Hyundai Santa Fe facelift 2021 didedahkan – guna platform baharu dengan rekaan lebih agresif

Hyundai Santa Fe facelift 2021 didedahkan – guna platform baharu dengan rekaan lebih agresif

Hyundai Santa Fe generasi keempat kini sudahpun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran selepas didedahkan buat pertama kali pada Februari 2018, dan seperti biasa seperti mana-mana model ia kini masuk ke fasa facelift buat kali pertama. Hyundai sudahpun mendedahkan model kemaskini berkenaan, tetapi apa yang mengejutkan selain dari rombakan besar dibuat pada penampilannya, versi ‘facelift’ ini juga sebenarnya telah dipindahkan ke platform baharu!

Menurut Hyundai, Santa Fe 2021 ini merupakan “kenderaan pengembaraan keluarga yang terhebat”. dan dibangunkan bagi menawarkan pengalaman premium disamping memenuhi keperluan penggunaan seisi keluarga.

Seperti yang anda boleh lihat, Santa Fe baharu ini diberikan muka dengan lampu nyalaan siang di sebelah atas kekal ‘sepet’ dan tirus, manakala lampu hadapan utamanya pada bampar kini nampak bersepadu terus dengan gril utama. Rekaan ini juga membolehkan satu kemasan seakan liang udara pada bahagian sisi diberikan bersama gril bawah yang lebih besar.

Hyundai Santa Fe facelift 2021 didedahkan – guna platform baharu dengan rekaan lebih agresif

Satu lagi jika anda perasan, grafik LED lampu nyalaan siang pada sebelah atas kelihatan bersambung dengan jalur grafik LED yang menyala pada lampu utama di bawah, menyerlahkan bentuk seakan huruf T.

Di belakang, Santa Fe diberikan lampu dengan kluster yang nampak sama seperti sebelum ini, namun ia kini hadir dengan grafik LED yang juga membentuk huruf T, manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate bagi menyambungkan kedua-dua lampu kini digantikan dengan reflektor berwarna merah.

Imej baharu ini turut disokong dengan rekaan rim yang lebih agresif, dan kini Santa Fe turut ditawarkan dengan pilihan rim aloi bersaiz 20-inci.

Hyundai Santa Fe facelift 2021 didedahkan – guna platform baharu dengan rekaan lebih agresif

Pada bahagian kabin, rekaan asas papan pemuka Santa Fe 2021 ini masih kelihatan sama seperti sebelumnya. Namun rombakan besar dibuat pada konsol terowong tengah di mana ia kini kelihatan lebih tinggi dan lebih landai, dan tombol gear tradisional juga tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.

Turut kelihatan disebelah butang gear tersebut adalah suis kawalan Terrain Mode, untuk pilihan mod pemanduan Eco, Sport, Comfort dan Smart, serta pilihan mod sistem pacuan semua roda HTRAC yang hadir dengan pilihan Sand, Snow dan Mud.

Skrin sesentuh utama untuk sistem AVN (audio, video dan navigasi) kini menggunakan unit bersaiz 10.25-inci, yang telah lengkap dengan peta untuk sistem navigasi satelit dan boleh dioperasikan dengan arahan suara, serta memberikan paparan untuk kamera undur dan juga pelbagai fungsi terhubung lain.

Hyundai Santa Fe facelift 2021 didedahkan – guna platform baharu dengan rekaan lebih agresif

Hyundai menyatakan bahawa kabin baharu yang direka semula ini memberikan lebih ruang, keselesaan dan kemudahan serta “membawa kereta ini ke tahap mewah yang baharu dengan setiap komponen dihasilkan dengan kemasan material sentuhan lembut.”

Walau bagaimanapun, Hyundai masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal untuk Santa Fe yang dipertingkat ini. Namun jenama dari Korea tersebut ada menyatakan sebelum ini bahawa dengan penggunaan platform “Integrated Architecture” terkini, ia bakal menerima unit janakuasa hibrid dan plug-in hybrid buat pertama kali.

Hyundai turut mengesahkan bahawa Santa Fe 2021 ini adalah model pertama mereka di Eropah serta SUV pertama Hyundai di dunia yang dihasilkan dari platform serba baharu generasi ketiga mereka. Ini membolehkan ia diberikan peningkatan dari segi prestasi, kawalan dan keselamatan yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

Dengan sistem yang mengawal aliran udara, platform baharu ini juga mampu untuk memperbaiki pergerakan udara yang melalui ruang enjin dan membolehkan suhu panas disisihkan. Menurut Hyundai, ia membantu untuk memberikan lebih kestabilan pada bahagian bawah SUV ini.

Kestabilan berkenaan diperbaiki lagi dengan komponen-komponen berat yang diletakkan lebih rendah serta aspek aerodinanik yang ditambahbaik, tambah Hyundai.

Cagak tetap lengan stereng juga kini telah diposisikan lebih hampir kepada bahagian tengah roda hadapan, membolehkan kawalan lebih lincah diberikan. Hyundai juga telah memperkukuhkan sistem penyerapan bunyi pada komponen-komponen yang sensitif getaran bagi memberikan aspek NVH lebih baik.

Dengan penggunaan struktur laluan pelbagai beban, proses tekanan panas serta integasi plat keluli tegangan super tinggi, platform baharu ini juga mampu menyerap impak kemalangan dalam masa yang sama meminimakan kesan pada ruang penumpang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required