Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

Seperti yang dijanjikan, hari ini Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) secara rasminya melancarkan MPV bersaiz besar, Hyundai Staria ke pasaran Malaysia. Model generasi baharu ini bukan sahaja jauh lebih besar dari Hyundai Starex, malah ia menampilkan rekaan yang begitu futuristik diluar, bersama perincian lebih mewah di dalamnya, selari dengan teknologi terkini yang ditawarkan.

Hyundai Staria ini dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian, iaitu varian paling mewah yang digelar sebagai Staria Premium dengan enjin 2.2L Turbodiesel CRDi. Bagi harga pula, HSDM menawarkan pelanggan dengan dua pilihan bergantung kepada waranti.

Ia bermula dengan RM358,888 yang datang dengan waranti dua-tahun atau 50,000 km, dan RM368,888 sekiranya anda mahukan waranti lima-tahun/300,000 km bersama pakej servis percuma tiga-tahun/50,000 km. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama insentif pengecualian cukai jualan 50% bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU).

Walaupun Staria ini dihasilkan sebagai sebuah MPV dengan gaya seperti van, ia sebenarnya turut diasaskan dari platform generasi baharu N3 Hyundai seperti SUV Hyundai Santa Fe dan trak pikap Hyundai Santa Cruz. Ini membolehkan rangkaian kuasa Staria memacu roda hadapan serta diberikan suspensi multilink yang lebih selesa di belakang, berbanding Starex yang menampilkan konfigurasi pacuan belakang menggunakan gandar hidup.

Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

Nampak macam Hyundai Staria ini lebih besar dari Starex kan? Bukan sahaja nampak, tapi saiz sebenar Staria ini sememangnya lebih besar dari Starex. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,253 mm panjang (+103 mm), 1,997 mm lebar (+77 mm), 1,990 mm tinggi (+55 mm) dan jarak roda sejauh 3,273 mm (+73 mm). Dan sudah tentu, Staria juga jauh lebih besar berbanding Toyota Alphard dan Vellfire.

Seperti yang sudahpun ramai melihat imejnya sebelum ini, Staria tampil dengan rupa luaran yang minimalis dan futuristik, seakan kereta api peluru. Bahagian hadapan MPV ini dihasilkan cukup ringkas dengan satu jalur LED berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu kedudukan merentangi keseluruhan mukanya, bersama gril besar di bahagian bawah yang turut diberikan lampu utama terdiri dari kiub LED yang disusun dua baris menegak.

Bagi model Premium pasaran Malaysia ini, HSDM memberikan opsyen kemasan luaran untuk pelanggan sama ada memilih serlahan berwarna tembaga atau kelabu gelap pada emblem, gril, bezel lampu utama, bampar, rim, cermin sisi dan pembuka pintu.

Pada bahagian sisi Staria ini, Hyundai mendakwa bahawa bentuk garis badan tunggal dari muncung sehingga bumbung belakang MPV ini diinspirasikan bentuk Bumi ketika matahari terbit yang dilihat dari angkasa. Ia diberikan tingkap sisi yang cukup besar, manakala pada permukaan sisi tidak diganggu dengan sebarang garisan lain yang menyerlahkan rupa ringkas dan bersih.

Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

Menurut Hyundai, rekaan cermin tingkap yang besar berkenaan diinspirasikan dari seni bina hanok tradisional Korea bagi membolehkan penumpang merasakan pemandangan luar adalah sambungan dari bahagian luaran Staria ini. Model Premium ini juga dipadankan dengan rim aloi dua tona 18-inci.

Konsep yang sama juga diteruskan di belakang di mana ia menampilkan cermin dan juga pintu tailgate yang besar, bersama permukaan rata, bersama bampar yang cukup nipis disertakan jalur kemasan di bawahnya. Lampu belakang Staria ini direka menegak pada kedua-dua hujung sisi, menampilkan rekaan grafik dalam Parametric Pixel sama seperti model Ioniq 5.

Jika pada bahagian luaran Staria ini kelihatan seperti kapal angkasa, kabin MPV ini pula menampilkan rekaan yang menurut Hyundai diinspirasikan dari kapal persiaran. Untuk masuk ke kabin belakang, Staria menampilkan pintu gelangsar pada setiap sisi, dan model Premium ini disertakan dengan sistem pintu pintar – tidak perlu menekan butang, ia dibuka/tutup berdasarkan proksimiti. Sistem yang sama turut diterapkan pada pintu tailgate belakang.

Staria menerima papan pemuka seiras dengan Tucson generasi baharu, menampilkan liang penghawa dingin yang nipis diberikan merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen 8-inci yang diletak tinggi di tengah, nampak seakan air terjun. Sistem infotainmen berkenaan diberikan pelbagai perincian yang lebih mesra-keluarga, termasuk memaparkan visual dari kamera yang memantau penumpang belakang.

