Hyundai i30 N akhirnya didedahkan – 2.0 liter turbo T-GDI 275 PS/353 Nm, manual 6-kelajuan, E-LSD

Hyundai i30 N akhirnya didedahkan – 2.0 liter turbo T-GDI 275 PS/353 Nm, manual 6-kelajuan, E-LSD

Setelah pelbagai siri prebiu dan teaser, Hyundai i30 N – versi jauh lebih liar untuk hatchback i30 yang dihasilkan divisi perlumbaan dan talaan Hyundai N kini secara rasminya telah didedahkan. Model berprestasi tinggi pertama dari Hyundai N ini hadir dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI berkuasa 250 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000 dalam keadaan standard, manakala model yang diberikan peningkatan Performance Package mendapat lonjakan kuasa 275 PS dengan jumlah tork yang sama.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan, membolehkan versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat dalam jarak pecutan yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

Performance Package berkenaan juga turut diberikan dengan LSD kawalan elektronik (E-LSD), sistem injap pada ekzos bervariasi yang mampu merubah bunyi dari mod biasa kepada liar setelah mod pemanduan N diaktifkan, rim aloi 19-inci dengan tayar Pirelli P-Zero (versi biasa diberikan rim 18-inci dengan tayar Michelin) serta angkup brek berwarna merah bersama cakera 18-inci di hadapan dan 17-inci di belakang (17-inci hadapan dan 16-inci belakang untuk model standard).

Hyundai i30 N akhirnya didedahkan – 2.0 liter turbo T-GDI 275 PS/353 Nm, manual 6-kelajuan, E-LSD

Bagi kotak gear enam-kelajuan i30 N ini pula, kesemua versi diberikan short-shifter serta sistem Rev-Match/Auto-Blip seperti Honda Civic Type-R yang membolehkan pemandu menurunkan gear dengan lebih lancar ketika dipandu agresif, walaupun tanpa kemahiran kawalan pedal heel and toe.

Model talaan N ini juga lebih rendah dari model i30 biasa – empat milimiter lebih rendah dengan rim 18-inci, manakala model dengan rim 19-inci pula adalah lapan milimeter lebih rendah. Kelengkapan berprestasi tinggi lain yang turut dibekalkan untuk hot-hatch ini termasuk suspensi boleh laras bantuan elektronik, launch control, jam randik untuk catatan sepusingan di dalam litar dan banyak lagi.

Bagi menyesuaikan kuasa liar yang diberikan pada kereta ini sama ada untuk pemanduan harian atau sesi litar bersama tayar spesifikasi litar, i30 N diberikan sistem stereng kuasa elektrik R-MDPS di mana motor bantuan elektrik sistem tersebut diletakkan pada rak stereng.

Hyundai i30 N akhirnya didedahkan – 2.0 liter turbo T-GDI 275 PS/353 Nm, manual 6-kelajuan, E-LSD

Lima mod pemanduan ditawarkan pada kereta ini iaitu Eco, Normal, Sport, N dan N Custom bagi membolehkan pemandu menyesuaikannya pada situasi pemanduan sama ada untuk pemanduan seharian ataupun pemanduan agresif di dalam litar. Mod berkenaan boleh dipilih menggunakan dua butang yang diletakkan pada roda stereng, dan ia akan menukar karekter kereta ini dengan menala parameter prestasi pada enjin, penyerap hentak, ESC, E-LSD, bunyi deruman enjin, stereng dan juga sistem rev-match.

Bagi mereka yang mahukan pemanduan yang lebih mengujakan, sistem ESC boleh dimatikan bagi membolehkan karekter liar kereta ini dilepaskan sepenuhnya tanpa campur tangan komputer. Ia juga turut diberikan fungsi overboost yang meningkat tork (+8%) dan pecutan (+6-7%) untuk tempoh masa singkat.

Bagi membezakan penampilan model berprestasi N dengan i30 standard, hatchback ini diberikan imej lebih agresif terdiri dari bampar hadapan dan belakang baharu, lampu hadapan dengan elemen dalaman gelap, spoiler belakang lebih besar, serta tip ekzos berkembar diletakkan pada bahagian diffuser belakang.

Gril cascading pada i30 ini turut diberikan lencana N sebagai amaran ia bukan dari versi standard. Berberapa jalur serlahan berwarna merah turut diberikan bagi menyerlahkan imej liarnya – diberikan pada kemasan spoiler hadapan dan juga diffuser belakang.

Bagi menyerlahkan lagi warisan perlumbaan Hyundai N pada model ini, warna Performance Blue dipilih sebagai warna hero untuk i30 N – warna yang diperkenalkan untuk jentera WRC mereka, sejak Hyundai N menyelia pasukan tersebut pada tahun 2014. Hyundai turut menawarkan warna lain selain warna utama ini iaitu Clean Slate, Polar White, Micron Grey, Phantom Black dan Engine Red.

Pada bahagian dalaman pula, hot-hatch ini diberikan tempat duduk sport berpretasi tinggi bersama sokongan lumbar dan kusyen yang boleh dipanjangkan. Tempat duduk tersebut diberikan pilihan sama ada dibalut dengan kulit atau fabrik, digabungkan dengan sued dan juga diberikan sulaman logo N pada perehat belakang. Ia juga diberikan roda stereng N dan tombol gear yang berbeza, yang diberikan jahitan benang biru serta logo N.

Model ini turut diberikan kluster instrumen elektronik yang memberikan paparan penunjuk pemasa tukaran gear, dan juga meter RPM dengan ‘zon merah’ yang dihasilkan dari LED bervariasi – bertukar berdasarkan prestasi pemanduan dan suhu minyak pelincir.

Paparan prestasi lain pula dapat dipantau menerusi skrin terapung pada konsol tengah yang meliputi meter daya-G yang memberikan maklumat G-Force terus ketika memandu. Skrin ini diberikan dengan unit lima-inci sebagai ciri standard, manakala skrin lapan-inci ditawarkan sebagai opsyen. Sistem infotainmen hatchback ini pula menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto, serta diberikan pad pengecas induktif tanpa wayar Qi-standard.

Bagi keselamatan pula, i30 N diberikan sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), manakala untuk pasaran Eropah pula ia turut diberikan Fungsi Informasi Had Laju, yang memamparkan had laju pada kawasan-kawasan yang dilalui.

“Hyundai i30 N telah dibangunkan hanya untuk satu tujuan iaitu memberikan keseronokan memandu yang maksimum untuk pelanggan kami dalam pakej prestasi tinggi yang boleh diakses. Dengan model berprestasi tinggi N kami akan memperbaiki penampilan jenama kami dengan produk yang beremosi yang memenuhi keperluan pelanggan yang sukakan senyuman di muka mereka terukir apabila mereka memandu kereta ini pada jalan berliku dan mendengar deruman enjin. Oleh sebab itu kami mentakrif prestasi tinggi menggunakan BPM, degupan jantung seminit dan bukan hanya RPM,” kata Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai dan bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.

Abjad N pada Hyundai N bermaksud Namyang, iaitu tempat asalnya dan juga pusat R&D Hyundai di Korea. N juga bermaksud Nürburgring – litar di Jerman yang juga digelar “The Green Hell”, tempat jentera-jentera ini diuji bagi menjadikan setiap daripadanya jentera yang nakal di selekoh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required