Selepas beberapa hari BMW Malaysia mula ambil tempahan bagi model coupe mewah flagship BMW 8 Series Coupe G15, model berkenaan telah dilancarkan secara rasmi di sini. Hanya ada satu varian ditawarkan ketika ini, M850i xDrive dengan harga RM1,088,800 (atas jalan tanpa insurans).

Ia dilengkapi enjin petrol N63B44T3 4.4 liter V8 dengan pengecas turbo twin-scroll, kawalan injap Valvetronic, kawalan camshaft Double-VANOS dan sistem ekzos sport. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 530 PS (523 hp) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan 750 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 4,600 rpm.

Angka-angka prestasinya pula adalah seperti berikut; pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, dan had laju maksimum yang dihadkan secara elektronik ialah 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 10.4 liter bagi setiap 100 km.

Ini dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda xDrive dari BMW, yang lebih cenderung kepada pacuan roda belakang dan akan mengagihkan tork antara roda depan dan belakang untuk memberikan cengkaman yang lebih padu.

Aspek casis, M850i ini menggunakan jenis double wishbones di depan dan tetapan five-link untuk bahagian belakang. Selain itu, suspensi Adaptive M dan Integral Active Steering juga adalah standard.

Brek pula menggunakan jenis kaliper tetap empat-piston di depan, jenis piston tunggal apungan di belakang dengan cakera berliang dengan saiz 395 mm. Oleh kerana ia sebahagian daripada pakej M Performance, kaliper berkenaan dicat biru dan ada logo M.

Kemasan luaran lain yang datang sekali dengan pakej yang sama ialah splitter depan, spoiler kecil di belakang dan kemasan dalam warna Cerium Grey di luar. Ini disertai oleh lampu utama BMW Laserlight (dengan BMW Selective Beam) dan tingkat kemasan Shadow Lime BMW Individual.

Model ini juga dilengkapi rim 20-inci aloi M – dalam kemasan dua warna Cerium Grey serta gandingan tayar berlainan saiz – 245/35 di depan dan 275/30 di belakang. Bagi rim dalam warna Jet Black, ia hanya akan ditawarkan dengan warna badan Sunset Orange – lain-lain warna badan yang ada ialah Carbon Black metalik, Black Sapphire metalik, Sonic Speed Blue metalik, Barcelona Blue metalik, dan Mineral White.

Di dalam, pilihan warna yang ditawarkan ialah hitam, Cognac atau Ivory White bagi balutan kulit untuk tempat duduk BMW Individual Merino. Tempat duduk adalah kawalan elektronik sepenuhnya, dan bahagian belakang boleh dilipat dengan nisbah 50:50 untuk menambah ruang barangan 420 liter yang sedia ada.

Lain-lain termasuklah stereng balutan kulit M, tali keledar, pedal dan karpet M, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem lampuan suasana, Comfort Access System dan lain-lain. Turut ada ialah BMW Live Cockpit Professional dengan instrumen kluster 12.3-inci dan skrin tengah 10.25-inci – kedua-duanya dipautkan kepada BMW Operating System 7.0 dan sistem audia 16-pembesar suara Harman Kardon.

Kereta ini juga yang pertama oleh BMW di Malaysia yang dilengkapi ciri BMW Intelligent Personal Assistant – versi BMW bagi Apple Siri atau Google Assistant, yang boleh menerima arahan suara bagi beberapa fungsi terpilih.

Pertama kali ditampilkan ialah BMW Digital Key yang menggunakan teknologi komunikasi jarak dekat (NFC) untuk membolehkan kereta dikunci atau dibuka menggunakan telefon pintar. Dengan BMW Connected App, pemilik boleh berkongsi kunci berkenaan dengan lima lagi orang lain.

Kelengkapan keselamatan antaranya terdiri daripada kawalan cruise adaptif dengan fungsi Start/Stop, Parking Assistant serta Driving Assistant Professional. Yang terakhir ini turut merangkumi sistem seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Pedestrian Collision Warning, Crossing Traffic Warning (depan dan belakang) serta Emergency Stop Assistant.

Setiap pembelian M850i xDrive akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun, BMW Roadside Assistance dan Accident Hotline, aplikasi BMW Group Loyalty+ (dengan BMW White Card) serta BMW Service Online. Makluma lanjut berkaitan model ini boleh dicapai di Carbase.my.