Hyundai Staria – perincian didedahkan; lebih besar dari Starex, pilihan enjin petrol V6 dan turbodiesel

Hyundai Staria – perincian didedahkan; lebih besar dari Starex, pilihan enjin petrol V6 dan turbodiesel

Hyundai telah pun mendedahkan rupa dan sebahagian maklumat berkenaan MPV baharu bersaiz besar mereka bagi menggantikan Starex, iaitu Hyundai Staria bulan lalu. Dan kini, jenama dari Korea Selatan berkenaan sudah mengumumkan perincian penuh terhadap people mover yang nampak begitu futuristik ini.

Seperti yang sudahpun ramai melihat imejnya sebelum ini, Staria tampil dengan rupa luaran yang minimalis, seakan kereta api peluru. Bahagian hadapan MPV ini dihasilkan cukup ringkas dengan satu jalur LED merentangi keseluruhan mukanya, bersama gril besar di bahagian bawah yang turut diberikan lampu utama terdiri dari kiub LED yang disusun dua baris menegak.

Sebagai ciri standard, gril berkenaan datang dengan warna badan bagi membuatkan ia kelihatan ringkas, manakala model Premium pula menerima kemasan serlahan berwarna tembaga pada emblem, gril, bezel lampu utama, bampar, rim, cermin sisi dan pembuka pintu.

Pada bahagian sisi Staria ini, Hyundai mendakwa bahawa bentuk garis badan tunggal dari muncung sehingga bumbung belakang MPV ini diinspirasikan bentuk Bumi ketika matahari terbit yang dilihat dari angkasa. Ia diberikan tingkap sisi yang cukup besar, manakala pada permukaan sisi tidak diganggu dengan sebarang garisan lain yang menyerlahkan rupa ringkas dan bersih.

Hyundai Staria – perincian didedahkan; lebih besar dari Starex, pilihan enjin petrol V6 dan turbodiesel

Konsep yang sama juga diteruskan di belakang di mana ia menampilkan cermin dan juga pintu tailgate yang besar, bersama permukaan rata, bersama bampar yang cukup nipis disertakan jalur kemasan di bawahnya. Lampu belakang Staria ini direka menegak pada kedua-dua hujung sisi, menampilkan rekaan grafik dalam Parametric Pixel sama seperti model Ioniq 5.

Bukan sahaja nampak, tapi saiz sebenar Staria ini sememangnya lebih besar dari Starex. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,253 mm panjang (+103 mm), 1,997 mm lebar (+77 mm), 1,990 mm tinggi (+55 mm) dan jarak roda sejauh 3,273 mm (+73 mm). Lapan warna badan ditawarkan yang terdiri dari Abyss Black Pearl, Creamy White, Graphite Gray Metallic, Moonlight Blue Pearl, Shimmering Silver Metallic, Dynamic Yellow, Olivine Gray Metallic dan Gaia Brown Pearl.

Staria ditawarkan dalam konfigurasi dari dua-, tiga-, tujuh- , sembilan- dan 11-tempat duduk dengan rekaan bahagian dalaman MPV ini diinspirasikan dari kapal persiaran, menurut Hyundai. Seperti rupa diluar, papan pemuka Staria ini juga tampil dengan rekaan futurisitk seakan Tucson generasi baharu – liang penghawa dingin yang nipis diberikan merentangi keseluruhan papan pemuka, dipisahkan dengan skrin sesentuh sistem infotainmen 10.25-inci yang diletak tinggi di tengah, nampak seakan air terjun.

Sistem infotainmen berkenaan diberikan pelbagai perincian yang lebih mesra-keluarga, termasuk memaparkan visual dari kamera yang memantau penumpang belakang, serta sistem pembesar suara unik yang membolehkan komunikasi antara penumpang belakang dan belakang dibuat dengan lebih jelas.

Hyundai Staria – perincian didedahkan; lebih besar dari Starex, pilihan enjin petrol V6 dan turbodiesel

Kabin MPV ini turut diberikan dengan banyak ruang-ruang simpanan, termasuk konsol pada bumbung, di bawah panel instrumen, dan juga pada atas dan bawah bahagian tengah papan pemuka. Konsol tengah Staria disertakan dengan pemegang-pemegang cawan, port USB, serta ruang simpanan, manakala glove box pula direka agar ia lebih kehadapan bagi memberikan ruang kaki lebih baik pada penumpang hadapan.

