Ingat ada satu video yang tular melibatkan sebuah Audi A4 dan Toyota Wish yang memandu secara bahaya di lebuhraya baru-baru ini? Perkembangan terbaru, PDRM telahpun menahan kedua-dua individu terbabit atas kesalahan berkenaan yang berlaku pada 1 Mei di KM 269 hingga KM 238 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan).

Pihak polis berbuat demikian disebabkan bantuan rakaman video yang tersebar. Pemandu Audi A4, warga tempatan berusia 36-tahun, menyerah diri pada 9 pagi 2 Mei sementara pemandu Wish pula yang berusia 34-tahun menyerah diri hari berikutnya pada jam 6.45 pm. Kedua-dua kenderaan juga telah disita.

Menurut IPD Seremban, sebab adegan kejar-mengejar itu berlaku adalah kerana pemandu Wish berkenaan dikatakan tidak membayar ansuran keretanya untuk beberapa bulan. Pemandu Audi pula yang bertugas sebagai tukang tarik kereta ingin memberhentikannya.

Kes ini masih dalam siasatan dan kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika didapati bersalah, pelaku akan dilucutkan lesen memandunya bagi tempoh lima tahun, dan berhadapan dengan kemungkinan dipenjara tidak lebih daripada lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM10,000.