Volkswagen telah menyiarkan teaser untuk sebuah “sedan global baru”, yang akan didedahkan sepenuhnya di India 8 Mac 2022. Nama model tersebut masih belum diberitahu, tetapi banyak laporan mengatakan ia adalah versi facelift bagi Virtus yang dilancarkan pada tahun 2017.
Sedan segmen B yang diperbaharui ini akan menggantikan Vento yang sudah lama dijual di India, dan berkemungkinan memasuki pasaran negara lain pada masa hadapan. Virtus sebenarnya adalah kembar kepada Skoda Slavia, iaitu model yang baru sahaja dilancarkan untuk India November lalu dan dibina atas platform khas MQB A0 IN untuk India.
Dengan asas yang sama, Virtus juga dijangka menerima enjin sama seperti Slavia, termasuk unit petrol tiga silinder 1.0 liter turbo TSI berkuasa 115 PS dan 175 Nm, serta petrol empat silinder 1.5 liter turbo TSI 150 PS/ 250 Nm.
Unit manual enam kelajuan adalah transmisi standard bagi kedua-dua enjin ini, tetapi model 1.0 liter juga boleh didapatkan dengan transmisi automatik enam kelajuan, manakala model 1.5 liter mendapat pilihan transmisi klac berkembar DSG tujuh kelajuan – kuasa dihantar ke roda hadapan.
Berdasarkan imej teaser yang disiar, sedan baru ini menggunakan gril hadapan dengan dua jalur serta lampu projector rekaan baru dengan DRL LED. Bampar hadapan juga kelihatan seperti mempunyai bukaan udara yang lebih lebar, berserta lampu kabus pada setiap penjuru.
Bahagian lain pada Virtus mungkin sama dengan Slavia, dengan bahagian dalam bakal melibatkan naik taraf yang ketara berbanding Vento sebelum ini. Kelengkapan yang boleh dijangka adalah seperti skrin sesentuh, panel instrumen digital, balutan kulit serta pelbagai lagi sistem sambungan lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.