Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai untuk terus melaporkan ke stesen minyak sekiranya mereka mengesan ada warga asing yang mengisi petrol RON 95 yang disubsidi. Sejak pintu masuk Malaysia-Singapura mula dibuka pada 1 April lalu, terdapat beberapa berita tular yang memaparkan kenderaan dengan plat pendaftaran republik berkenaan mengisi RON 95.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata laporan yang dikemukakan oleh orang awam adalah lebih efektif bagi menangani isu ini berbanding hanya mengambil foto dan kemudian menularkannya di laman media sosial.

“Warga Singapura yang buat begini menggunakan kad kredit, jadi memudahkan mereka mengisi petrol RON 95 terus tanpa perlu pergi ke kaunter pembayaran. Tetapi jika juruwang mengesan tindakan tersebut, pastinya ia (tindakan mengisi RON 95) akan dihentikan. Pengusaha mahu menjual petrol RON 97 jika boleh kerana jualan rendah dan kos membelinya tinggi, jadi adalah tidak logik untuk menggalakkan rakyat Singapura mengisi tangki mereka dengan petrol RON 95,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON 95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak. Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat.

Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini berkata akan melakukan pemeriksaan yang lebih kerap di stesen minyak bagi menangani isu ini dari terus berlaku.

Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Melaporkan terus ke stesen minyak atau KPDNHEP adalah satu-satunya pilihan yang anda ada sekiranya tindakan anda untuk konfrontasi dan memberitahu si pelaku yang tindakan tersebut adalah salah. Namun jangan pula sesekali anda menekan butang Emergency-Stop (E-Stop) pada pam minyak berkenaan sebagai ‘memberikan pengajaran’. Baca ARTIKEL INI jika anda ingin mengetahui mengapa tidak boleh menekan butang E-Stop tersebut sewenang-wenangnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required