Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

Pengedar Honda di Indonesia, PT Honda Prospect Motor telah melancarkan varian baharu untuk hatchback segmen-A Honda Brio di pasaran berkenaan, digelar sebagai Brio RS Urbanite Edition. Model istimewa ini dihasilkan dengan rupa lebih agresif berbanding Brio RS biasa, disasarkan untuk “anak muda yang menginginkan Honda Brio dengan penampilan yang lebih sporty, bergaya dan hype,” ujar syarikat tersebut.

Seperti yang anda lihat, model ini diasaskan dari Brio RS biasa, tetapi untuk Urbanite Edition ini ia menerima perincian tambahan untuk penampilan luaran lebih garang termasuk spoiler bumbung belakang yang jauh lebih besar dan juga rim aloi 15-inci dengan kemasan warna hitam matte.

Dua warna dua tona seperti Brio RS standard iaitu Phoenix Orange Pearl Two Tone dan Carnival Yellow Two Tone masih kekal ditawarkan, bersama dua tambahan warna baru khas untuk Urbanite Edition ini iaitu Tafetta White Two Tone dan Crystal Black Pearl. Emblem Urbanite dilekat pada pintu tailgate belakang model ini bagi melengkapkan perbezaan penampilan luaran.

Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

Perincian-perincian lain dari Brio RS biasa masih dibawa pada Urbanite Edition ini termasuk gril hadapan dengan emblem RS, spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser pada bampar belakang – kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia turut diberikan cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED, serta penutup dan pembuka pintu yang turut diberikan kemasan hitam berkilat.

Tiada sebarang perubahan perincian dalaman disebut, jadi model Urbanite Edition ini sepatutnya menerima spesifikasi sama seperti Brio RS biasa, tampil lebih sporty berbanding model-model Brio Satya dalam varian lebih rendah. Ia termasuk tema warna dalaman hitam dengan serlahan oren pada papan pemuka, roda stereng dengan suis kawalan audio, tempat duduk hadapan dengan perehat kepala boleh laras, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 6.2-inci bersama tambahan unit tweeter.

Kesemua varian Honda Brio di Indonesia ini menerima perincian standard seperti lampu hadapan dengan lampu panduan LED, roda stereng dengan hanya larasan turun dan naik, sistem stereng kuasa elektrik, dan suis kawalan pendingin hawa dengan paparan digital.

Honda Brio RS Urbanite Edition 2022 diperkenalkan di Indonesia – RM68k-RM71k, pilihan manual 5-kelajuan

Sistem keselamatan juga adalah sama untuk semua varian, dengan perincian seperti dua beg udara dengan pengingat pemakaian tali pinggang hanya untuk tempat duduk hadapan, serta sistem brek ABS dan EBD tanpa sebarang bantuan sistem kestabilan elektronik.

Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa pada Brio Urbanite Edition ini. Kesemua varian Brio di Indonesia menerima enjin 1.2L i-VTEC empat-silinder yang berkuasa 90 PS dan tork maksima 110 Nm, didakwa paling berkuasa dalam kelasnya. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, dan apa yang menarik varian paling mahal Urbanite Edition ini turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima kelajuan.

“Honda Brio merupakan salah satu produk Honda yang terpenting di Indonesia, terutama kerana model ini telah menjadi salah satu produk dengan penjualan tertinggi dan kualitinya sebagai kereta produksi Indonesia telah diakui di pasaran domestik mahupun antarabangsa,” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan, jualan dan pemasaran PT Honda Prospect Motor.

“Honda Brio RS Urbanite Edition dihasilkan khusus untuk segmen pengguna anak muda yang selalu ingin tampil berbeza, sehingga kami perlu untuk terus menyegarkan varian ini untuk mengikuti gaya hidup penggunanya yang dinamik dan sentiasa mengikuti hype terbaru,” tambahnya lagi.

Honda Brio RS Urbanite Edition ini dijual pada harga bermula Rp 225,900,000 (RM67,520) untuk varian kotak gear manual sehingga Rp 235,900,000 (RM70,509) untuk versi dengan kotak gear CVT automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required