Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

World Time Attack Challenge (WTAC) – perlumbaan yang menampilkan format catatan masa terpantas di atas litar semata-mata adalah sinonim dengan jenama-jenama penala tidak rasmi dan juga pengeluar peralatan aftermarket berprestasi tinggi. Divisi perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N nampaknya telah memecahkan tradisi berkenaan dengan menjadi pasukan rasmi pengeluar pertama di dunia yang menyertai cabaran tersebut.

Hyundai N mempertaruhkan model i30 Fastback untuk bertanding dalam kelas Clubsprint pada WTAC 2019 yang akan berlangsung di Sydney Motorsport Park, Australia bermula 18 hingga 19 Oktober ini. Kategori tersebut adalah untuk kereta-kereta produksi dengan ubahsuai minimal, dan Hyundai N bakal menguji berberapa peralatan berprestasi tinggi baharu pada kereta berkenaan yang bakal digunakan untuk model-model produksi akan datang.

Projek ini akan diterajui oleh pasukan Hyundai N Australia, dan turut menerima sokongan dari jurutera dan pereka dari ibu pejabat unit R&D mereka yang terletak di Namyang, Korea Selatan. Keputusan untuk menyertai WTAC 2019 diambil setelah pasukan yang sama telah menyertai Targa Tasmanian Tarmac Rally dengan i30 N Hatchback yang dikemudi oleh pasangan Brendan Reeves dan Rhianon Gelsomino yang berjaya menduduki tempat ke-6 dalam kategori GT2, menewaskan kereta-kereta sport yang lebih mahal dan lebih berprofil tinggi.

Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

Dalam keadaan standard, i30 N dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 275 PS/300 Nm, dan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan. i30 N Fastback yang dibangunkan untuk WTAC 2019 masih lagi menggunakan enjin asal, selari dengan undang-undang kategori Clubsprint. Namun ia telah diberikan unit pengeces turbo dan juga intercooler baharu serta talaan semula terhadap kotak komputer enjin bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.

Kereta yang turut menerima sistem ekzos baharu dengan bunyi yang lebih agresif ini telah diuji di litar lumba tempatan dan juga di atas mesin dynometer bagi memastikan ia menghasilkan kuasa paling optimum, tetapi masih lagi mempunyai tahap ketahanan tinggi walaupun komponen-komponen dalaman enjin masih lagi standard dan tidak diusik.

Pada bahagian luaran, jentera WTAC Hyundai ini mengenakan bonet hadapan gentian karbon dan juga rim forged OZ Racing dari model edisi terhad i30 N Project C yang didedahkan baru-baru ini. Tidak cukup dengan itu, ia turut menerima kit aerodinamik seperti spoiler bawah bampar hadapan yang lebih besar dan juga spoiler GT belakang bersaiz gergasi seperti jentera-jentera WTAC yang lain.

Hyundai sertai World Time Attack Challenge guna i30 N Fastback sebagai pasukan pengeluar rasmi pertama

Kit aerodinamik tersebut direka oleh Dr Sammy Diasinos dari Dynamic Aero Solution, pakar aerodinamik dari Australia yang mempunyai pengalaman selama enam-tahun dalam Formula 1 dan turut menghasilkan kit aero untuk juara-juara WTAC sebelum ini. Menurut Dr Diasinos, spoiler hadapan pada i30 ini mampu menghasilkan downforce 250 kg pada kelajuan 200 km/j, dan 450 kg pada spoiler belakang pada kelajuan sama.

Pada bahagian dalaman pula, kereta lumba ini menerima roda stereng balutan Alcantara juga dari i30 N Project C, dan juga kelengkapan perlumbaan lain seperti papan pemuka yang telah ‘dikosongkan’, tempat duduk bucket penuh perlumbaan dengan tali pinggang keselamatan, serta rollcage penuh.

Kategori Clubsprint ini juga tidak membenarkan ia disertai oleh pemandu professional. Oleh itu, kereta ini akan dipandu oleh staf dalaman Hyundai sendiri iaitu Tim Rodgers, seorang pakar dalam divisi Perancangan dan Pembangunan Produk Hyundai Australia, yang turut akan membantu dalam proses ujian komponen baharu yang digunakan.

GALERI: Hyundai i30 N Fastback versi standard

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required