Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

Menurut laporan Nikkei, jualan kereta baharu di enam negara ekonomi utama ASEAN pada tahun 2021 mencecah 2.79 juta unit kenderaan. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh tiga tahun menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan lonjakan permintaan yang ketara di Indonesia serta kelonggaran sekatan pergerakan Covid-19 di beberapa negara pada separuh kedua 2021 menjadi faktor utama.

Walau bagaimana pun, angka jualan yang digabungkan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam itu masih kurang sekitar 20% berbanding yang dicatatkan pada tahun 2019, sebelum pandamik. Jualan pada tahun 2021 juga agak terjejas disebabkan isu pengeluaran yang timbul akibat masalah kekurangan cip semikonduktor. Untuk tahun 2022, penganalisis pasaran menjangkakan jualan kereta akan melantun semula lebih tinggi.

Dalam jumlah keseluruhan 2.79 juta yang terjual pada tahun lalu, Indonesia menyumbangkan sebanyak 887,202 unit kenderaan dan menjadi pasaran terbesar untuk kereta baharu di antara enam negara ASEAN, buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun ini. Indonesia memperkenalkan pecahan cukai untuk menggalakkan permintaan pada Mac lalu yang kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir 2021, dan kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga hujung Mac 2022.

Persatuan Industri Automotif Indonesia menjangkakan jualan kereta baharu untuk tahun ini boleh mencecah 900,000 unit, angka yang agak rendah jika dibandingkan ketika zaman pra-pandemik pada 2019 iaitu 1.03 juta unit. Tahun lalu, Toyota mengekalkan posisinya sebagai jenama paling laris, diikuti oleh Daihatsu dan Mitsubishi di tempat kedua dan ketiga.

Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

Sementara itu, Thailand pula di tempat kedua dengan penyusutan jualan kereta baharu selama tiga tahun berturut-turun, dengan mencecah 759,119 unit (-4%). Pada separuh pertama tahun 2021, jualan meningkat berbanding tempoh yang sama pada 2020, tetapi momentum itu menyusut disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan dan pengeluaran yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Toyota yang merupakan peneraju pasaran di Thailand, menjangkakan industri temoatan merekodkan sejumlah 860,000 unit bagi jualan kereta baharu pada 2022 – termasuk dengan jenama lain. Angka ini masih di bawah satu juta kenderaan yang direkodkan di negara tersebut pada 2019, dan Toyota tidak menjangkakan jualan akan melepasi paras itu sehingga selepas tahun 2023 disebabkan kuasa beli pengguna yang agak perlahan akibat Covid-19.

Malaysia turut menyaksikan penyusutan jualan pada tahun lalu sebanyak 4% dengan hanya 508,911 unit kenderaan yang terjual. Faktor penyebabnya ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Jun lalu yang banyak menjejaskan aktiviti jualan. Walau bagaimana pun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jualan sebanyak 600,000 unit untuk tahun 2022, angka yang lebih tinggi berbanding 2021, tetapo masih jauh lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada 2019.

Manakala Vietnam pula mencatatkan jualan sekitar 300,000 unit kenderaan baharu pada tahun lalu, dan Filipina pula merekodkan sebanyak 280,000 unit. Vietnam menjadi pasaran kereta baharu ke-empat terbesar di Asia Tenggara untuk dua tahun berturut-turut (2020-2021), di mana sebelum itu posisi tersebut diduduki oleh Filipina.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required