Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

Mesti ramai yang dah tahu yang kini ada kad Touch ‘n Go baru dengan ciri dipertingkat telah diperkenalkan dalam pasaran tempatan — dinamakan sebagai Enhanced Touch ‘n Go Card. Ia dijual melalui aplikasi TnG eWallet dan juga rangkaian runcit terpilih.

Kad baru ini nampaknya mendapat sambutan hangat. Stok habis dijual; hanya dalam masa tiga jam pertama selepas ia diumumkan melalui aplikasi eWallet. Ia kembali dijual tak lama selepas itu, dan kami sempat mendapatkan kad berkenaan. Dengan kad Touch ‘n Go biasanya hanya digunakan untuk membayar tol, menarik untuk melihat bagaimana kad baru ini — dengan teknologi baru — memudahkan lagi (atau sebaliknya) urusan pengguna.

Apa perbezaannya, dan berapa kos?

Ciri utama kad baru ini adalah teknologi built-in near-field communication (NFC), yang membolehkan tambah nilai melalui sentuhan di telefon pintar dan tidak perlu lagi ke kaunter (dan tiada caj tambah nilai kerana tambah nilai NFC ini percuma). Bagaimanapun anda masih tidak boleh menambah nilai kad secara jarak jauh dan baki kad masih berasingan daripada eWallet anda.

Caraya, untuk tambah nilai menggunakan kad baru ini menggunakan eWallet, letakkan kad di bahagian belakang telefon anda. Ini memerlukan telefon Android atau iPhone yang ada cip NFC, seperti kebanyakan model yang ada kini (termasuk iPhone 7 ke atas). Touch ‘n Go memaklumkan kad baru ini mempunyai ciri penyulitan (encryption) yang lebih baik, menjadikannya lebih selamat.

Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

Kad baru ini dijual pada harga yang sama dengan kad biasa; RM10 (sesetengah stesen LRT dan MRT menjual kad lama pada harga RM15, termauk nilai sedia ada RM10), dengan pesanan dari eWallet melibatkan yuran penghantaran RM5. Setakat semalam, kad baru ini kehabisan stok lagi, dan ada pihak yang menjualnya semula dalam talian. The Star melaporkan harga jualan semula pada harga RM90 di laman seperti Lazada atau Shopee — harga yang tak masuk akal kerana ada pihak yang kaut untung atas angin. Lepaklah, tunggu stok baru.

Penampilan kad baru ini juga berbeza dengan kad lama. Ia lebih ringkas dengan gradien warna biru dan pink, setidaknya untuk versi awal yang telah beredar ini. Turut ada ikon gelombang menandakan fungsi NFC, serta logo TnG eWallet yang semuanya dicetak dalam warna krom. Di belakang kad terdapat kod QR untuk aplikasi eWallet, nombor siri dan tarikh luput (sah selama tujuh tahun).

Macam mana nak tambah nilai?

Pertama sekali perlu kemaskini aplikasi eWallet. Selepas itu akan ada butang short cut TNG Card tertera di laman utama. Pertama kali akses menu berkenaan, anda akan diberikan pengenalan bagi kad baru itu dan arahan untuk menambah kad anda kepada aplikasi menggunakan NFC. Kalau nak masukkan nombor siri secara manual untuk tujuan ini pun boleh.

Kemudian anda akan diminta menyediakan kad Enhanced tersebut, yang mana telefon anda akan memaparkan arahan agar meletakkan kad di bahagian belakang selama lima saat. Selepas kad dibaca, nombor siri akan dimasukkan secara automatik ke dalam ruang kotak pada paparan; anda kemudian perlu memasukkan PIN enam-digit yang didaftarkan dengan eWallet sebelum kad berkenaan ditambah ke katalog anda. Dengan aplikasi terbaru, anda kini boleh menghubungkan lima kad TnG (termasuk kad baru ini), daripada hanya tiga kad sebelum ini.

Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

Tambah nilai kad adalah mudah. Dalam menu TnG Cards, anda hanya perlu memilih butang Reload untuk kad yang spesifik, dan anda akan diminta sekali lagi untuk meletakkan kad di belakang telefon untuk pengesahan. Pilih nilai yang diinginkan dan anda akan diminta meletakkan kad di belakang sekali lagi. Bagi tambah nilai pertama (tiada nilai sedia ada dalam kad baru), anda juga perlu menyediakan nombor PIN. Itu saja.

Ambil maklum yang kedudukan cip NFC telefon adalah berbeza mengikut model, jadi anda perlu tahu kedudukan tersebut untuk telefon anda. Sebagai contoh, iPhone 12 Pro dalam gambar ini, anda perlu meletakkan kad di bucu atas, berhampiran kamera.

Beberap kali juga berlaku, telefon memaklumkan terdapat kesilapan ketika cuba membaca kad, yang mana jika untuk tambah nilai, anda perlu memulakan keseluruhan proses semula. Seperinya anda tidak boleh kalut menletakkan kad; jauhkan dari telefon sebelum anda diminta berbuat demikian. Selepas membiasakan diri, ia akan menjadi lebih mudah.

Ada apa-apa lagi yang perlu diketahui?

Seperti dimaklumkan, nilai kad baru ini berasingan daripada nilai eWallet — anda tidak boleh membayar untuk barangan dengan kad melalui baki dalam eWallet (melainkan anda menggunakan fungsi PayDirect). Tambah nilai akan dipotong secara automatik dari eWallet anda, dan tiada pilihan untuk menambah nilai menggunakan kad kredit atau debit. Jika baki dalam eWallet tidak mencukupi, anda terlebih dahulu akan diminta untuk menambah nilai eWallet.

Kad Enhanced Touch ‘n Go baru — apa perbezaan dengan kad lama dan macam mana nak tambah nilai?

Tidak seperti kad lama, kad baru ini tidak mempunyai tempoh beku (dorman). Ini bermaksud, anda boleh menggunakan kad berkenaan sekerap atau sejarang mungkin dalam tempoh tujuh tahun itu. Sebelum ini, anda perlu mengunakan kad TnG paling kurang sekali setahun untuk membiarkannya aktif, walaupun ini hanya untuk kad yang tidak dihubungkan kepada aplikasi eWallet.

Ingin pindahkan baki dari kad lama? Anda perlu membuat permohonan refund melalui servis Touch ‘n Go eRefund, yang akan memasukkan nilai baki sama ada ke akaun bank atau eWallet anda (refund dari kad tak aktif akan dikenakan RM5). Bila duit itu sudah di dalam eWallet anda, anda boleh gunakannya untuk menambah nilai kad baru seperti biasa. Dalam proses ini, kad lama akan dinyah-aktif.

Selain fungsi tambah nilai NFC ini, kad baru berkenaan mempunyai fungsi yang sama saja dengan kad TnG yang lain dan boleh digunakan untuk tol, parkir, bas dan tren serta pembelian runcit. PayDirect juga membolehkan anda menggunakan baki eWallet untuk bayaran, walaupun itu hanya boleh dilakukan di beberapa plaza tol sahaja serta parkir pusat beli-belah terpilih.

Namun anehnya, Lebuhraya Utara-Selatan masih tidak menyokong PayDirect, walaupun lorong RFID kini telah ditambah di plaza tol. Sekurang-kurangnya kad baru ini tidak memerlukan anda untuk meletak kereta dan berjalan ke kaunter tambah nilai, membantu mengurangkan kesesakan di tol. Sama seperti sebelum ini, menggunakan kad anda di tol atau parkir yang ada PayDirect akan dipotong melalui eWallet dahulu, melainkan baki kurang.

Jadi, inilah hal-hal yang perlu anda tahu berkaitan Enhanced Touch ‘n Go Card terbaru ini. Anda fikir fungsi terbaru berkenaan akan lebih memudahkan atau sebaliknya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Saliza binti Dahalan on Sep 07, 2022 at 10:30 am

    Selamat Pagi,

    Apa yang boleh kita lakukan jika device kita tak support NFC.
    Saya guna OPPO F11 Pro Limited Edition

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required