Ingat lagi “bas drift” Hyundai iMax N yang dihasilkan oleh Hyundai N Australia pada tahun 2019 dulu? Nah, ini dia – Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) telah menghasilkan Grand Starex yang kelihatan hampir sama, dan ia bukan sekadar konsep kerana ia memang sudah mula dijual di pasaran Malaysia.
Model ini diberi nama Hyundai Grand Starex Executive Plus SE, dan sama seperti Hyundai Sonata SE yang juga telah diperkenalkan, ‘bas mini’ hadir dengan dengan pelbagai aksesori yang memberikan rupa yang lebih garang.
Seperti namanya, model ini diasaskan dari Grand Starex Executive Plus. Apa yang membuatkan ia kelihatan seperti iMax N adalah warnanya – ya, ia diberikan warna Performance Blue sebenar, sama dengan warna hot-hatch i30 N dan juga jentera rali dunia i30 Coupe WRC!
Walau bagaimanapun, kit badan yang diberikan pada model SE ini tidak sama seperti yang dipadankan pada iMax N. Ia terdiri dari spoiler hadapan dengan jalur serlahan merah, dan juga kemasan seakan diffuser udara pada bampar belakang. Rupa luaran Grand Starex Executive Plus SE dilengkapkan dengan rim 19-inci enam-jejari berwarna hitam, bersama tayar 245/45R19.
Tiada perubahan bahagian dalaman dan juga sistem mekanikal. Model ini masih dijana oleh enjin 2.5 liter turbodiesel berkuasa 170 PS dan tork maksima 441 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan automatik bagi mengalirkan kuasa sepenuhnya ke gandar belakang.
Menurut HSDM, pakej tambahan pada Grand Starex Executive Plus SE ini adalah bernilai RM15,000. Tetapi, model isitimewa ini masih dijual pada harga yang sama seperti model biasa iaitu harga atas jalan tanpa insuran, lengkap dengan pengeculian cukai jualan RM163,888. Beli, dah tak payah make-up apa bagai, tak sama dengan Starex sewa, menarik kan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.