BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

Kurang setahun selepas penampilan pertama secara rasmi diperingkat global, BMW M5 F90 serba baru kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Model yang telah dinobatkan sebagai pemenang bagi anugerah Kereta Prestasi Dunia 2018 ini menggantikan M5 F10 dari generasi terdahulu, dan hadir dengan beberapa ciri yang pertama kali ditampilkan bagi model berkenaan.

Kita mulakan dengan harganya terlebih dahulu. Untuk pasaran tempatan, BMW M5 F90 ini dijual pada harga RM942,759 atas jalan tanpa insurans. Model ini hanya akan ditawarkan melalui pengedar-pengedar BMW bermula 1 Jun 2018, maka harga yang dinyatakaan ini ialah tanpa GST. Turut disertakan sekali ialah jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, jaminan tayar dua-tahun, bantuan tepi jalan dan capaian kepada aplikasi Loyalty+.

Model prestasi terbaru BMW ini dijanakan oleh enjin S63B44T4 4.4 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 600 hp dari 5,600 hingga 6,700 rpm dan tork 750 Nm antara 1,800 dan 5,600 rpm. Semua kuasa disalurkan menerusi kotak gear automatik M Steptronic lapan-kelajuan ke sistem pacuan semua roda M xDrive – kedua-dua ciri ini adalah yang pertama digunakan bagi jentera M selain daripada SUV. Pecutan dari sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam masa 3.4 saat.

BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

Enjin ini datang dengan tiga mod maklum balas (Efficient, Sport dan Sport Plus). Kotak gear yang digunakan pula adalah termasuk dengan sistem Drivelogic BMW dengan tiga mod, dan mampu memberikan masa pertukaran gear yang singkat jika diperlukan, seperti ketika di dalam litar.

Satu lagi ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk model ini ialah sistem pacuan semua roda M xDrive yang berfungsi bersama Active M Differential dan perisian pemanduan dinamik khusus M. Dengan sistem pacuan yang lebih cenderung ke belakang, pemandu boleh menetapkan konfigurasi berbeza bergantung kepada keadaan sistem DSC semasa (On, M Dynamic Mode dan Off) serta mod M xDrive (4WD), 4WD Sport dan 2WD).

Mod 2WD pula adalah dari pacuan roda belakang, menjadikan M5 serba baru ini kereta pertama yang menawarkan kelebihan dari kedua-dua sistem pacuan berkenaan. Tetapi, dalam mod ini, sistem DSC akan dinyah-aktif – kemahiran memandu yang lebih tinggi adalah diperlukan untuk mengendalikannya dalam mod berkenaan.

Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 3.4 saat, sementara pecutan ke 200 km/j pula memerlukan 11.1 saat. Laju maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j, dan penggunaan minyaknya pula didakwa pada kadar 10.5 liter bagi setiap 100 km.

Naik taraf casis juga diberikan pada model M5 ini berbanding model 5 Series G30 biasa yang menjadi asasnya. Antaranya ialah kehadiran sistem stereng M Servotronic dan suspensi adaptif M dengan tiga tetapan berbeza (Comfort, Sport dan Sport Plus), palang anti-olengan yang lebih teguh, tambahan X-brace besi, aluminium transverse struts, mounting yang lebih keras dan banyak lagi.

Ciri standard yang lain antaranya ialah brek M dengan kaliper enam-piston di depan dan kaliper piston tunggal terapung di bahagian belakang yang dipadankan dengan cakera brek berliang. Jika perlu untuk dinaiktaraf, BMW Group Malaysia menawarkan brek karbon seramik M pada harga RM95,000, yang 23 kg lebih ringan.

Kemasan di luar pula antaranya terdiri daripada bumbung buatan plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon (CFRP), kemasan Shadow Line berkilat BMW Individual, spoiler belakang dan perincian khusus bagi lencana M yang lain. Roda yang digunakan ialah dari jenis aloi ringan M bersaiz 20-inci.

Bahagian dalam pula turut disertai oleh ciri-ciri seperti sistem navigasi dengan skrin sesentuh 10.25-inci, perkhidmatan BMW ConnectedDrive, kawalan pergerakan BMW Gesture Control, sistem bunyi Harmon Kardon dengan amplifier 600-watt serta 16-pembesar suara dan kamera undur.

Ia juga hadir dengan barisan sistem keselamatan yang mengkagumkan sebagai ciri standard, yang terdiri daripada Dynamic Stability Control, Automatic Stability Control, Dynamic Brake Control dan Cornering Brake Control – ini adalah tambahan kepada sistem keselamatan sedia ada yang lain.

Turut ditawarkan ialah BMW Display Key, kemasukan tanpa kunci, butang Push/Start, kawalan suhu empat-zon, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop/Go, tirai matahari belakang berkuasa, pencahayaan lampu suasana 11-warna, paparan utama, bantuan parkir dan bukaan but berkuasa automatik tanpa menggunakan tangan.

Selain daripada ciri pilihan brek seramik, M5 ini juga hadir dengan pakej pilihan yang lain seperti Performance Pack pada harga RM30,000. Ini akan didatangkan dengan penutup enjin gentian karbon, tali keledar M dan sistem ekzos M.

Turut ditawarkan secara berasingan ialah Advanced Safety Pack pada harga RM15,000, yang datang dengan Driving Assistant Plus. Akhir sekali, Premium Entertainment Pack untuk menggantikan set Harman Kardon standard dengan sistem dari Bowers and Wilkins – pada harga RM55,000, lengkap dengan sistem hiburan untuk tempat duduk belakang.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah Marina Bay Blue metalik, Donington Grey metalik dan Singapore Grey metalik. Pesaing paling hampir BMW M5 ini ialah Mercedes-Benz AMG E 63 S 4Matic+ yang dijual pada harga bermula RM998,888. Jika anda inginkan maklumat dan perincian lanjut berkaitan model ini, layari juga CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required