Ini adalah Denza D9, model terbaru daripada pengeluar China iaitu Denza, yang juga merupakan satu kerjasama antara BYD dan Mercedes-Benz. Ia boleh didapati dalam versi empat tempat duduk atau tujuh tempat duduk, sekaligus memberikan pilihan kepada pengguna untuk menyesuaikannya dengan keperluan mereka.
MPV ini mempunyai saiz yang agak besar, dengan ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,950 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Sebagai gambaran kasar, saiznya terletak antara Toyota Alphard (lebih kecil) dan Hyundai Staria (lebih besar).
Di China, Denza D9 versi tujuh tempat duduk dijual pada harga 390,000 yuan (RM254k), dan ia boleh pergi sehingga 460,000 yuan (RM299k) bergantung kepada spesifikasi yang dipilih oleh pelanggan. Versi empat tempat duduk diletakkan sebagai pilihan lebih mewah, dengan harga 660,000 yuan (RM430k).
Penggerak elektrik Denza D9 mendapat kuasa daripada bateri Blade BYD, tetapi kapasiti kWh untuknya masih belum didedah. Apa yang diberitahu, ia boleh menyediakan jarak gerak sehingga 600 km, dengan pengecasan paling tinggi 166 kW.
Bagi yang memerlukan jarak lebih jauh, Denza turut menyediakan D9 versi plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor serta bateri yang lebih kecil. Model PHEV ini masih boleh dicas menggunakan bekalan arus DC pada kadar 80 kW.
Jarak gerak menggunakan tenaga elektrik bagi model hibrid adalah 190 km, sementara jarak gerak keseluruhan pula adalah 1,040 km. Kadar pengecasan DC tinggi dan jarak gerak elektrik yang jauh memberi petunjuk model ini menggunakan bateri yang agak besar.
Bahagian dalam MPV ini mendapat pelbagai kelengkapan mewah seperti bumbung panoramik besar, peti sejuk di bawah perehat tangan depan, tempat duduk kapten di baris kedua dengan pelarasan 10 arah, perehat kaki, pemanas, liang udara serta fungsi mengurut, dan juga pengecas tanpa wayar.
Memandangkan Denza adalah satu jenama khas untuk pasaran China, D9 cuma ditawarkan dalam versi panduan sebelah kiri, sekaligus mengurangkan kebarangkalian ia akan tiba ke dalam negara kita, termasuk melalui pengimport persendirian. Di negara asalnya, sambutan untuk D9 dikatakan sangat baik sehingga mendapat 3,000 unit tempahan dalam masa 30 minit pertama ia dibuka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.