Pembayaran parkir di Selangor bakal dilaksanakan secara digital sepenuhnya bermula 1 April 2022, melibatkan semua daerah kecuali Sabak Bernam dan Hulu Selangor, laporan Free Malaysia Today.
Selangor telah memulakan pelaksanaan sistem pembayaran digital secara berperingkat sejak 1 Januari lalu bagi memberi masa kepada orang awam menyesuaikan diri dengan perubahan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han.
Tambah Ng, pembayaran digital untuk parkir boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Smart Selangor Parking, yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play dan Galeri Aplikasi Huawei. Sementara itu, penggunaan kupon letak kereta dan pembayaran manual menerusi mesin akan berakhir pada 31 Mac ini.
Untuk pemandu yang tidak mempunyai telefon pintar atau pun akses pembankan dalam talian di mana ia diperlukan untuk membuat pembayaran menerusi aplikasi berkenaan, mereka boleh membuat pembayaran dan pembelian kredit tambah nilai untuk e-kupon dari 100 kedai yang dipilih oleh pihak berkuasa tempatan, di mana terdapat tanda “SSP” yang dipaparkan” dan “e-kupon ada dijual di sini”, ujar Ng lagi.
“Kini warga emas tidak perlu berjalan ke kereta mereka untuk meletakkan resit parkir yang dicetak kerana pembayaran direkodkan secara dalam talian untuk pegawai penguatkuasa menyemak secara maya,” kata Ng. Bagi mereka yang telah mengumpul kupon yang tidak digunakan, ia boleh ditukar kepada kredit dalam aplikasi mudah alih SSP dari 16 Mac hingga 30 April, tambahnya.
Ng turut berkata, selain itu, zon parkir dua-jam khas, atau “Zon 2 Jam” akan diimplementasikan di kawasan komersil yang sibuk pada tahun ini.
“Kadar parkir bagi zon berkenaan adalah sama. Tujuannya adalah untuk mempunyai lebih banyak penggiliran di lot parkir untuk mengurangkan masalah sedia ada yang dihadapi oleh pemandu di kawasan komersil yang sibuk,” kata Ng.
Ia akan dimulakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) yang baru-baru ini telah mengumumkan akan melaksanakan had parkir dua-jam di beberapa kawasan dalam pentadbirannya termasuk di Subang Jaya, USJ 9 dan 10 (Taipan), SS19, Bandar Puteri Puchong dan Bandar Sunway.
MBSJ juga akan beralih ke pembayaran parkir digital sepenuhnya bermula tarikh yang sama iaitu 1 April ini. Aplikasi yang menyediakan perkhidmatan pembayaran secara digital ini termasuk Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking, Boost dan Touch n Go e-wallets.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.