Program Teksi Madani kini diperluaskan pula ke Sabah

Susulan pelancarannya di Sarawak, program pembaharuan teksi kebangsaan ‘Teksi Madani’ terus diperluas ke Malaysia Timur, dengan Kementerian Pengangkutan mengumumkan pelaksanaan seterusnya di Sabah. Program tersebut dilancarkan pada 3 Julai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan seterusnya dilaksanakan di Seremban pada 16 Julai dan juga Kuching pada 28 Ogos.

Majlis pelancaran di Kota Kinabalu, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, memberi peluang kepada pemandu teksi, e-hailing dan kereta sewa di negeri itu untuk mendapatkan maklumat secara terus mengenai insentif, pembiayaan, perlindungan sosial serta peluang yang berkaitan.

Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan bahawa seramai 150 peserta yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing serta wakil agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri telah hadir sama. Para pemandu diberikan taklimat mengenai prosedur permohonan, manfaat program dan pakej pembiayaan yang direka untuk membantu mereka beralih kepada kenderaan yang lebih baru dan selamat, serta memenuhi keperluan operasi semasa.

Kementerian itu turut menyatakan bahawa penggunaan kenderaan yang lebih baru bukan sahaja mengurangkan keperluan penyelenggaraan dan meningkatkan kecekapan operasi, malah turut menawarkan ciri keselamatan serta kemudahan moden yang memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa dan berkualiti kepada penumpang.

Acara tersebut turut menampilkan Proton S70 yang disediakan khusus untuk program pembaharuan teksi berkenaan. Ditampilkan dalam warna Ruby Red, unit Teksi Madani ini — yang merupakan salah satu pilihan kenderaan dalam skim berkenaan — tidak menggunakan corak luaran teksi konvensional mahupun papan tanda bumbung tradisional, sebaliknya menggunakan plat nombor khas ‘GET’ serta meter teksi digital.

Kementerian juga memaklumkan bahawa pada masa ini, terdapat 818 pemandu teksi, 4,045 pemandu kereta sewa dan 24,006 pemandu e-hailing di Sabah yang aktif serta berdaftar dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah), sekali gus menjadikan negeri itu lokasi strategik untuk memperluas manfaat program pembaharuan tersebut.