BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

Sebelum ini kita sudah disajikan dengan spyshot, teaser serta imej yang bocor berkenaan BMW M5 F90. Akhirnya, sedan berprestasi yang ditunggu ramai tersebut ditunjukkan secara rasmi bersama perinciannya.

Sudah diketahui bahawa model terkini generasi keenam ini akan menggunakan enjin V8 4.4 liter twin-turbo yang sama, namun jumlah kuasanya sekadar dianggar sahaja. Setelah dipertonton secara rasmi ini, BMW memberitahu ia mampu menghasilkan 600 hp antara 5,600 hingga 6,700 rpm, 750 Nm tork antara 1,800 dan 5,600 rpm.

Peningkatan kuasa ini adalah hasil daripada beberapa kerja naik taraf yang dilakukan pada enjin S63 tersebut, termasuk pengecas turbo baru dan tekanan bahan api maksimum lebih tinggi, iaitu 350 bar. Dengan tekanan seperti ini, masa suntikan yang lebih pendek serta atomisasi bahan api yang lebih baik dapat diperolehi, seterusnya menghasilkan tindak balas enjin lebih tepat dan campuran bahan api yang lebih cekap.

Turut diubah adalah sistem penyejukan dan bendalir, dengan adanya komponen seperti takung minyak dengan bahagian yang kecil di hadapan, penyejukan udara indirect charge yang lebih kecil dan cekap berbanding sebelum ini, sistem penyampaian minyak sedia untuk perlumbaan serta pam yang boleh dikawal.

Manifold ekzos jenis cross-bank yang digunakan turut direka semula, dengan penambahan resonator Helmholtz di antara dua silencer yang ada, dan ini dapat mengoptimakan kitaran pertukaran gas serta pemindahan tenaga daripada ekzos ke turbin turbo. Terdapat juga butang kawal bunyi M Sound Control yang boleh mengurangkan bunyi daripada sistem ekzos ini.

Kotak gear automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic kini diguna bagi menggantikan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan sebelum ini. BMW mendakwa unit baru ini adalah lebih lancar dan mempunyai pergerakan yang lebih baik, hasil daripada torque converter barunya yang boleh mengunci sebaik kereta memecut, serta nisbah yang lebih luas untuk penggunaan bahan api lebih baik. Sama seperti sebelum ini, terdapat tiga program penukaran gear yang boleh dipilih dan pedal penukar gear di stereng.

BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

Berita yang lebih utama sebenarnya adalah ini pertama kali dalam sejarahnya selama 33 tahun, M5 menggunakan sistem pacuan empat roda, demi berhadapan dengan kuasa serta tork yang tinggi. Sistem yang dipanggil sebagai M xDrive ini menggunakan perisian khas M, dengan kawalan bersepadu bagi dinamik longitud dan lateral. Sistem pacuan ini menghantar kebanyakan kuasa kepada roda belakang, dan apabila perlu, barulah kuasa dihantar pula kepada roda hadapan. Dengan adanya juga M Dynamic Mode, M5 baru ini masih boleh menggelungsur secara terkawal.

Selain itu, sama juga seperti Mercedes-AMG E 63, sistem pacuan M5 ini boleh dikunci untuk menjadikan ia sebuah kereta pacuan roda belakang, seterusnya membenarkan aksi drift. Walupun begitu, anda tidak perlu meletakkan kenderaan dalam mod drift untuk mengaktifkan pacuan 2WD ini, dan Dynamic Stability Control (DSC) perlu ditutup terlebih dahulu. Turut diperlengkap adalah Active M Differential.

Dengan semua tetapan ini, M5 baru dapat memberikan prestasi yang mengkagumkan untuk sebuah sedan sports – memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dan boleh mencecah kelajuan 200 km/j dalam masa hanya 11.1 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 250 km/j, manakala dengan M Driver’s Package pula, ia boleh mencecah 305 km/j.

BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

Di sebalik badannya, model F90 ini menggunakan suspensi hadapan double wishbone, dengan kinematik dan elastokinematik yang diubah semula serta gandar belakang five-link rekaan baru. Perubahan kepada bahagian belakang ini termasuk getah tapak toe link, anti-roll bar dan wishbone yang lebih tegar, serta bearing elastomer, tambahan palang X-brace dan transverse strut aluminium.

Bahagian hadapan juga dijadikan lebih tegar dengan adanya bulkhead aluminium yang diperkuat, serta palang penyokong tambahan, manakala jarak roda yang lebih lebar menjadikan kenderaan lebih stabil. Penggunaan stereng kuasa elektromekanikal juga merupakan kali pertama untuk M5 dan sistem M Servotronic serta Variable Damper Control pula menyediakan pilihan mod Comfort, Sport dan Sport Plus.

Secara standard, M5 F90 ini didatangkan dengan rim 19 inci berwarna Orbit Grey dan ia dibalut dengan tayar 275/40 di hadapan dan 285/40 di belakang. Pembeli juga boleh memilih rim 20 inci dengan tayar 275/35 di hadapan dan 285/35 di belakang. Di sebalik rim ini terdapat pakej brek M dengan angkup enam piston di hadapan dan satu piston di belakang. Cakera jenis seramik yang 23 kg lebih ringan turut disediakan sebagai pilihan.

BMW M5 F90 ditunjuk secara rasmi – 600 hp, 750 Nm

Selain rekaan baru yang lebih garang berbanding 5 Series G30 biasa, M5 ini juga menggunakan bonet serta fender aluminium, bersama skirting dan cermin sisi yang tersendiri. Pada bahagian belakang, terdapat empat muncung ekzos, spoiler kecil di atas but, manakala bumbungnya pula dibuat daripada gentian karbon.

Di dalam, anda akan dapat melihat roda stereng sport M, bersama butang M1 dan M2 yang berwarna merah, berhampiran pedal penukar gear. Turut diberi terus adalah tempat duduk sports M yang dibalut dengan kulit Merino, manakala tempat duduk pelbagai fungsi M dengan penyandar kepala bersepadu, penyokong tepi tambahan serta lencana M5 berlampu disediakan sebagai pilihan tambahan.

Selain itu, terdapat juga butang pemula enjin berwarna merah, tombol gear yang pendek dan gemuk dengan kawalan Drivelogic di bahagian atasnya, serta panel instrumen digital khas untuk model M bersama head-up display. Melengkapkan bahagian dalamnya adalah kemasan yang menggunakan struktur seperti gentian karbon.

Untuk tempoh yang terhad, BMW juga akan menawarkan model First Edition yang datang dalam warna Frozen Dark Red Metallic, kemasan luar hitam berkilat, rim 20 inci, tempat duduk putih dengan jahitan merah, kemasan dalam hitam serta lencana nombor edisinya. Hanya 400 unit model ini ditawarkan, dengan harga tambahan €19,500 (RM98,600) berbanding M5 biasa.


GALERI: BMW M5 F90 First Edition

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required