Berdasarkan standard kebiasaannya, 2021 adalah tahun yang mendatar bagi Perodua dari segi prestasi jualan dan pengeluaran. Terdapat banyak keadaan yang berada diluar kawalan — perintah kawalan pergerakan dan bekalan cip yang terhad, serta banjir besar hujung tahun lalu di Shah Alam, di mana kebanyakan vendornya beroperasi, telah memberi kesan.
Sudahnya, pendahulu pasaran ini hanya berjaya menjual sebanyak 190,291 unit kenderaan sahaja sepanjang tahun lalu, turun 13.6% berbanding 2020 yang mencatatkan 220,154 unit. Jumlah akhir juga kurang daripada sasaran 200k yang ditetapkan, selepas diturunkan daripada 214k pada September. Sasaran asal Perodua bagi 2021 ialah 240k unit kenderaan terjual. Semua ini disebabkan oleh masalah pengeluaran, kerana kebiasaannya Perodua akan menjual semua unit yang dikeluarkan — hujung 2021, tempahan tertunggak mencecah angka 70k.
Syarikat ini bagaimanapun menjangkakan pemulihan besar untuk 2022. Jika tiada gangguan, sasaran yang ditetapkan tahun ini adalah 247,800 unit, lonjakan besar 30.2% berbanding 2021. Bagi pengeluaran pulak ia dijangka akan meningkat sebanyak 37.5% kepada 265,900 unit tahun ini.
Model baru (Alza D27A dan dua pengenalan model facelift) dan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi bermakna ia memerlukan lebih banyak bahagian. Ini akan menyumbang sebanyak RM7.5 bilion kepada eko-sistem automotif tempatan, daripada peruntukan yang telah disediakan oleh oleh Perodua untuk tujuan itu. Angka ini adalah lonjakan 41.5% daripada RM5.3 bilion yang dibelanjakan untuk alatan/bahagian kenderaan tahun lalu.
Perodua memaklumkan ia akan terus memaksimumkan penggunaan alatan/bahagian kenderaan keluaran tempatan sebagai pendekatan pertumbuhan industri, dan itu tentunya termasuk sekali aktiviti R&D di peringkat pembekal. Setakat ini, tahap lokalisasi kenderaan Perodua sudah sangat tinggi — Ativa misalnya, walaupun berkongsi dengan model di Jepun dan Indonesia, diperkenalkan tahun lalu dengan 95% kandungan tempatan, paling tinggi bagi mana-mana model Perodua ketika pelancaran.
Bagi perbelanjaan kapital pula, Perodua merancang pelaburan keseluruhan bagi 2022 dengan jumlah RM1.3 bilion, naik banyak berbanding RM696.3 juta yang dibelanjakan pada 2021. Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah untuk model baru (RM529.1 juta). Peruntukan utama yang lain adalah untuk “bangunan, tanah dan jalan” (RM381.3 juta) dan “penambahbaikan dan transformasi kilang” (RM321.3 juta).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.