Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

Hampir satu tahun selepas Audi memperkenalkan A6 e-tron Concept kepada dunia di Shanghai, kini pengeluar Jerman itu menunjukkan pula A6 Avant e-tron Concept. Versi wagon ini memberi petunjuk kepada model produksi yang akan dikeluarkan pada masa hadapan.

Apa yang mereka lakukan adalah mengambil model sedan (juga dipanggil sebagai Sportback), dan memanjangkan garis bumbungnya sehingga ke belakang. Ini menjadikan ia lebih praktikal dan mesra pengguna, dengan bahagian bumbungnya yang berwarna hitam mempunyai garis di tepi dan bersambung sehingga ke spoiler belakang.

Antara konsep rekaan sama yang digunakan pada versi wagon ini adalah seperti gril “singleframe” yang tertutup sepenuhnya, lampu utama terpisah dua (unit yang lebih nipis di atas dan projector yang besar di bawah), lampu belakang OLED penuh dari kiri sehingga ke kanan serta diffuser yang besar di belakang.

Walaubagaimanapun, masih ada beberapa bahagian yang ditukar, seperti bucu bampar hadapan dengan kemasan berbentuk L, corak gril baru serta warna kelabu Neptune Valley yang lebih gelap. Di bahagian belakang, diffuser dijadikan lebih menonjol dengan lekuk warna perak yang lebih besar sementara rim pula menggunakan unit 22 inci.

Audi telah memberikan perhatian yang lebih kepada lampu utama kereta ini, di mana ia menampilkan teknologi LED matriks digital. Tiga projector resolusi tinggi yang berada di atas bukan sahaja boleh menghasilkan memantulkan kesan pencahayaan dinamik ke atas lantai apabila pintu dibuka, tetapi juga boleh memancarkan simbol amaran.

Kemudiannya terdapat empat lagi projector yang tersembunyi di bahagian bukaan udara di penjuru, untuk lampu penunjuk arah. Lampu utama boleh dilaras mengikut keperluan atau kelulusan sesebuah negara, dan ia juga boleh memancarkan permainan video ke dinding apabila kereta sedang dicas.

Satu lagi bahagian yang diberikan fokus adalah aerodinamik, di mana Avant e-tron Concept ini boleh menghasilkan kecekapan angin 0.24 cd – cuma sedikit lebih berbanding 0.22 cd yang dihasilkan oleh versi Sportback. Selain bentuk badan yang serba licin, turut membantu adalah kamera tepi yang menggantikan cermin sisi – pertama kali digunakan pada SUV e-tron.

Audi masih belum mendedahkan sebarang gambar sebenar bahagian dalam kereta ini, tetapi pernah menunjukkan lukisan sewaktu pengenalan versi Sportback, menampakkan rekaan papan pemuka yang bersih, serta panel instrumen dan infotainmen yang besar. Versi produksi dijangka menggunakan rekaan yang sama.

Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

Di sebalik panel badannya, kedua-dua versi Avant dan Sportback e-tron Concept ini menggunakan platform Premium Platform Electric (PPE), yang dibangunkan bersama Porsche dan menampilkan jarak rodak yang panjang serta pek bateri di bawah lantai. Model Audi yang menggunakan platform ini akan menggunakan sama ada satu motor di belakang, atau dua motor di hadapan dan belakang. Model konsep ini menggunakan dua motor dan boleh menghasilkan kuasa sehingga 350 kW (476 PS) dan tork maksimum 800 Nm.

Dengan pakej kuasa ini, A6 e-tron dikatakan mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah empat saat. Ia juga datang dengan kapasiti bateri sekitar 100 kWh, mampu menyediakan jarak gerak sehingga 700 km. Melalui struktur elektrikal 800 volt, model ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 270 kW, dan bateri boleh diisi dari kadar 5% ke 80% dalam masa bawah 25 minit dan memberikan jarak gerak 300 km apabila dicas selepas hanya 10 minit.

A6 e-tron juga datang dengan sistem suspensi udara yang terdiri daripada penyerap adaptif, gandar five-link khas hadapan serta multilink di belakang. Setakat ini masih belum diberitahu bila versi produksi akan dikeluarkan, tetapi menurut Audi, model PPE pertama akan mula dijual pada tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required