Selepas kecoh berkenaan apa yang berlaku di Lebuhraya Temiang-Pantai, Negeri Sembilan dimana orang ramai berhenti di lorong kecemasan jalan berkenaan untuk mengambil gambar kerana pemandangan yang cantik, perkara sama nampaknya berlaku di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus Pulau Pinang yang baru dibuka bulan ini.
Selepas tular di media sosial mengenai situasi di Jalan Bukit Kukus berkenaan yang dipenuhi sampah sarap yang dibuang pengguna jalan raya yang berhenti di situ, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan semua pengguna jalan raya agar tidak memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan tersebut demi keselamatan mereka.
“MBPP berharap agar semua pengguna jalan raya tidak memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Berkembar, Jalan Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) demi keselamatan,” tulis satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MBPP dan dilaporkan oleh Kosmo Online.
MBPP menerusi kenyataan itu juga menyeru pengguna agar menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan berkenaan. “Mereka juga diseru agar menjadikan tabiat membuang sampah di tempat yang betul sebagai sebahagian daripada amalan dan etika yang boleh dibanggakan,” tulis kenyataan itu lagi dan menambah bahawa para petugas pembersihan telah dikerahkan untuk membersihkan segera sampah sarap yang telah dibuang sewenang-wenangnya di Jalan Bukit Kukus semalam.
“MBPP berasa kesal dengan sikap sesetengah para pengguna jalan raya yang tanpa segan silu membuang sampah keluar dari kenderaan semasa memandu.
“Ada juga sikap yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Bukit Kukus untuk berswafoto pemandangan indah dan meninggalkan sampah sarap,” kata MBPP lagi dan turut menambah kelakuan seumpama itu seolah-olah tidak menghormati keindahan alam sekitar dan juga keselesaan para pengguna yang lain.
Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ini telah pun dibuka kepada umum pada 13 Januari lalu. Laluan baharu tersebut menyediakan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.
Laluan dengan ketinggian 60 meter berkenaan dijangka menjadi lebuh raya yang paling tinggi di Malaysia, selepas jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass dengan ketinggian 58.2 meter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.