Selain barisan model 8 Series biasa, BMW juga telah membuat pembaharuan kepada model prestasi tinggi M8 untuk keluaran tahun 2022. Paling utama adalah varian asas M8 telah dikeluarkan daripada senarai untuk semua bentuk badan – Coupe (F92), Convertible (F91), Gran Coupe (F93) – dan sekarang ia hanya dijual dalam versi M8 Competition sahaja.
Varian ini menggunakan enjin V8 4.4 liter twin turbo S63 yang mampu menghasilkan kuasa 625 PS pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,860 rpm, dipadankan bersama transmisi M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic serta sistem pacuan semua roda M xDrive.
Melihat kepada prestasi, model empat pintu dan coupe mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat sementara model convertible pula sedikit perlahan dengan mencatat 3.3 saat. Laju maksimum bagi semua tiga model ini adalah 250 km/j tetapi dengan M Driver’s Package, ia boleh pergi sehingga 305 km/j.
Bahagian mekanikal lain tidak berubah, bermakna ia masih lagi menggunakan suspensi adaptif M dengan kinematik serta elastokinematik khas M, brek M serta differential M.
Tidak seperti model 8 Series biasa yang diberi beberapa perubahan pada bahagian luar, M8 Competition ini pula cuma diperbaharui dengan pilihan warnanya sahaja, yang kini termasuk Skyscraper Grey, Brooklyn Grey, Isle of Man Green, BMW Individual Lacquer Tanzanite Blue, Frozen Pure Grey, Frozen Deep Grey, Frozen Deep Green dan Frozen Tanzanite Blue.
Melengkapi pembaharuan di bahagian luar adalah rekaan rim 20 inci M yang baru, serta lampu utama LaserLight standard yang boleh didapati dengan pakej Shadow Line untuk menjadikan bahagian dalamnya lebih gelap, bersama kemasan krom. Gril tidak diubah – tiada ciri Iconic Glow – dan ia dicat warna hitam berkilat.
Pada bahagian dalam, M8 Competition 2022 menerima skrin sesentuh lebih besar, iaitu 12.3 inci, yang menjadi sebahagian daripada sistem Live Cockpit Professional dan dipadankan bersama ciri lain seperti Driving Assistant, Parking Assistant, pengecas tanpa wayar serta sistem bunyi Harman Kardon.
Tempat duduk M Sport diberikan secara standard, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada tempat duduk bucket M Carbon yang mempunyai permukaan balutan gentian karbon terdedah di bahagian belakang, penyandar kepala bersambung, bahagian tepi yang boleh dipadankan bersama tali pinggang lumba, larasan elektrik dengan fungsi memori serta lencana M8 yang menyala. Turut ditawarkan adalah pelbagai pilihan balutan serta kemasan.
GALERI: BMW M8 Competition Coupe 2022
GALERI: BMW M8 Competition Convertible 2022
GALERI: BMW M8 Competition Gran Coupe 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.