka sendiri seperti set karpet kaki, set padel aloi, dan juga tombol gear. Kesemua aksesori DSR ini masih mengekalkan bentuk dan rekaan yang sama seperti aksesori asli R3, cuma dengan logo DSR. Malah sebenarnya, ia dibuat dan dikilangkan oleh vendor sama yang membekalkan aksesori R3 tersebut dahulu.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Pada bahagian luaran, DSR turut memperolehi spoiler bawah bampar hadapan opsyen asli R3 untuk Satria ini, manakala jalur sisi ‘bloodstripe‘ R3 telah dibuat semula oleh Motorsport Playground, pihak yang sama menghasilkan grafik badan kereta lumba R3 buat masa sekarang.

DSR juga berjaya mendapatkan set rim asli Advanti R3 berkenaan kemudian direstorasi semula seperti baharu, serta menghasilkan kembali penutup tengah rim berkenaan dengan logo R3 yang sama seperti komponen asli. Tayar Yokohama Advan AD07 sudah tentu tiada lagi dalam pasaran sekarang, dan ia digantikan dengan Advan Neova lebih moden iaitu AD08R.

Spoiler belakang gentian karbon yang hilang pada Satria R3 ini, mahu tak mahu, DSR terpaksa menghasilkan satu unit baharu, tetapi ini tidak dihasilkan oleh kilang sama yang membuat komponen asli dahulu. Dan kalau anda nak satu spoiler ini, bolehlah berurusan dengan DSR kerana mereka boleh menghasilkannya lagi.

Kalau anda nak tahu, spoiler asli Satria R3 sebenarnya dibuat oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM) iaitu salah sebuah syarikat milik DRB Hicom yang turut menghasilkan pelbagai komponen komposit pesawat termasuk Airbus A320, A350, A380, A400 dan lain-lain. Selain spoiler, CTRM juga bertanggung jawab untuk menghasilkan penutup cam valley gentian karbon pada rocker cover enjin 4G93P Satria R3 berkenaan.

Proton Satria R3 masih diberikan enjin yang sama seperti Satria GTi iaitu unit 4G93P 1.8 liter empat-silinder bersama unit pengurusan enjin dikawal oleh kotak komputer Siemens EMS 400. Namun R3 telah melakukan sedikit pengubahsuaian pada tahap ‘Stage 1’ membolehkan ia menjana 140 hp/148 Nm, melibatkan penggunaan campulley boleh laras, serta sistem ekzos yang diolah semula sepenuhnya – tanpa catalytic converter, serta menggunakan tip ekzos oval yang besar dengan logo R3 di atasnya, diinspirasikan dari Lotus Elise generasi pertama.

Manakala untuk kotak gear, secara asasnya ia adalah kotak gear yang sama dengan Satria GTi, tetapi nisbah gear lima telah diubah dari 0.756 kepada 0.777. Ini menyebabkan kelajuan maksimanya menurun dari 210 km/j kepada 205 km/j, tetapi ia lebih berguna di litar kerana ia lebih responsif pada gear puncak bagi mendapatkan kelajuan tertinggi misalnya pada dua laluan lurus panjang di litar Sepang.

Enjin pada Satria R3 DSR-002 ini sebenarnya tidak perlu pun untuk dirombak rawat kerana jarak perbatuannya masih rendah, dan kebanyakkan komponen dalaman masih lagi sangat bersih ketika dibuka. Namun DSR tetap melakukan proses berkenaan bersama servis signatur mereka iaitu proses blueprint.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Menerusi proses ini, aci engkol enjin tersebut diimbang semula, manakala setiap komponen dalaman dipasang semula dengan lebih teliti dari proses pemasangan produksi massa di kilang dan melibatkan toleransi paling maksimum.

Seperti DSR-001 sebelumnya, Suriya turut memberikan peluang untuk penulis memandu uji Satria R3 DSR-002 ini. Berbeza dengan Satria GTi yang menyajikan bunyi sedutan udara yang menaikkan semangat anda untuk terus menekan pedal pendikit, enjin pada Satria R3 ini turut ditambah dengan sensasi irama dari ekzos.

Memang enjin ini tidak memberikan tujahan tork pada rpm rendah seperti model-model hot-hatch terkini yang menggunakan pengecas turbo. Namun enjin nikmat untuk memandu enjin NA dengan karekter ‘rev happy‘ ini sukar diungkap dengan kata-kata. Bunyi dan respon yang dihasilkan seolah-olah memberitahu pemandu untuk menekannya sehingga ke takat rpm tertinggi.

Dan dengan enjin yang sudah melalui proses blueprint ini, ia beroperasi dengan cukup lembut, lancar dan stabil. Sekiranya anda bergerak pada kelajuan rendah tetapi dengan gear tinggi, tiada sebarang gegaran dari enjin dirasakan, cuma ia kurang kuasa kerana belum sampai rpm tinggi bagi memberikan tork secukupnya. Memang ajaib.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Pengendalian Satria R3 ini juga jauh berbeza dengan Satria GTi, dan ini antara sentuhan ajaib dari pasukan R3. Pergerakan strok penyerap hentak antara GTi dan R3 adalah sama, tetapi sekiranya anda menggunakan penyerap hentak GTi untuk menggantikan penyerap hentak asal Satria R3, ia serta merta akan menjadi tinggi.

