Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Orang kata, walaupun umur semakin meningkat, lelaki sukar untuk menjadi dewasa dan sentiasa menjadi kanak-kanak – tapi apa yang semakin membesar adalah ‘mainan’ mereka. Mungkin inilah yang sesuai untuk dikaitkan dengan Allan, pemilik replika Proton Iswara Group S 1.6 2WD yang pernah dipandu oleh lagenda rali negara, ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh ini.

Allan sebenarnya memang sahabat saya sendiri – mula berkenalan dengannya sekitar tahun 2010 dalam satu facebook group yang mengumpulkan pembina-pembina model kit plastik dalam skala 1/24. Berbeza dengan pembina model kit lain, Allan menumpukan koleksinya kepada model-model rali, khususnya siri Mitsubishi Lancer Evolution. Ini kerana minatnya terhadap kereta bermula dari disiplin rali, dipacu oleh ‘pasukan rali kebangsaan’ kita ketika era 80’an dan 90’an iaitu Petronas EON Racing Team atau PERT.

Perkenalan dengan Allan telah membuka mata saya, kerana dia orang pertama yang saya jumpa mempunyai obsesi terhadap PERT yang lebih tinggi dari saya sendiri, dan telah menghasilkan model Proton PERT Evo VI binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dengan nombor pendaftaran WU02 FXB dipandu oleh Karam untuk memenangi gelaran juara dunia WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002, berasaskan kit Tamiya Lancer Evo VI WRC.

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Saya juga telah menerima bantuan dari Allan untuk mencetak decal badan untuk melengkapkan projek saya sendiri iaitu Proton PERT Evo V dengan nombor pendaftaran Proton 1784 juga dipandu Karamjit Singh, berasaskan kit Tamiya Lancer Evo V WRC. Bukan setakat obses dengan model kit plastik sebenarnya, Allan kumpul semua jenis model dan skala, dan kini mempunyai perniagaan menghasilkan rim dan tayar aftermarket dengan jenama CM-Advanced untuk model skala 1/64 seperti HotWheels dan Tomica.

Berbalik kereta dalam skala penuh, sebagai peminat pasukan PERT, Allan mempunyai lebih dari dua buah kereta berjenama Proton. Iswara 1.3S yang dibuat untuk projek ini sebenarnya telah dibeli baru oleh ayahnya sendiri pada tahun 1997, dan kemudian ‘diturunkan’ kepada Allan sebagai kereta pertamanya.

Tahun lalu, Allan mengambil keputusan untuk merestorasi semula kereta yang telah berkhidmat selama 22 tahun untuk dia dan keluarganya ini, dan sekaligus untuk merealisasikan impiannya sejak kecil iaitu untuk memiliki salah satu jentera yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh!

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Untuk lebih spesifik, replika yang dihasilkan oleh Allan terhadap Iswaranya ini adalah jentera Group S yang dipandu Karam dalam Kejohanan Rali Malaysia pada tahun 1992, dibantu oleh juruarah Zuber Ismail. Jentera Group S ini bukan jentera Group S 2.0L 4G63 4WD dengan nombor pendaftaran BCL 7708 juga pernah dipandu Karam, tetapi ia adalah jentera dengan nombor pendaftaran BCL 7705 dijana oleh enjin Mitsubishi 4G61 1.6L dan hanya memacu roda hadapan.

Sedikit sejarah berkenaan jentera rali sebenar BCL 7705 berkenaan, ia sebenarnya telah dihasilkan oleh PERT menggunakan asas Saga 8V. Selepas Proton memperkenalkan Saga megavalve dalam pasaran, rupa luaran jentera tersebut turut diubah bagi menyamai rupa model dalam bilik pameran berkenaan.

Pada awal musim 1992, ia masih kekal dengan rupa sama. Tetapi setelah Iswara dilancarkan pada Ogos 1992, rupa luaran jentera rali ini sekali lagi berubah menjadi sebuah Iswara untuk memastikan ia relevan sebagai duta model terbaharu tersebut dalam dunia sukan bermotor.

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Sekali tengok, rupa jentera rali Iswara 2WD ini nampak seakan sama dengan abangnya yang lebih berkuasa dengan enjin VR4 dan pacuan semua roda itu. Tetapi jika anda lihat dengan teliti, ada berberapa perbezaan yang ketara – ruang roda belakang masih lagi kekal ‘petak’ untuk versi 2WD ini, manakala versi 4WD ia telah ‘dibulatkan’ dan dilebarkan bagi memberi laluan kepada gandar belakang 4WD dan sistem suspensi yang lebih kompleks.

Sebelum memulakan apa-apa kerja berkenaan kosmetik, Allan terlebih dahulu ‘menyegarkan’ kembali bahagian mekanikal kereta ini. Rak stereng dan juga kesemua lengan-lengan serta bushing pada sistem suspensi Iswara ini telah ditukar baharu, bersama penyerak hentak lebih keras yang menggunakan sistem gas, Monroe Reflex. Tiada pengubahsuaian pada spring dibuat kerana Allan mahu kereta ini kekal tinggi seolah-olah diberikan talaan untuk laluan SS atas permukaan batu kerikil.

