Android Auto oleh Google terima kemaskini utama — wajah baru, tambahan ciri, mod pemisah paparan skrin

Android Auto oleh Google terima kemaskini utama — wajah baru, tambahan ciri, mod pemisah paparan skrin

Tiga tahun selepas diberikan naiktaraf menyeluruh, Android Auto oleh Google kini sekali lagi diberikan kemaskini utama, bermula Jun ini di Amerika Syarikat. Pertama kali diperkenalkan pada 2014, Android Auto telah melalui beberapa peringkat kematangan dan kini telah melengkapi lebih 150 juta kenderaan di peringkat global, melibatkan hampir semua jenama.

Didedahkan ketika Google I/O 2022, versi terkini Android Auto menampilkan antaramuka pengguna yang baru, disesuaikan mengikut pelbagai saiz skrin kereta, yang sebelum ini tidak dapat dilakukan. Ini merupakan penambahbaikan penting kerana ia memaksimumkan keluasan skrin yang ada dengan mod paparan pemisah yang akan mengikut saiz skrin lebar secara automatik — begitu juga dengan tataan paparan potret.

Sepilihan panel berkaitan ciri yang kerap digunakan juga akan dipaparkan di satu tempat — seperti pada Apple CarPlay — termasuk pemain media, sistem tunjuk arah dan mesej. “Kami dapati ada tiga fungsi utama yang kerap dimanfaatkan oleh pemandu; tunjuk arah, media dan komunikasi,” jelas Google.

Akan ada juga panel kekal untuk capaian kepada pelancar aplikasi, notifikasi dan Google Assistant. Untuk ini, ciri bantuan suara yang ada juga kini menawarkan cadangan kontekstual untuk membantu anda menjadi lebih produktif dalam kereta.

Contoh yang ada termasuklah cadangan jawapan, kepada mesej, kepada berkongsi masa ketibaan dengan rakan atau untuk memainkan cadangan muzik. Sebagai tambahan, pengguna kini boleh mengirim mesej dan buat panggilan kepada nombor “Favorite” dengan hanya satu sentuhan, dan juga menjawab mesej dengan memilih jawapan yang dicadangkan pada skrin.

Selain Android Auto, Google juga menunjukkan kemaskini yang dilakukan terhadap Android Automotive OS (AAOS), sebuah platform infotainmen yang ketika ini digunakan untuk model Volvo seperti C40, XC40 dan Polestar — beberapa pengeluar lain juga khabarnya akan beralih kepada AAOS ini.

Baru untuk AAOS ialah sokongan untuk aplikasi penstriman video penyedia luar seperti Tubi dan Epix Now, membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan selain Youtube untuk kegunaan hiburan dalam kenderaan. Pengguna juga boleh memanfaatkan pelayar web dan memancarkan kandungan mereka sendiri dari telefon sebaik sahaja ciri ini ditawarkan nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required