Mazda telah memulakan produksi mega atau dalam skala besar-besaran bagi SUV CX-60, yang diperkenalkan buat pertama kalinya di peringkat global pada Mac lalu. CX-60 ini merupakan salah satu daripada lima model SUV yang dimasukkan dalam barisan pengeluar jenama Jepun ini dalam tempoh dua tahun ini, salah satunya ialah CX-50 yang didedahkan pada November lalu, serta model akan datang yang akan diperkenalkan termasuk CX-70, CX-80 dan CX-90.

Untuk memperingati peristiwa itu, baru-baru ini Mazda telah mengadakan majlis bermulanya produksi di kilang Hofu di wilayah Yamaguchi di mana ia menghasilkan CX-60 bersama Mazda 6 dan CX-5. Menurut Mazda, pengeluaran CX-60 untuk pasaran Eropah telah pun bermula pada 15 Mac, dengan penghantaran pertama SUV ini dijangka akan berlepas dari pelabuhan Nakanoseki ke benua berkenaan pada 26 April ini.

CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang. Di Eropah, CX-60 ditawarkan dengan versi plug-in hybrid – pertama bagi Mazda – menampilkan enjin Skyactic-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan kuasa 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm.

Ia juga digandingkan dengan motor elektrik pada kadar 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan torn 250 Nm yang diposisikan di antara enjin dan transmisi automatik lapan-kelajuan. Motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion 17.8 kWhm memberikan sehingga 63 km bagi pemanduan bebas-emisi pada kelajuan sehingga 100 km/j.

SUV ini turut didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda i-Activ ciptaan Mazda sendiri. Gandingan ini memberikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard.

GALERI: Mazda CX-60 2022