Model Premium untuk Staria ini menerima lebih banyak perincian. Versi Premium dengan tujuh-tempat duduk didatangkan dengan kerusi Premium Relaxation yang boleh digelangsarkan ke hadapan dan ke belakang serta dilengkapi mod santai dengan operasi satu sentuhan. Mod berkenaan akan membaringkan tempat duduk tersebut secara elektrik serta memanjangkan ottoman bagi memberikan rasa seperti kelas perniagaan dalam pesawat.

Hyundai mendakwa bahawa walaupun dengan mod ini, Staria masih menawarkan ruang yang cukup untuk orang dewasa duduk pada baris ketiga. Perincian berkenaan tiada pada versi Premium sembilan tempat duduk, namun pada varian ini ia didatangkan dengan tempat duduk baris kedua yang boleh diputar 180-darjah bagi menghadap tempat duduk baris ketiga. Kesemua versi Premium ini juga dibekalkan standard dengan lampu suasana kabin 64-warna serta sistem bunyi dari Bose.

Satu lagi fungsi unik pada Staria ini adalah ia hadir dengan rel tempat duduk yang panjang bagi membolehkan kerusi belakang ditolak ke hadapan, memberikan ruang kargo yang lebih besar di belakang, manakala model-model standard pula dihasilkan dengan tempat duduk yang boleh dilipat rata bagi membolehkan anda membawa muatan panjang.

Hyundai Staria – perincian didedahkan; lebih besar dari Starex, pilihan enjin petrol V6 dan turbodiesel

Manakala bagi versi van dua- dan tiga-tempat duduk, kabin belakang Staria tanpa tempat duduk tersebut memberikan ruang kargo dengan kapasiti hampir 5,000 liter, serta cukup untuk memuatkan tiga palet saiz Eropah.

Hyundai Staria ditawarkan dengan pilihan enjin Smartstream turbodiesel dan juga petrol. Model diesel dibekalkan dengan enjin 2.2 liter empat silinder yang dilengkapi pengecas turbo lebih besar dari sebelum ini bagi menghasilkan tork low-end lebih besar, menjana 177 PS dan tork maksima 431 Nm. Ia digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau lapan-kelajuan automatik.

Manakala model petrol pula, ia datang dengan enjin V6 3.5 liter MPI tanpa turbo, diberikan lengan ayun bersepadu yang lebih efisien, selongsong logam tahan karat dan juga sistem pengurusan haba bersepadu bagi memberikan kawalan suhu cecair penyejuk yang lebih optima. Enjin ini menghasilkan 272 PS dan tork maksima 331 Nm dan hanya ditawarkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik.

Menurut Hyundai, kedua-dua pilihan rangkaian kuasa ini telah dioptimakan dari segi kehalusan, sensasi tukaran gear dan pecutan, bersama unit valve control body, pam pelincir terus dan torque converter pelbagai lapisan yang ditala bagi memberikan lebih kecekapan.

Untuk suspensi pula, Staria menampilkan sistem multilink di belakang bagi memberikan lebih keselesaan, bersama penyerap hentak dan brek yang telah ditingkat taraf. Badan Staria ini bukan sahaja direka untuk estetika, ia sebenarnya turut menampilkan keberkesanan aerodinamik lebih baik.

Manakala untuk keselamatan, Staria dibekalkan sehingga enam beg udara serta tali pinggang keledar tiga-poin bersama perehat kepala untuk semua tempat duduk, serta sistem brek kecemasan automatik dan pemantau titik buta dengan bantuan stereng.

Kesemua kerusi datang dengan amaran pengingat pemakaian tali pinggang keledar, dan disebabkan tempat duduk belakang boleh di gelangsarkan, sistem tersebut beroprasi secara komunikasi tanpa wayar yang didakwa sebagai pertama seumpanya di dunia. Staria juga dilengkapkan dengan sistem amaran buka pintu.

Hyundai turut menyatakan bahawa selepas ini Staria akan muncul dalam varian-varian “kenderaan istimewa”, termasuk limosin, ambulans, dan juga camper van. Ia juga akan diperkenalkan dalam versi rangkaian kuasa yang lebih mesra alam, jadi boleh dijangka Staria akan muncul dengan teknologi elektrifikasi selepas ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required