Hyundai iMax N – Grand Starex yang boleh drift!

Selepas hot-hatch i30 N dan Veloster N, ramai yang tertunggu-tunggu model talaan Hyundai N yang lain seperti i20 N dan juga SUV Tucson N. Tetapi nampaknya Hyundai iMax N yang muncul dahulu, iaitu sebuah MPV sebesar bas mini yang boleh drift!

Namun Hyundai iMax (dikenali sebagai Hyundai Grand Starex di Malaysia) versi berprestasi tinggi ini sebenarnya hanyalah model konsep yang dihasilkan oleh Hyundai N Australia, dan ia akan dipamerkan ketika berlangsungnya perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) di Sydney Motorsport Park, Australia bermula 18 hingga 19 Oktober ini.

Seperti model N yang lain, iMax N ini turut hadir dengan warna badan Performance Blue yang sama seperti jentera WRC i20 N. Ia kemudian turut diberikan splitter hadapan yang diubahsuai dari peralatan aftermarket untuk Nissan GT-R R35, manakala di belakang pula ia menerima bampar i30 N sebenar yang diubahsuai. Emblem-emblem N juga diletakkan pada tempat sepatutnya.

Hyundai iMax N – Grand Starex yang boleh drift!

Rim ‘bas mini’ ini pun nampak macam rim i30 N kan? Sebab ia memang rim 19-inci dari i30 N dengan Performance Package lengkap dengan tayar Pirelli P Zero 235/35R19, di mana Hyundai N telah mengubahsuai knuckle enam-stud iMax asal kepada lima-stud. Dapat dilihat juga, brek hadapan iMax tersebut kini menggunakan sistem lebih besar dengan angkup empat piston bersama cakera 348 mm, tetapi bahagian belakang masih dengan sistem dram.

Hyundai iMax N ini masih mengekalkan konfigurasi lapan-tempat duduk. Namun tempat duduk hadapan telah digantikan dengan tempat duduk dari i30 N, manakala tempat duduk belakang pula telah dibalut semula dengan tema yang sama, lengkap dengan sulaman logo N. Roda stereng asal juga telah digantikan dengan roda stereng i30 N, dan ia diubahsuai dengan dipadankan sekali bersama pedal penukar gear.

Bukan sahaja nampak lebih ‘lumba’, MPV besar ini juga sebenarnya lebih laju dari asal, dan ia ditala bagi membolehkan ia melakukan aksi drift. Enjin 2.5 liter turbodiesel asal iMax ini telah diangkat dari perutnya, dan digantikan dengan enjin V6 3.5 liter Hyundai yang turut disuap bersama dua pengecas turbo, membolehkan ia menjana 402 hp dan tork maksima 555 Nm!

Kuasa enjin disalurkan ke kedua-dua roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ada LSD pada gandar belakang? Tiada, tetapi Hyundai N telah mengimpal unit differential biasa bagi membolehkan MPV ini melakukan aksi drift di litar Pheasant Wood seperti yang boleh anda tonton pada video di atas. Menurut Hyundai lagi, jentera dengan berat 2.2 tan ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa sekitar lima saat!

MPV ‘gedabak’ ini juga diberikan sistem suspensi yang dikawal oleh sistem elektronik. Dengan lapan orang penuh di dalam, iMax N ini di dakwa mempunyai nisbah berat antara hadapan dan belakang sempurna 50:50. Gila kan? Oh ya, Hyundai juga akan menyertai WTAC tahun ini menggunakan Hyundai i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama yang berbuat demikian, dalam perlumbaan yang didominasi oleh penala-penala aftermarket berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required