Serentak dengan pelancaran BMW Luxury Excellence Pavilion hari ini, jenama dari Jerman berkenaan turut membawa sekali model konsep BMW 8 Series. Kemunculannya kali ini juga merupakan penampilan pertamanya di rantau Asia Tenggara.

Jika anda peminat BMW, nama 8 Series E31 yang muncul pada era 90’an dengan muncung tajam dan menampilkan lampu hadapan jenis ‘pop-up’ pasti masih segar diingatan. Model yang dipamerkan hari ini merupakan model konsep generasi terbaru 8 Series yang dijangka akan mula diproduksi pada tahun ini, bersama dua lagi model baharu – SUV X7 dan Z4 Roadster.

BMW 8 Series ini direka lebih ekspresif berbanding model-model BMW yang berada dalam pasaran buat masa sekarang. Garisan badannya dilakar bercampur, antara yang beralun dan bersegi. Bonet hadapan menjunam ke bawah, menuju ke gril ‘kidney‘ yang besar, dan salur udara di bawah juga nampak besar kerana lampu utamanya nipis.

Beralih ke sisi, terdapat tempat untuk udara keluar berhampiran lengkuk tayar hadapan, manakala lengkuk tayar belakang pula direka lebar, untuk kedudukan yang lebih tegap. Tidak seperti kebanyakan kenderaan konsep sekarang, BMW 8 Series ini masih mempunyai cermin sisi, membuatkan ia nampak sudah bersedia untuk diproduksi.

Bahagian belakang, cermin coupe ini direka menjunam menghala ke penutup but belakang, tetapi kemudiannya naik balik pada bahagian yang kelihatan sperti spoiler bersepadu. Lampu LED yang menggunakan pencahayaan unik berbentuk L ditempatkan pada setiap penjuru. Liang kemasukan udara yang agresif pada bampar belakang turut direka sama pada bahagian belakang, yang turut menempatkan tip ekzos berkembar. Rim 21 inci dan warna Barcelona Grey Liquid melengkapkan penampilan model konsep ini.

Biasa bagi BMW, bahagian kokpit dijadikan fokus kepada pemandu dan dibalut dengan kulit berwarna coklat gelap dan putih, bersama konsol tengah yang tinggi. Dengan adanya juga panel tengah yang membahagikan tempat duduk kiri dan kanan, pemandu akan tenggelam dalam kokpit ini. Tempat duduknya menggunakan gentian karbon manakala stereng yang direka dengan elemen deep dish pula diberikan kemasan aluminium berkilat.

Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, tetapi versi produksi 8 Series ini dijangka dibangunkan menggunakan platform modular Cluster Architecture (CLAR), yang menggunakan bahan serba ringan seperti aluminium, magnesium dan gentian karbon untuk mengurangkan berat.

Barisan 8 Series dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin seperti 7 Series, termasuk enam silinder sebaris, V8 dan V12 disuap pengecas turbo. Versi berprestasi tinggi sebenar M8 juga bakal diperkenalkan, dijana oleh enjin sama seperti M5 F90 akan datang – V8 4.4 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan lebih 600 hp, dan kuasa disampaikan kepada semua roda melalui sistem xDrive BMW terkini. Enjin ini dijangka bakal digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dan bukan kotak gear klac berkembar M DCT.

Model konsep berkenaan dipamerkan pada ruang pameran BMW Luxury Excellence Pavilion yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur yang 22 Februari hingga 7 Mac 2018. Namun, hanya yang telah mendaftarkan minat mereka sebelum ini dibenarkan untuk masuk ke ruang pameran untuk melihat sendiri model konsep tersebut.

Turut menyertai BMW dalam Pavillion serba mewah berkenaan termasuk jenama premium seperti Dior, Hugo Boss, Moet Hennessy Diageo, Jaeger-LeCoultre, Wei-Ling Gallery, Leica, illy Coffee dan SPACE.