Kerajaan Indonesia akan merujuk semula skema cukai kenderaan bermotor mereka, terutamanya cukai barangan mewah bermula 16 Oktober ini, mengikut laporan laman berita negara tersebut, iaitu Kontan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa struktur cukai berasaskan kapasiti enjin kenderaan yang digunakan sekarang akan diganti dengan cukai berasaskan emisi ekzos, selari dengan peraturan No.73 2019 yang merujuk kepada kenderaan di bawah cukai barangan mewah (PPnBM).

Pengerusi Persatuan Industri Automotif Indonesia (Gaikindo), Jongkie Sugiarto juga menyokong peraturan No.74 2021 yang akan dilaksana, menyaksikan pelarasan harga kenderaan berasaskan tarif untuk kenderaan elektrik bateri, PHEV dan EV fuel-cell.

Menurut Sugiarto, dengan pelaksanaan peraturan baru ini, akan terdapat perubahan harga pada kenderaan bermotor di pasaran Indonesia. “Ada jenis kenderaan bermotor yang kadar PPnBM dinaikkan, dan ada juga yang turun,” kata beliau kepada Kontan.

Pada bulan Jun yang lepas, Indonesia telah menyambung lagi pengecualian penuh cukai barangan mewah untuk kenderaan pacuan dua roda bawah 1.5 liter hingga bulan Ogos, dan kemudiannya dikurangkan sebanyak 25% pada bulan September. Walaubagaimanapun, pengecualian penuh telah dilaksanakan semula sehingga hujung tahun 2021.

Menurut laporan sebelum ini oleh Reuters, cukai barangan mewah dikenakan pada kadar antara 10% dan 30%, menjadikannya jumlah yang besar kepada harga kereta berbanding 6% SST yang dilaksanakan di Malaysia. Pengecualian ini hanya layak bagi kenderaan pacuan dua roda dengan kandungan tempatan sekurang-kurangnya 70%. Ia dikurangkan kepada 50% bagi kenderaan dengan enjin 1,500 cc dan 2,500 cc dengan lebih daripada 60% kandungan tempatan, dan 25% bagi model pacuan empat roda.