Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV, versi jarak roda panjang

Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

Setelah membuat kemunculan sulungnya September lalu, Hyundai Tucson generasi keempat diumumkan akan mula dijual pada pasaran Amerika Syarikat bermula pada musim bunga 2021, sebagai model 2022. Seperti yang didedahkan sebelum ini, Tucson generasi baharu ini menampilkan asas rekaan “Sensuous Spotiness” terkini Hyundai yang nampak begitu futuristik serta jauh dari rekaan generasi ketiganya.

Antara ciri yang menarik perhatian sudah tentulah rekaan gril “Parametric Dynamic” pada mukanya, menampilkan elemen seakan batu permata pada gril yang sama dengan lampu nyalaan siang, di mana kedua-duanya nampak dibezakan hanya ketika lampu tersebut menyala.

Rekaan bahagian sisi SUV ini pula tampil dengan jarak roda yang panjang bersama juntaian hadapan dan belakang yang pendek, bersama garis-garis dan sudut geometrik tajam. Ia turut diberikan jalur krom atas tingkap yang diberikan bermula pada cermin sisi hingga ke tiang-C.

Di belakang, Tucson baharu ini turut menerima lampu yang direka seakan kuku tajam, bersama jalur lampu yang menrentasi keseluruhan pintu tailgate. Satu lagi rekaan yang agak unik adalah logo Hyundai yang diposisikan hingga ke bahagian cermin belakang, bersama pengelap cermin yang disorokkan di sebalik spoiler.

Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

Amerika Syarikat adalah antara pasaran yang menerima Tucson dalam versi jarak roda panjang. Dari segi dimensi, model ini dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,630 mm, 1,864 mm lebar, menjadikan ia 155 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dari model sebelumnya.

Jarak roda pula diukur sejauh 2,756 mm, atau 86 mm lebih panjang dari Tucson generasi ketiga. Keluasan bahagian penumpang naik 170 liter, manakala kapasiti kargo pula kini mencapai 1,096 liter atau 218 liter lebih besar dari Tucson sedia ada.

Rekaan futuristik Tucson ini turut di bawa ke bahagian kabin. Jika anda lihat, panel pintu dan juga papan pemuka SUV ini seakan bersambung, dan jalur dari pintu nampak seperti mengalir ke tengah papan pemuka dan berakhir pada ‘air terjun’ yang mengapit konsol tengah. Kabin ini juga turut diberikan lampu suasana dengan 64 warna serta 10 tahap kecerahan yang boleh dilaras.

Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada Tucson pasaran Amerika Syarikat ini termasuk skrin sesentuh 10.25-inci, panel instrumen digital sepenuhnya tanpa perumah dan juga penukar gear tanpa tombol dan hanya menggunakan butang seperti pada Sonata.

Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

Tucson generasi baharu ini juga menerima sistem penghawa dingin dengan sistem liang pelbagai udara. Menurut Hyundai, ini adalah sistem unik dari mereka yang belum digunakan lagi pengeluar lain dalam industri automotif, di mana ia boleh melaras suhu dan aliran udara yang disebarkan untuk penumpang hadapan.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Tucson hadir dengan tiga varian enjin iaitu petrol NA, turbo hybrid dan juga plug-in hybrid (PHEV). Untuk model petrol NA, ia dibekalkan dengan enjin 2.5 liter Smartstream berkuasa 187 hp dan tork maksima 241 Nm. Enjin ini menampilkan pembakaran dengan kadar efisien tinggi, sistem EGR yang disejukkan serta sistem penyejukkan ITMS yang dioptimakan.

Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik untuk memacu roda hadapan. Model ini turut ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda menerusi sistem HTRAC AWD Hyundai dengan mod Normal, Sport (lebih tork ke gandar belakang) serta Smart.

Menurut Hyundai, sistem AWD berkenaan menawarkan kadar variasi agihan tork yang lebih banyak berbanding sistem kompetitif yang lain, dan ditala untuk situasi seperti pecutan lurus, mengambil selekoh dalam kelajuan separa-tinggi dan tinggi dan juga ketika mula mendaki.

Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

Manakala untuk model hybrid dan PHEV, kedua-duanya dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter berkuasa 177 hp dan tork maksima 254 Nm, bersama kotak gear enam-kelajuan automatik. Ia digandingkan dengan motor elektrik 44.2 kW, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan tork maksima 350 Nm.

Untuk model hybrid, motor berkenaan menerima bekalan kuasa elektrik dari pek bateri 1.49 kWj, dan Hyundai mendakwa penggunaan bahan apinya adalah 30% lebih efisien dari model petrol biasa, dengan bekalan tork 20% lebih tinggi.

Manakala untuk model PHEV pula, ia diberikan pek bateri lebih berkuasa dengan kadar 13.8 kWj. Ini membolehkan Tucson PHEV bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan satu caj penuh bateri sejauh 45 km. Bateri berkenaan boleh di caj penuh dalam masa tidak sampai dua jam menggunakan pengecaj on-board.

Buat pertama kali juga SUV hybrid dan PHEV ini menerima sistem pacuan semua roda HTRAC AWD. Menurut Hyundai, model lebih mesra alam ini bukan sahaja memberikan kadar penggunaan bahan api lebih baik, malah ia dihasilkan secara seimbang dengan mengambil kira keseronokan memandu, berbanding pesaing lain yang mengabaikan faktor tersebut.

Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika didedahkan – pilihan hibrid dan PHEV,  versi jarak roda panjang

Oleh itu, model hybrid dan juga PHEV turut menampilkan e-Handling pada motor elektrik berkenaan bagi mengawal tork berdasarkan input dinamik serta keadaan jalan bagi memberikan prestasi mengambil selekoh lebih baik. Ketika SUV ini mula masuk ke selekoh, sistem berkenaan akan memberikan kuasa membrek pada roda hadapan, bagi memberikan traction dan respon stereng lebih baik.

Selepas itu ketika ia mula keluar dari selekoh, motor elektrik akan memberikan tork yang tepat pula kepada gandar belakang, bagi meningkatkan cengkaman pada permukaan tayar terhadap jalan bagi memberikan traction dan kawalan yang lebih baik ketika mula untuk memecut semula.

Tucson pasaran Amerika Syarikat ini turut menerima fungsi Remote Smart Park Assist yang membolehkan anda parkir dan keluar dari parkir dengan hanya menggunakan kunci pintar tanpa perla anda berada dalam kereta. SUV ini juga boleh dihidupkan dari jarak jauh dengan kawalan pemanas tempat duduk hadapan menggunakan aplikasi Blue Link Hyundai.

Ia turut diberikan aplikasi kunci digital yang membolehkan fungsi kunci pintar anda digantikan dengan hanya menggunakan telefon pintar. Fungsi pengecas tanpa wayar Qi dan juga sokongan Android Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar juga diberikan.

Untuk keselamatan, Hyundai Tucson 2022 pasaran Amerika Syarikat ini menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, dan Amaran Penumpang Belakang – kesemua ini hadir sebagai ciri standard.

Sistem SmartSense ini juga ditawarkan dengan opsyen lebih baik terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta, Bantuan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang, Amaran Selamat Keluar, cruise control pintar dengan fungsi stop & go, Amaran Penumpang Belakang dengan penderia ultrasonic, dan juga Bantuan Parkir Pintar jarak jauh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required