BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

Kewujudan BMW M8 baru telah diketahui lama dulu, malah sebelum 8 Series G15 membuat penampilan pertamanya. Pada tahun 2017, BMW sendiri telah mendedahkan model ini akan berlumba dalam World Endurance Championship (WEC). Selepas model konsep ditunjukkan dan beberapa gambar bocor dalam internet, akhirnya pengeluar dari Jerman itu mendedahkan sendiri M8 versi produksi.

Ditampilkan dalam versi Coupe F92 dan Convertible F91 (versi Gran Coupe akan menyusul kemudian), M8 menggunakan enjin yang diambil terus daripada M5 F90. Ia adalah unit S63 V8 4.4 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

Semua kuasa ini disampaikan kepada semua empat roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dengan tetapan Drivelogic. Hasil daripada itu, M8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum (telah dihadkan) 250 km/j. Jika memasang pakej M Driver’s, kelajuan ini akan dinaikkan kepada 305 km/j.

BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

Apabila dilancar nanti, M8 akan ditawarkan dengan versi Competition (sama seperti X3 M dan X4 M), yang meningkatkan lagi kuasanya kepada 625 hp dan tork maksimum pada tahap 5,800 rpm. Versi ini juga akan mendapat pemegang enjin yang lebih keras untuk memastikan maklum balas pendikit yang lebih pantas, pusingan stereng lebih pantas serta sistem ekzos M Sport bersuis yang biasanya datang sebagai pilihan tambahan pada model lain. Untuk itu, pecutan 0-100 km/j versi Competition menjadi cuma 3.2 saat (3.3 saat bagi yang berbadan Convertible).

M8 baru juga mendapat sistem pacuan semua roda M xDrive, yang dapat mengagihkan tork secara berbeza untuk roda hadapan dan roda belakang, bergantung kepada keadaan jalan dan tetapan yang dipilih. Walaupun dalam keadaan standard sistem ini sudah menyampaikan lebih kuasa kepada roda belakang, tork akan ditambah lagi kepada gandar itu apabila diletakkan dalam mod 4WD Sport. Mod 2WD pula cuma boleh diguna apabila fungsi kawalan kestabilan ditutup, dan membolehkan pemandu berseronok dengan membuat aksi drift. Gandar belakang juga menggunakan Active M Differential.

Untuk memastikan kenderaan dapat melekap atas jalan, bahagian casisnya disambung dengan kelengkapan seperti penyerap adaptif dan pembaca kinematik dan elastokinematik untuk memberikan kedudukan roda yang tepat dan stabiliti terbaik. Tetapan suspensi double wishbone di hadapan mempunyai bearing boleh pusing khas, torque arm, control arm dan bearing elastomer untuk mengagihkan semua tenaga pada suspensi kepada subframe dan struktur badan.

BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

Sementara itu di belakang, gandar dengan gantungan five-link mendapat sambungan diperkuat khas M untuk meningkatkan kelincahannya, serta anti-roll bar yang lebih keras untuk maklum balas suspensi dan serapan yang lebih tepat. Daya tahan kilasan juga ditingkatkan melalui penggunaan penyerap tower-to-bulkhead serta panel lebih kuat di hadapan, serta pendakap besi di belakang. Kemampuan mengambil selekoh secara dinamik versi Competition diperelok lagi dengan camber hadapan yang ditingkatkan, dan penggunaan ball joint pada toe link belakang.

Bahagian lain kenderaan juga telah berubah sejak M5 didedahkan. Sekarang ia mempunyai sistem brake-by-wire dengan modul kompak yang memadukan pengaktifan brek, fungsi boost dan kawalannya, serta booster brek tanpa vakum. Sistem ini dikata dapat mengurangkan berat sebanyak dua kilogram dan memberikan tekanan brek segera, campur tangan kawalan stabiliti yang lebih pantas dan tepat, serta rasa pada pedal lebih optimum dalam pelbagai keadaan.

Sistem ini turut memberikan pilihan tetapan Comfort dan Sport yang mengubah penyampaian tekanan kuasa brek, dan ia boleh dipilih menggunakan butang Setup baru yang juga mengawal tetapan enjin, kotak gear, suspensi, nisbah stereng dan sistem pacuan empat roda. Satu lagi butang baru adalah untuk M Mode, yang mengubah sistem bantuan pemandu dan informasi yang disampaikan melalui skrin kenderaan untuk mengikut mood pemandu.

Dalam mod standard Road, semua sistem dan paparan berfungsi seperti biasa, tetapi apabila mod Sport dipilih, paparan instrumen dan head-up display cuma akan mengeluarkan informasi penting sahaja dan pemandu juga boleh menutup terus semua paparan sistem bantuan pemandu, brek autonomous serta Evasion Assistant. Model Competition pula ditambah dengan satu lagi mod Track yang menutup semua sistem bantuan, skrin tengah serta audio, sekaligus memberikan peluang pemandu lebih fokus kepada pemanduan yang bersemangat.

Disebabkan semua peningkatan prestasi ini, BMW juga mengubah bahagian luar kenderaan dengan ia sekarang menggunakan rekaan lebih agresif berserta tiga corong udara yang besar di hadapan, fender lebih lebar untuk memuatkan jarak roda yang juga lebih lebar, bukaan Air Breather serta diffuser belakang dengan empat muncung ekzos.

Turut dipasang adalah spoiler belakang yang nipis, cermin sisi khas untuk model M, dan bagi model Coupe, terdapat bumbung gentian karbon. Rim aloi 20 inci datang secara standard dan di sebaliknya terdapat brek M dengan ukuran cakera 395 mm di hadapan atau pilihan unit seramik karbon 400 mm yang lebih besar. Model Competition mendapat kemasan hitam berkilat, rekaan rim khas serta pilihan pakej luar M Carbon.

BMW M8 Coupe F92, Convertible F91 muncul – 625 hp

Di dalam, anda akan menemui tempat duduk sport dengan bahagian tepi yang lebih besar, penyandar kepala bersepadu serta lambang M8 yang menyala, dan juga rekaan roda stereng unik berserta butang M1 dan M2 berwarna merah untuk pilihan tetapan kenderaan kegemaran anda. Terdapat juga butang pemula enjin berwarna merah dan tombol gear elektronik baru.

M8 datang secara standard dengan balutan kulit Merino, tetapi model Competition turut mendapat pilihan kulit lain serta Alcantara dalam skema warna dua tona yang kontras. Model ini juga menggunakan Alcantara pada konsol tengah, bahagian bawah papan pemuka serta kemasan atas BMW Individual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required