Mazda CX-60 2022 di Jepun – 3.3L 6-silinder sebaris diesel, mild hybrid; 2.5L NA, 2.5L PHEV 323 PS

Mazda CX-60 2022 di Jepun – 3.3L 6-silinder sebaris diesel, mild hybrid; 2.5L NA, 2.5L PHEV 323 PS

Susulan pengenalannya di peringkat global pada bulan lalu, Mazda telah mengeluarkan spesifikasi awal bagi CX-60 untuk pasaran Jepun. CX-60 adalah antara empat produk yang menjadi sebahagian daripada kumpulan Large Product jenama ini, selain CX-70, CX-80 dan CX-90.

SUV besar ini memiliki ukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda pula 2,870 mm. Ini menjadikannya 190 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding CX-5, yang miliki jarak roda 2,700 mm.

Selain dimensi yang besar, model terkini CX-60 ini hanya didatangkan dengan lima tempat duduk. Tidak seperti CX-5, CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang.

Untuk pasaran Jepun, CX-60 akan ditawarkan dengan empat penjana kuasa. Yang pertama ialah plug-in hybrid (e-Skyactiv PHEV) yang juga telah diumumkan turut ditawarkan untuk pasaran Eropah dan menampilkan enjin Skyactiv 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion dan pacuan semua-roda i-Activ. Jumlah keseluruhan kuasa untuk larasan ini mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.


Menyertai plug-in hybrid ialah unit Skyactiv-G 2.5 liter yang sama, tetapi tanpa teknologi plug-in hybrid dengan kuasa 188 PS (185 hp atau 138 kW) pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 3,000 rpm. Kuasa ini lebih kurang sama dengan CX-5 spesifikasi Jepun, walau pun puncak tork mampu sampai seawal 1,000 rpm.

Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard, namun belum dipastikan adakah AWD turut diberikan sebagai pilihan kepada semua varian.

Jualan bagi CX-60 ini akan bermula di Jepun seawal musim luruh tahun ini, iaitu antara bulan September ke November. Harga dan perincian penuhnya akan diumumkan menjelang pengenalan rasminya kelak. Adakah anda juga mengharapkan model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required