Kerajaan Malaysia mengalu-alukan pelaburan bernilau tinggi bagi pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) di negara ini, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, beliau berkata negara telah bersedia untuk bekerjasama dengan mereka yang berminat untuk melabur di negara ini, khususnya dalam sektor pengangkutan dan juga bidang pembuatan, pemasangan atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) EV.
“Bagi pihak kerajaan, saya amat mengalu-alukan pelaburan asing ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai platform penting untuk memasuki pasaran ASEAN dalam bidang pembuatan EV.
“Selaku Menteri Pengangkutan Malaysia, saya juga bersedia untuk memberi bantuan dan kerjasama kepada mereka yang berminat untuk melabur di negara kita, khususnya dalam sektor pengangkutan dan juga bidang pembuatan, pemasangan atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan EV,” ujarnya.
Kenyataan terbabit dikeluarkan selepas menerima kunjungan hormat daripada Ferruccio Lamborghini, ahli keluarga generasi ketiga kepada keluarga Lamborghini yang terkenal dan Sydney Yeung, Ketua Pegawai Eksekutif GSS Energy, sebuah syarikat tersenarai di Singapura, baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, perbincangan secara mendalam mengenai masa depan EV di Malaysia turut diadakan. Katanya, perbincangan itu dari beberapa aspek penting termasuk tahap penerimaan penggunaan EV oleh rakyat Malaysia, sokongan kerajaan terhadap industri ini serta pelaburan dalam industri dan pemasaran EV di Malaysia.
Bagi menyokong pembangunan industri EV tempatan, kerajaan turut memberikan beberapa insentif khas. Ini termasuklah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV.
Selain itu, insentif terbabit turut melibatkan pengecualian cukai jalan sepenuhnya bagi EV dan juga rebat cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk setiap pembelian dan pemasangan pengecas EV, yang berlangsung sehingga 31 Disember 2023.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.