Allan tidak menukar enjin asal 4G13 karburator ini kepada enjin 4G61 dari Mitsubishi Mirage seperti apa yang dilakukan oleh PERT terhadap kereta rali sebenar. Namun enjin 1.3L asal berkenaan telah dibawa keluar dan dirombak rawat sepenuhnya bukan sahaja untuk menyegarkan kembali, tetapi turut mengekstrak berberapa kuasa kuda tambahan dari jumlah asal.

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Aci sesondol asal sudah tidak lagi digunakan dan Allan menggantikannya dengan unit berdurasi 288 darjah dari Squirt dan ia boleh ditala menerusi penggunaan pulley boleh laras dari Aerospeed. Bagi memastikan injap dapat ditutup lebih pantas dan mampu bertahan dengan letusan dalam kebuk pembakaran yang bertambah kuat dengan penggunaan aci sesondol dengan durasi lebih tinggi, spring injap asal turut diganti dengan spring lebih keras dari Cosworth.

Muffler dan paip utama sistem ekzos Iswara ini masih lagi kekal standard, dan Allan cuma memadankan extractor 4-2-1 pada enjin ini. Motor penghidup enjin yang lebih berkuasa turut diganti bagi memastikan enjin yang telah diubahsuai ini boleh dihidupkan dengan mudah.

Kemudian, kabin kereta ini pula mendapat perhatian yang sepatutnya. Kedua-dua tempat duduk hadapan asal telah dicabut dan diganti dengan sepasang tempat duduk bucket keluaran tempatan iaitu SSCus. Tempat duduk belakang masih kekal standard, tetapi ia dibalut semula dengan fabrik sama dengan tempat duduk hadapan. Kesemua panel dalaman pintu yang telah lusuh diganti dengan kemasan baharu.

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Papan pemuka masih kekal dengan papan pemuka Iswara asal. Mesti ramai yang tertanya-tanya, apa benda unit macam meter tambang teksi yang melekat di sebelah kiri tu kan? Ini sebenarnya adalah komputer trip untuk kereta rali sebenar, Leila RC-NONO seperti yang pernah digunakan pada kereta-kereta rali Proton era 80’an.

Menurut Allan, dia terjumpa komputer trip ini di sebuah kedai halfcut, dan membelinya dalam keadaan tidak lagi boleh digunakan. Walau bagaimanapun, dengan bantuan pakciknya yang pakar dengan peralatan elektronik, komputer ini berjaya dihidupkan kembali.

Kabin jentera rali replika ini turut dilengkapkan dengan roda stereng Momo yang dihasilkan untuk kereta-kereta Lotus, dan juga tombol gear dari Ralli Art. Allan turut meletakkan satu aksesori rare yang pernah ditawarkan oleh pengedar Proton, EON satu ketika dahulu iaitu sebuah TV poket buatan Casio.

Setelah semua ini siap, kereta ini dihantar ke kedai cat untuk membuang segala karat pada badan, kemudian dilayangkan dengan warna badan putih, bersama sebahagian panel dari tiang-c kebelakang dan juga spoiler asli dari Galant VR4 diberikan warna hijau Petronas.

Akhir sekali, livery Proton PERT berdasarkan Proton Saga Iswara Group S 1.6L 2WD yang dipandu oleh Karamjit Singh pada Kejuaraan Rali Malaysia 1992, pusingan kelima ini dihasilkan dengan begitu teliti oleh pakar livery tempatan, Motorsport Playground. Bagi mendapatkan rupa yang benar-benar tepat, projek ini turut mendapat pertolongan dari Datuk Haji Abdul Razak Dawood, iaitu bekas bos pasukan Proton PERT sendiri.

Allan turut berjaya mendapat set rim Advan Art yang sama seperti digunakan oleh Karamjit Singh, tetapi untuk mudah dipandu di atas jalan raya, ia tidak dibalut dengan tayar rali, sebaliknya menerima tayar Brigestone Potenza RE003 bersaiz 195/55R15.

Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

Dia juga sebenarnya mempunyai set pod lampu sorot empat sebaris untuk diletakkan pada atas bonet hadapan, tetapi kerana malas mahu bermain sembunyi-sembunyi dengan JPJ, komponen tersebut hanya disimpan dalam ruang but belakang.

Selepas projek ini siap, Allan telah membawanya untuk ditatap oleh Karamjit Singh sendiri, dan juga bekas kru-kru yang pernah berkhidmat dengan PERT. Malah, Proton R3 sendiri telah ‘menghidu’ projek Allan ini, dan baru-baru ini dia sendiri telah diundang untuk ke markas R3 di Pusat Kecermelangan Proton (CoE) Shah Alam bagi mempertemukan Iswara ini dengan jentera-jentera terkini Proton R3.

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

GALERI: Replika Proton Iswara Group S 2WD Allan di Ibu Pejabat Proton R3

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required