Kokpit MPV ini turut diberikan dengan banyak ruang-ruang simpanan, termasuk konsol pada bumbung, di bawah panel instrumen, dan juga pada atas dan bawah bahagian tengah papan pemuka. Konsol tengah Staria disertakan dengan pemegang-pemegang cawan, port USB, serta ruang simpanan, manakala glove box pula direka agar ia lebih kehadapan bagi memberikan ruang kaki lebih baik pada penumpang hadapan.

Untuk pemandu, paparan meter digital disediakan dalam bentuk skrin 10.25-inci, dan ia diletakkan secara berdiri sendiri di atas papan pemuka tanpa sebarang perumah. Pemandu juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, roda stereng seiras Hyundai Sonata, suis tekan untuk menukar gear menggantikan tombol konvensional yang terletak di konsol tengah, brek parkir elektronik dengan fungsi autohold serta cermin pandang belakang elektrokromik.

Kabin hadapan ini juga diberikan cermin tingkap dua-lapis kedap bunyi, bumbung suria, serta sepasang tempat duduk larasan berkuasa – lapan hala bersama lumbar empat hala untuk pemandu dan empat hala bagi penumpang.

Hyundai Staria Premium dilancarkan di Malaysia – bermula RM359k, lebih mewah dan besar dari Starex

Staria Premium pasaran Malaysia ini menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk (11-tempat duduk untuk pilihan model standard bagi pasaran lain) didatangkan dengan sepasang kerusi Premium Relaxation di baris kedua yang boleh digelangsarkan ke hadapan dan ke belakang serta dilengkapi mod santai dengan operasi satu sentuhan. Mod berkenaan akan membaringkan tempat duduk tersebut secara elektrik serta memanjangkan ottoman bagi memberikan rasa seperti kelas perniagaan dalam pesawat.

Hyundai mendakwa bahawa walaupun dengan mod ini, Staria masih menawarkan ruang yang cukup untuk orang dewasa duduk pada baris ketiga. Tempat duduk baris kedua berkenaan juga diberikan sistem pemanas dan juga liang udara. Penumpang pada kabin belakang ini menerima liang penghawa dingin masing-masing yang terletak di bumbung, bersama satu panel kawalan berasingan.

Penumpang kabin belakang MPV ini juga menerima bumbung suria tersendiri yang lebih besar, port pengecas dan pemegang cawan individu pada setiap tempat duduk dan pelindung cahaya matahari pada setiap cermin tingkap. Staria Premium ini dibekalkan standard dengan lampu suasana kabin 10-warna (yang boleh dilihat di bahagian kokpit, konsol tengah, pintu dan bahagian kargo) serta sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose.

Staria juga menerima sistem keselamatan termaju setara dengan barisan model kereta dan SUV Hyundai yang lain. MPV ini dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Hyundai SmartSense yang terdiri dari sistem termasuk Bantuan Pelanggaran Titik Buta, Monitor Pemantau Titik Buta, Bantuan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang, Bantuan Kekal Lorong serta Cruise Control pintar dengan fungsi stop & go.

Pakej tersebut turut memberikan fungsi lain seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Keluar Selamat, Pengingat Penumpang Belakang, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Jarak Parkir, Monitor Pemandangan Sekeliling, Amaran Tumpuan Pemandu dan Amaran Gerak Mula Kenderaan Hadapan. Selain itu, Staria juga menerima sistem keselamatan asas lain seperti enam-beg udara dan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix pada kerusi baris tengah.

Seperti yang disebut tadi, ‘kapal angkasa’ ini digerakkan dengan hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel empat silinder berkuasa 177 PS dan tork maksima 431 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 2,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan bersama pedal penukar gear, dan memacu hanya roda hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Cermin pintu besar, tp saiz tingkap yg boleh dibuka kecik mcm van pasar mlm. Cermin plg blkg still x leh buka. Susah sgt ke nk buat?
    .
    Saiz body besar tp usable luggage space still kecil dr kia carnival. Imej space shuttle tp rear most seat masih lipat mcm van pasar mlm.. knp la x buat cam kia carnival yg lipat ke bawah floor pan. Baru lah flat. X pun lipat ke atas mcm alphard – at least dpt lah jg flat floor walaupun bahg atas compromised sikit.
    .
    Satria ni bg aku interior wise nampak moden bkn mewah. Nk nampak mewah tgk alphard / lexus / vito. Dan byk lg model latest 2021/2022 dr China yg gila2 cantik & mewah dr staria nih… Dgn harga ni, flop lah rsnya satria nih di msia …

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required