PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

November lalu, syarikat konsesi lebuhraya PLUS Malaysia telah pun mengumumkan bahawa mereka telah mengaktifkan sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR) untuk mengenalpasti setiap kenderaan yang masuk ke Lebuhraya Utara Selatan menerusi plaza tol.

Sistem berkenaan diaktifkan bagi memastikan setiap pengguna membayar tol bagi menggunakan lebuhraya berkenaan, dan ia juga merupakan langkah pertama sebelum implementasi tol tanpa palang dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

Bagaimana sistem pengecaman automatik ini berfungsi? Gergasi teknologi, Nvidia telah pun mendedahkan perincian sistem ANPR PLUS berkenaan yang menggunakan visi komputer serta teknologi kecerdasan buatan (AI), bersepadu dengan unit pemprosesan grafik (GPU) serta perisian-perisian berkaitan.

Sistem yang dinamakan VehicleTrack tersebut dibangunkan oleh syarikat startup dari Malaysia iaitu Tapway. Ia mampu untuk membaca plat pendaftaran kenderaan serta mengenalpasti kelas kenderaan, jenama dan juga warna dalam masa hanya 50 milisaat, walaupun kenderaan tersebut dipandu sehingga pada kelajuan 40 km/j.

PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

Tapway diasaskan oleh bekas jurutera angkasa Lim Chee How, dan syarikat berkenaan terbabit dalam projek ini selepas ia membantu proses analisa video pada 2019. Klien mereka iaitu PLUS ketika itu sedang mencari cara yang efektif bagi mengesan poin masuk dan keluar sesebuah kenderaan bagi Lebuhraya Utara Selatan yang beroperasi dengan sistem tertutup untuk tol.

Secara spesifiknya, PLUS mahu mengelakkan pengguna menggunakan cara bayaran berlainan ketika masuk dan keluar dari lebuhraya – contohnya masuk guna Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tetapi keluar guna Touch ‘n Go – ketika mereka sedang menyediakan sistem bayaran menggunakan teknologi RFID berkenaan.

Ini bagi mengelakkan pengguna lebuhraya dicaj dua kali, mahupun cuba menipu sistem tersebut. “Kami tunjukkan mereka dengan visi komputer – cuma dengan kamera dan AI – anda boleh selesaikan kesemuanya,” kata Lim.

Tapway melatih dan mengoperasikan teknologi AI mereka menggunakan GPU Nvidia A100 dan V100 Tensor Core; hasilnya sistem berkenaan mampu untuk berfungsi dalam semua keadaan cahaya dan cuaca bersama ketepatan yang konsisten pada kadar 97%, jelas Nvidia.

PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

Setiap GPU mampu untuk menguruskan sehinga 50 strim video pada satu masa menggunakan Nvidia Triton Interference Server, membolehkan sistem ANPR berkenaan memproses sehinga 28,800 imej seminit pada pelayan menggunakan GPU Nvidia A10, A30 dan T4.

“Triton merupakan penyelamat nyawa sebenar buat kami,” kata Lim. “Kami berhadapan dengan masalah penskalaan ketika melakukan inferens dan multithreading sendiri dan tidak boleh melangkaui 12 strim video dalam pelayan, tetapi dengan Triton dengan mudahnya kami mampu menangani 20 dan kami telah uji sehingga 50 strim serentak,” katanya lagi.

Menurut Lim, Tapway menggunakan set data sehingga 100,000 imej bagi menyediakan model AI baharu kepada pelanggan dalam masa hanya beberapa jam, berbanding beberapa hari sekiranya menggunakan sistem berasaskan CPU. Syarikat tersebut membangunkan aplikasi mereka menggunakan kit pembangunan perisian Nvidia DeepStream (SDK) dan mengoptimakan model AI mereka menerusi Tensor RT, iaitu SDK untuk inferens adaptasi dalam prestasi tinggi.

PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, PLUS menggunakan sistem ANPR bukan sahaja pada lorong RFID, malah turut digunakan pada lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG. Ini membolehkan mereka mengesan kesemua pengguna lebuhraya, walaupun mereka masuk menggunakan lorong kad TnG atau SmartTAG dan keluar melalui lorong RFID, menyebabkan caj dibuat menerusi eWallet (menerusi RFID) dan bukan dari kad TnG. Syarikat tersebut telah memasang sejumlah 577 kamera setakat ini dan bercadang untuk meluaskan lagi penggunaannya ke hampir 900 pada 92 plaza tol, kata Nvidia.

Namun dengan semua teknologi, sistem ANPR PLUS ini masih lagi belum ‘kalis gagal’. Oleh itu, PLUS tetap menyediakan pusat pengesahan khas yang dioperasikan oleh staf mereka bagi membantu sistem tersebut untuk mengenalpasti kerosakan, kekotoran atau nombor plat tidak standard yang menggunakan abjad, nombor dan susunan fancy.

Sejak ditubuhkan pada 2014, Tapwy telah memasang 3,000 penderia di 500 lokasi di Malaysia dan Singapura. Teknologi AI mereka bukan hanya mengecam nombor pendaftaran malah turut membantu membuat penyelidikan terhadap tabiat membeli pengguna di pusat membeli-belah. Menurut Invidia lagi, Tapway turut mahu membantu pengeluar kenderaan dan minyak sawit di Malaysia dalam mempertingkatkan pemeriksaan kawalan kualiti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required