Ini kerana penyerap hentak Satria R3 ini juga adalah bespoke – talaan asal yang membuatkan Satria R3 ini lebih rendah sekitar 10-15 mm lebih rendah dari GTi bukan disumbangkan dari spring yang berbeza semata-mata. Sebenarnya tapak untuk menempatkan spring berkenaan juga adalah lebih rendah dari GTi. Ini membolehkan ia memberikan jarak pergerakan strok yang sama walaupun badan kereta berkenaan lebih rapat ke permukaan jalan bagi memberikan titik graviti lebih rendah – ini memang rekaan yang bijak.

Malah, suspensi kereta ini telah ditala bagi membolehkan cengkaman dari tayar Advan Neova AD07 tersebut untuk digunakan sepenuhnya. Jadi sekiranya anda menggunakan tayar yang berbeza, dinamik pemanduan Satria R3 ini juga sudah lagi tidak sama.

Talaan untuk suspensi ini sebenarnya dibuat sendiri oleh Tengku Djan menerusi ujian ekstensif yang dijalankan. Tengku Djan mahukan kereta ini bukan sahaja memberikan prestasi yang terbaik untuk membelasah selekoh selaju yang boleh, malah dia juga mahukan suspensi berkenaan tidak memantul-mantul pada permukaan tidak rata, membolehkan kereta ini Satria R3 ini dipandu laju sama ada di litar atau pun di jalan raya.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Hasilnya, bukan sahaja struktur binaan penyerap hentak R3 ini sudah tidak sama dengan GTi, malah spesifikasi injap dalamnya, spesifikasi spring, bar anti oleng hadapan yang berdiameter lebih besar (19 mm) serta getah bushing yang memegangnya adalah berbeza dari GTi dan tidak boleh ditukar pakai antara satu sama lain.

Ini adalah antara faktor mengapa kebanyakkan pemilik Satria R3 sudah menggantikan penyerap hentak asal mereka kepada penyerap hentak jenis boleh laras sepenuhnya – mereka tidak dapat membeli komponen-komponen suspensi yang sama di kedai-kedai pembekal alat ganti.

Jadi bagaimana DSR mahu menghasilkan semula suspensi asal Satria R3 DSR-002 ini bagi membolehkan ia hampir dengan spesifikasi kilang? Nak bawa balik ke R3 di Shah Alam mungkin sudah tidak boleh, tapi individu ‘living legend‘ yang pernah berkhidmat dengan R3 dan membangunkan sistem suspensi berkenaan masih lagi ada. Beliau adalah Faidzil Alang, yang juga kini pemilik jenama suspensi tempatan, Fawster Motorsport.

Untuk suspensi, DSR menyerahkan sepenuhnya kepada Fawster Motorsport untuk menghasilkan semula struktur dan talaan yang sama seperti asal untuk Satria R3 ini. Ketika saya sendiri memandu Satria R3 DSR-003 ini, penulis sudah cukup kagum bagaimana ia boleh melekat seakan bergerak di atas rel ketika ia pandu laju melalui selekoh, dan tidak memantul ketika melalui jalan yang tidak rata.

Namun sebenarnya talaan berkenaan masih belum benar-benar dilengkapkan oleh Faidzil Alang dan dia masih lagi dalam peringkat memperhalusinya (Suriya baru sahaja menghubungi penulis sebentar tadi bahawa ia sudah siap sepenuhnya) .Dan disebabkan talaan ini masih belum sempurna ketika sesi penggambaran ini, anda boleh lihat strut bar asli R3 pada bahagian hadapan dan belakang masih belum dipadankan semula.

Selain itu, dari kilang Model R3 ini turut sudah diberikan cakera dari EBC yang ditebuk dan dilarik begi memberikan cengkaman yang lebih baik, bersama pad brek prestasi tinggi dari Mintex M1144.

DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

Anda pernah tengok buku manual istimewa yang turut hadir dengan setiap unit Satria R3 ini? Nah, kereta ini masih ada lagi buku berkenaan dan kami sempat untuk membeleknya! Dalam buku berkenaan, R3 memperincikan berberapa perkara antaranya peringatan kepada pemilik untuk ‘memanaskan’ dahulu tayar Advan Neova berkenaan sebelum benar-benar membelasah kereta tersebut.

Panjang betul artikel kali ini kan? Dan buat pengetahuan anda, proses pembangunan semula Proton Satria R3 DSR-002-C99 ini tidak terhenti setakat ini. Ketika Satria R3 ini dilancarkan dahulu, pihak R3 sebenarnya turut menawarkan tingkat taraf Stage 2 dan Stage 3 untuk pemilik yang berminat. Dengan mengetahui wujudnya pakej opsyen tingkat taraf tersebut, pemilik Satria R3 ini sebenarnya sudah membuat permintaan untuk DSR menjalankan tingkat taraf berkenaan.

Dan projek ini sebenarnya akan bermula selepas enjin yang telah diblueprint berkenaan melepasi perbatuan break-in pada 1,000 km nanti. Nak tahu apa yang akan dilakukan? Sama-sama kita tunggu dan kami pasti akan memaparkannya dengan satu lagi artikel!

Artikel ini turut memberikan penghormatan kepada staf-staf kumpulan asal R3 yang menghasilkan Satria R3 ini termasuk ketua pemasaran divisi Proton Motorsport, Khaidi Kamaruddin, serta juruteknik-juruteknik lain seperti Hasan, DJ, Ramlan, Longman, Sohaimi, Azzudin, Osman Jailani, mendiang Daryl Lam dan juga Prinsipal Pasukan R3 buat masa sekarang, Gary Lee. Mereka membuktikan bahawa Malaysia juga pernah mempunyai factory tuner setaraf dengan jenama Jepun dan Eropah!

GALERI: Gambar rasmi Proton Satria R3 ketika dilancarkan pada Oktober 2004

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required