Honda Civic Type-R akan kekal dengan kotak gear enam-kelajuan manual, tanpa pilihan transmisi auto

Honda Civic Type-R akan kekal dengan kotak gear enam-kelajuan manual, tanpa pilihan transmisi auto

Honda Civic Type-R generasi baharu mungkin agak berbeza dengan generasi-generasi terawalnya. Selain dari diberikan pengecas turbo pada enjin DOHC VTEC, ia juga diberikan suspensi adaptif yang boleh diubah talaannya dengan hanya satu sentuhan suis – membolehkan FK8 dipandu dengan selesa sebagai kenderaan harian, berbanding EK9 atau FD2 yang diberikan suspensi standard talaan litar yang agak keras dan tidak sesuai digunakan untuk bersiar-siar.

Namun apa yang kekal, Type-R generasi terkini berkenaan tidak akan diberikan pilihan kotak gear automatik konvensional atau transmisi automatik klac berkembar, menjadikan ia sebuah jentera yang hanya akan dibeli oleh mereka yang benar-benar suka memandu dan bukannya sebagai bahan untuk menunjukkan kemampuan kewangan mahupun berfesyen semata-mata.

Perkara ini disahkan dalam laporan Car Advice, di mana pembantu ketua projek besar untuk unit janakuasa Civic generasi kesepuluh Honda Jepun, Yuji Matsumochi menyatakan, Civic Type-R 2018 hanya akan ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan kerana mana-mana jenis transmisi automatik akan merosakkan keseimbangan berat jentera tersebut.

Namun, Matsumochi mengakui bahawa Honda pernah mencari jalan penyelesaian untuk memperluaskan sasaran pelanggannya sama ada untuk menggunakan transmisi automatik konvensional mahupun kotak gear klac berkembar. Tetapi, dengan pemadanan pilihan transmisi automatik berkenaan jelas bakal memberikan kesan buruk yang besar terhadap dinamik Civic Type-R tersebut.

“Kami hanya menghasilkan transmisi enam-kelajuan manual untuk Type-R, kerana janakuasanya telah mencapai 400 Nm dan 320 atau 310 PS – jadi, ia adalah prestasi yang besar. Type-R memerlukan janakuasa yang ringan kerana ia pacuan roda hadapan, dan memerlukan sistem janakuasa yang ringan. Jadi, enjinnya agak berat, oleh itu transmisinya perlu lebih ringan,” jelas Matsumochi.

Dengan konfigurasi sedia ada, Civic generasi baharu ini tidak benar-benar seimbang – tipikal sebuah kereta enjin hadapan pacuan hadapan (FF). Agihan beratnya dicatatkan pada kadar 62.5% untuk hadapan dan 37.5% bagi bahagian belakang, yang sebenarnya lebih baik dari generasi sebelum ini yang mencatatkan nisbah agihan berat 65:35. Kadar berkenaan pastinya akan terjejas sekiranya transmisi automatik yang lebih berat dipadankan.

Matsumochi turut menjelaskan, sistem ‘rev-matching’ (memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan) yang dibekalkan pada Civic Type-R generasi baharu ini adalah untuk membantu mereka yang kurang mahir dengan teknik heel and toe bagi membolehkan mereka berseronok di litar.

“Selepas itu kami memutuskan untuk memadankan hanya transmisi enam-kelajuan manual – dan transmisi tersebut sangat seronok untuk dipandu. Mudah untuk dipandu, walau bagaimanapun kadang kala agak sukar untuk mengawal pemasaan tukaran gear untuk prestasi yang sporty, jadi kami bekalkan sistem rev-match tersebut. Ia sangat mudah dan sangat lancar – jadi semua orang akan mendapat pengalaman yang istimewa memandu kereta ini,” terang Matsumochi.

GALERI: Honda Civic Type-R FK8 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required