Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model facelift untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model <em>facelift</em> untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

Ketika sidang media selepas pengumuman perancangan Perodua untuk 2022 semalam, jenama pengeluar tempatan dari Rawang berkenaan turut berkongsi berkenaan model-model yang bakal mereka lancarkan tahun ini. Walaupun tidak menyebutnya secara spesifik, Perodua mendedahkan bahawa mereka bakal melancarkan satu model serba baharu dan dua model tingkat taraf dari model sedia ada untuk tahun ini.

“Kemampuan sebenar kami adalah untuk [melancarkan] dua model kemaskini kecil (facelift) dan satu model serba baharu setiap tahun, jadi kami akan teruskan dengan rancangan yang sama, dan jika anda perasan, dalam [pelan] pelaburan, salah satu bahagian yang paling besar dalam pelaburan sebenarnya adalah untuk pembangunan model baharu,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad apabila ditanya berkenaan rancangan syarikatnya tahun ini.

Merujuk kepada pelan pelaburan Perodua untuk 2022, syarikat tersebut dilihat telah memperuntukkan sejumlah RM529.1 juta dari jumlah RM1.3266 bilion secara keseluruhan hanya untuk pembangunan model baharu. Jumlah berkenaan sememangnya sangat besar kerana tahun lalu Perodua hanya memperuntukkan sejumlah RM696.3 juta untuk jumlah keseluruhan pelaburannya, yang juga dilihat lebih sekali ganda berbanding pelaburan pada 2018 dan 2019.

Jadi model apa agaknya yang akan Perodua lancarkan tahun ini? Untuk model serba baharu, sebelum ini Perodua telah pun mengesahkan mereka akan lancarkan model generasi baharu untuk MPV kompak Alza pada 2022. Malah dalam sidang media yang sama semalam juga, Dato’ Zainal sendiri menyatakan model gantian Alza yang akan menggunakan platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) berkenaan akan mula diproduksi sebaik sahaja produksi Alza sedia ada ditamatkan pada April nanti.

Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model <em>facelift</em> untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

Buat masa sekarang projek pembangunan MPV baharu tersebut hanya dikenali dengan kod D27A. Dengan disahkan bahawa ia akan diasaskan dari platform DNGA, boleh dijangkakan bahawa Alza generasi baharu ini merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza yang baharu sahaja dilancarkan di Indonesia lewat tahun lalu, sama seperti kembar Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize yang turut menggunakan asas DNGA.

Untuk pasaran Indonesia, Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.

Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.

Manakala untuk dua lagi model facelift yang bakal dilancarkan tahun ini, jangkaan kami adalah dua model “paling lama” dalam barisan model Perodua sedia ada iaitu Aruz dan juga Axia, juga dengan mengambil kira Myvi facelift baru sahaja dilancarkan tahun lalu, manakala sedan Bezza pula sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Januari 2020.

Perodua Aruz telah diperkenalkan pertama kali pada Januari 2019, yang juga merupakan kembar kepada Toyota Rush (malah diproduksi bersama oleh Perodua di Rawang). Jadi masuk tahun ini, Aruz telahpun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran dan hanya menerima tingkat taraf kecil pada Mei tahun lalu dengan penambahan perincian seperti pemijak sisi, fungsi kunci automatik dan juga pilihan warna baharu – memang waktu terbaik untuk melancarkan model facelift untuk Aruz tahun ini.

Bagi Perodua Axia pula, ia sudah muncul dalam pasaran sejak September 2014, dan kemudian muncul dalam versi facelift pada Januari 2017. Axia sekali lagi menerima facelift pada September 2019 yang menyaksikan kesemua varian kini menerima muka yang sama, diberikan peningkatan kit serta diberikan varian psedo-SUV baharu digelar Axia Style.

Walaupun sudah berada lebih tujuh tahun dalam pasaran, Axia dilihat masih relavan dengan jumlah jualan sebanyak 43,080 unit dicatatkan sepanjang tahun lalu. Malah kembarnya di Indonesia iaitu Daihatsu Ayla dan Toyota Agya juga masih dijual disana.

Jadi boleh dijangka, Axia facelift 2022 mungkin akan menerima tingkat taraf yang sama seperti Ayla dan Agya facelift yang diperkenalkan di Indonesia pada Mac 2020, yang menampilkan suis-suis kawalan pendingin hawa digital, penyegaran rupa dan pelbagai lagi.

Namun sekali lagi kami ingin nyatakan bahawa apa yang kami tulis ini adalah jangkaan kami berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ada buat masa sekarang. Untuk perincian yang lebih rasmi, sudah tentu kita kena sama-sama tunggu ia dikeluarkan sendiri oleh Perodua kelak. Anda pula bagaimana? Apa jangkaan anda tentang model-model yang akan dilancarkan oleh Perodua tahun ini? Kongsikannya bersama di ruang komen!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required