Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

Rasanya ramai yang tahu, pada era 90’an dan awal tahun 2000 dahulu, Petronas EON Racing Team (PERT) bukan sahaja berlumba dalam Malaysia, malah telah menjelajah keseluruh dunia untuk berlumba dalam disiplin rali untuk membawa nama Proton. Malah pelumba utamanya, Karamjit Singh turut pernah bergelar juara dunia dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori Produksi/Group N (PWRC) pada tahun 2002.

Dan sudah tidak menjadi rahsia, jentera-jentera perlumbaan pasukan PERT berkenaan bukanlah kereta Proton yang boleh kita beli di bilik pameran Proton, tetapi adalah jentera Mitsubishi Lancer Evolution yang telah diberikan lencana Proton.

Persoalannya, macam mana jentera-jentera PERT ini boleh menggunakan logo Proton sedangkan syarat-syarat homologasi dari FIA memerlukan kereta-kereta rali yang bertanding dalam kategori Group A dan Group N di kejohanan seliaan mereka seperti WRC dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) tersebut perlu dijual di bilik pameran dengan jumlah sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun?

Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

Bagi Lancer Evolution II dan Evolution III yang pernah digunakan oleh PERT mungkin kita boleh kaitkan dengan Proton Wira, tapi bagaimana pula dengan Lancer Evo V, Evo VI dan Evo VII yang pernah dipandu Karamjit Singh dalam WRC dan APRC?

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya ketika Mitsubishi menghantar proses homologasi kepada FIA untuk Lancer Evolution, mereka turut meletakkan nama Proton, dengan mendakwa ia adalah salah satu varian yang mereka hasilkan untuk pasaran Malaysia.

Untuk peminat-peminat rali tempatan, perkara ini sudah lama diketahui. Namun untuk menguatkan apa yang didakwa ini, peminat pasukan Proton PERT iaitu Allan Cham Wei Lun (pemilik replika Proton Iswara Group S FWD PERT Karamjit Singh yang kami paparkan sebelum ini) telah memuat naik dokumen-dokumen sebenar yang telah dihantar oleh Mitsubishi kepada FIA untuk tujuan homologasi berkenaan di laman Facebook Apa khabar Proton lama hari ini?.

Anda boleh lihat dengan jelas dalam dokumen tersebut bagaimana Mitsubishi Lancer Evolution II (kod casis CD9A) dan Evolution III (kod casis CE9A) didaftarkan sebagai model pasaran Malaysia yang diberi nama Proton Wira, dengan logo Proton dilekatkan pada gril hadapan, manakala skrip ‘Proton’ dilekat pada sebelah kiri penutup but belakang, bersama emblem ‘Wira’ pada bahagian sebelah kanan.

Lancer Evolution IV walau bagaimanapun tidak didaftarkan sebagai Proton, namun proses ini kembali pada Mitsubishi Lancer Evo V (kod casis CP9A). Namun untuk model ini, ia tidak lagi didaftarkan sebagai Proton Wira, sebaliknya diberi nama “Proton PERT” dalam dokumentasi tersebut.

Untuk Proton PERT yang diasaskan dari Evo V ini, sekali lagi logo Mitsubishi pada gril digantikan dengan logo Wau Bulan Bintang Proton, skrip “Proton” dilekat pada sebelah kiri penutup but, manakala pelekat “PERT” pula dilekat pada sebelah kanan.

Pada tahun 2001, proses sama dibuat oleh Mitsubishi pada Lancer Evolution VI, di mana ia juga dirujuk sebagai “Proton PERT” untuk pasaran Malaysia. Apa yang menarik, untuk Proton PERT berasaskan Evo VI ini ia bukan sahaja merujuk kepada Lancer Evo VI biasa, malah turut tertakluk kepada model edisi terhad Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition!

Model terakhir Lancer Evolution yang didaftarkan kepada FIA sebagai Proton PERT adalah Lancer Evolution VII (kod casis CT9A) pada Julai 2002. Model ini turut pernah digunakan oleh Karamjit Singh untuk memenangi satu lagi gelaran juara APRC pada tahun 2004.

Kenapa Mitsubishi begitu bermurah hati untuk menolong Proton dan EON dalam proses homologasi ini? Pada era berkenaan sukan permotoran adalah salah satu cara yang begitu kuat untuk mempromosikan satu-satu jenama automotif. Edaran Otomobil Nasional (EON) pula bertanggungjawab untuk semua perkara melibatkan permasaran, dan sukan permotoran ini sudah tentu antara cabang penting dalam organisasi mereka.

Mitsubishi yang mempunyai pegangan yang besar dalam Proton tentu mahukan kereta jenama tersebut dijual dengan laris bagi memastikan mereka juga mendapat pulangan dari pelburan yang dibuat, jadi ini adalah salah satu usaha mereka untuk membantu Proton.

Malah kerjasama antara Mitsubishi Ralliart dan EON Motorsport ini sebenarnya lebih serius dari ini dan ia telah bermula pada era 80’an. Ketika zaman tersebut, perlumbaan rali di Malaysia turut menampilkan satu kategori khas yang dinamakan sebagai Group S; kategori ini membolehkan kereta-kereta prototaip bertanding kerana ia tidak memerlukan syarat homologasi dari FIA.

Menurut sumber-sumber yang dipercayai, Proton Saga 4WD dengan enjin turbo yang bertanding di Malaysia pada zaman tersebut bukan sekadar untuk mempromosikan jenama Proton, malah ia sebenarnya asas yang digunakan oleh Mitsubishi Ralliart untuk menguji komponen-komponen prototaip mereka yang akan diproduksi pada masa hadapan.

Jadi jika anda terdengar cerita-cerita seperti Mitsubishi membuat bantahan terhadap Saga Iswara 4WD Group S Proton PERT sehingga ianya diharamkan oleh FIA, ketahuilah itu hanya khabar angin semata-mata kerana Ralliart dan EON Motorsport sebenarnya adalah entiti dalam satu pasukan!

GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution II (CD9A) dan Evolution III (CE9A) sebagai Proton Wira

GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution V, Evolution VI dan VI TME (CP9A) sebagai Proton PERT

GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution VII (CT9A) sebagai Proton PERT

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Interview Karamjit, boleh tahu perihal Iswara Group S.

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 0
  • anjah on Jan 26, 2021 at 7:56 am

    win a race on sunday , sell a car on monday

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Fujiwara Hazim on Jan 26, 2021 at 12:24 pm

    I remember playing go kart with him i think around 2005/2006 era at Sunway Circuit, back then it was a international circuit.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required