Apa yang anda lihat ini bukanlah kereta konsep, tapi sebaliknya sebuah kereta yang boleh mula dibeli (bergantung kepada pasaran) dalam masa beberapa bulan lagi. Ini adalah Hyundai Ioniq 5, sebuah crossover elektrik pertama yang dibina atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP).

Rekaan Ioniq 5 ini sebenarnya sudah boleh dilihat awal melalui model konsep 45 yang didedahkan pada tahun 2019, dan bagi model produksi ini, kebanyakan rekaannya masih dikekalkan. Ini termasuklah profail tepi inspirasi daripada kereta pertama Hyundai, iaitu Pony, cermin belakang ala fastback serta c-pillar yang lebar.

Bahagian hadapan kenderaan ini ternyata unik dengan bampar yang menggabungkan garisan berbentuk V serta lampu utama petak dan DRL dengan pencahayaan berbintik. Ia juga menggunakan bonet jenis clamshell yang bersambung sekali dengan fender – pertama bagi Hyundai – dan dikatakan dapat membantu mengurangkan ruang antara panel dan mempertingkatkan aerodinamik. Sebab sama juga membawa kepada penggunaan pembuka pintu jenis rata.

Walaupun bonet dan bumbung masih nampak melengkung, pada bahagian lain kereta ini menggunakan banyak garis serta lekuk tajam, yang diberitahu merupakan sebahagian daripada konsep rekaan baru Parametric Dynamic Hyundai. Lampu belakang juga menggunakan pencahayaan berpetak sama seperti di hadapan, sementara rim pula melibatkan rekaan yang kompleks sekiranya diperhatikan lebih dekat.

Walaupun nampak kompak, Ioniq 5 sebenarnya agak besar dengan ukuran 4,635 mm panjang (hampir seperti Tucson dengan jarak roda panjang) dan 25 mm lebar (1,890 mm) serta 50 mm lebih rendah (1,605 mm). Untuk jarak roda pula, pada 3,000 mm, ia sebenarnya adalah lebih panjang daripada SUV tujuh tempat duduk Palisade. Sebab itulah anda boleh melihat rim 20 inci yang digunakan pada Ioniq 5 ini nampak tidak terlalu besar.

Sementara bahagian luar nampak unik, bahagian dalam pula direka untuk memberi standard baru dalam ruang kabin serta fleksibiliti. Platform baru ini membenarkan penggunaan lantai yang rata sepenuhnya, dan apabila digabungkan bersama jarak roda yang panjang, dapat memberi suasana seperti ruang santai. Di atas terdapat bumbung panoramik yang luas.

Tempat duduk larasan kuasa yang terdapat di depan mempunyai sokongan di bahagian kaki apabila ia disandarkan, sementara konsol tengah yang dipanggil sebagai Universal Island juga boleh digunakan oleh penumpang belakang untuk meletakkan cawan. Bahagian belakang tempat duduk hadapan ini 30% lebih nipis bagi memberikan lebih ruang kepada penumpang.

Menurut Hyundai, Ioniq 5 menyediakan ruang simpanan 531 liter, dan ia boleh dibesarkan menjadi 1,600 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Di hadapan juga terdapat lagi ruang simpanan tambahan sebesar 57 liter. Satu ciri menarik adalah terdapat soket V2L di bawah tempat duduk belakang dan berhampiran tempat mengecas, yang boleh menyediakan kuasa 3.6 kW untuk mengecas barang seperti komputer riba, basikal elektrik, skuter ataupun barangan lain.

Bahagian lain nampak ringkas dengan rekaan papan pemuka yang lurus dan rata, penukar gear berhampiran stereng serta dua skrin yang bersambung. Melalui skrin ini juga pengguna boleh melaras suasana di dalam kabin kenderaan.

Ioniq 5 ditawarkan dengan sistem sambungan BlueLink terbaru yang dapat menyediakan ciri baru seperti petunjuk navigasi berasaskan cloud, simpanan beberapa profail pengguna serta kawalan pengecas dan suhu jarak jauh. Turut disediakan adalah head-up display AR (seperti Mercedes-Benz S-Class), pengenalan suara dan sistem bunyi lapan pembesar suara Bose.

Memandangkan ini adalah kereta elektrik yang mesra alam, bahan lain yang digunakan di dalam juga mengikut konsep sama. Ini termasuklah polyethylene (PET) kitar semula daripada botol plastik, benang berasaskan tumbuhan (bio-PET) serta cat dan kulit yang juga berasaskan tumbuhan. Pemilik turut boleh menambah panel solar di atas kereta ini dan ia dapat membantu kuasa bateri dan memberikan jarak gerak lebih jauh.

Pada bahagian sistem bantuan pemandu, Ioniq 5 adalah model Hyundai pertama yang mendapat Highway Driving Assist 2 di mana ia dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan mengikut jarak yang telah ditetapkan, dan kekal di dalam lorong. Selain daripada itu, kenderaan ini turut dilengkapi Autonomous Emergency Braking yang mempunyai pengesan basikal, pejalan kaki dan trafik dari hadapan, pengenalan tanda jalan, pembantu lampu tinggi serta amaran untuk menarik perhatian pemandu.

Sistem lain yang diberi adalah seperti dua kamera titik buta di tepi, sistem penghindar perlanggaran titik buta, amaran buka pintu, letak kereta melalui arahan kawalan jauh, kamera 360 darjah, AEB waktu meletakkan kenderaan serta penghindar perlanggaran trafik dari belakang.

Spesifikasi kenderaan ini masih belum didedahkan oleh Hyundai tetapi beberapa ciri pentingnya telah diberitahu. Ioniq 5 akan ditawarkan dalam sama ada pacuan roda belakang atau semua roda (dua motor), serta pilihan kapasiti bateri 58 atau 72.6 kWh. Model yang dilengkapi dengan AWD dan bateri paling besar akan mempunyai kuasa paling tinggi, iaitu 225 kW (302 hp) dan 605 Nm tork.

Untuk mendapatkan jarak gerak paling jauh, sekitar 470 hingga 480 km, anda perlu mendapatkan model pacuan roda belakang dan bateri 72.6 kWh. Tidak kiralah versi mana pun yang dipilih, anda masih akan dapat laju maksimum yang sama, iaitu 185 km/j.

Satu ciri pertama di dunia yang ada pada Ioniq 5 ini adalah ia dapat digunakan bersama kedua-dua sistem 400 V dan 800 V dengan memberikan boost kepada motor elektrik serta inverter, dan tidak menggunakan pengecas berasingan. Melalui pengecas pantas DC 350 kW, pengguna boleh mengecas bateri dari tahap 10% ke 80% dalam masa cuma 18 minit. Jika mengecas selama lima minit sahaja, anda sudah boleh pergi sehingga 100 km.

Pengecas 350 kW ini akan disediakan di rangkaian pengecas IONITY (Hyundai adalah pemegang saham utamanya) dan pemilik di beberapa negara terpilih akan menerima langganan percuma selama satu tahun untuk rangkaian ini. Tempat mengecas boleh dicari menggunakan sistem infotainmen dan membayar menggunakan kad kredit atau aplikasi.