Hyundai Santa Cruz didedahkan – trak pikap dengan casis SUV, pilihan enjin petrol 2.5L NA dan Turbo

Hyundai Santa Cruz didedahkan – trak pikap dengan casis SUV, pilihan enjin petrol 2.5L NA dan Turbo

Selepas menyiarkan teaser minggu lalu, kini trak pikap Hyundai yang sudahpun disebut-sebut sejak sekian lama iaitu Hyundai Santa Cruz sudah pun didedahkan sepenuhnya di Amerika Syarikat. Tetapi, Hyundai menegaskan bahawa Santa Cruz bukanlah sebuah trak pikap, sebaliknya ia digelar sebagai “Kenderaan Sport Adventure”.

Ini kerana berdasarkan kenyataan ketua produk global Hyundai, Lorenz Glaab, Santa Cruz bukan dihasilkan dari kerangka Ladder Frame seperti trak pikap tradisional, sebaliknya ia dibangunkan menggunakan platform M3 yang sama seperti SUV Tucson dan Genesis GV80. Jadi menurut Hyundai, Santa Cruz ini sebenarnya lebih kepada sebuah SUV yang mempunyai bed di bahagian belakang.

Jenama Korea tersebut turut menyatakan bahawa bed belakang Santa Cruz ini juga tidak sama dengan trak pikap biasa. Ia menampilkan penutup tonneau bersepadu yang boleh dikunci, diberikan aksesori tambahan bed yang versatil, serta ruang simpanan tambahan yang tersembunyi di bawah bed. Dalam masa yang sama, pelanggan masih dapat manfaat sebuah SUV seperti keselesaan, ruang penumpang, penggunaan bahan api lebih efisien serta mudah diparkir.

Hyundai Santa Cruz didedahkan – trak pikap dengan casis SUV, pilihan enjin petrol 2.5L NA dan Turbo

Santa Cruz tampil dengan profil sisi yang hampir seiras seperti model konsepnya yang muncul pada tahun 2015, diberikan tiang-C yang landai, tetapi digabungkan dengan elemen rekaan terkini dari Hyundai. Muka trak pikap ini diberikan gril Parametic Jewel dengan lampu nyalaan siang LED yang tersembunyi, bersama fender yang ‘berotot’ seperti Tucson.

Namun bamparnya direka untuk kelihatan lebih lasak menampilkan rekaan lebih bersegi di bahagian lampu utama, gril bawah lebih besar serta panel skid plate yang besar di bahagian bawah. Belakang Santa Cruz ini juga tidak sama dengan trak pikap tradisional dengan diberikan lampu melintang yang bersambung pada pintu bed, bersama grafik LED berbentuk-T yang melintang dan tulisan ‘Design in California’di dalamnya.

Tulisan “SANTA CRUZ” yang besar dicop pada pintu bed berkenaan, manakala bampar yang terletak di bawahnya juga lebih kelihatan seperti bampar SUV berbanding sebuah pikap, tetapi masih diberikan panel untuk dipijak. Penampilan Santa Cruz ini dilengkapkan dengan rim 20-inci (pilihan 18-inci juga ditawarkan) di dalam setiap ruang roda yang diberikan panel pelindung plastik.

Hyundai masih belum mendedahkan sepenuhnya rekaan dalaman untuk Santa Cruz ini, tetapi menerusi perincian yang di close-up, ia nampak seperti menampilkan papan pemuka dengan rekaan sama seperti Tucson, dengan rekaan papan pemuka yang seakan bersambung dengan jalur dari pintu, nampak seperti mengalir ke tengah papan pemuka dan berakhir pada ‘air terjun’ yang mengapit konsol tengah, bersama pilihan instrumen digital dengan skrin 10 inci untuk pemandu.

Secara standard, Santa Cruz hadir dengan skrin sesentuh sistem infotainmen lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, bersama sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Untuk ciri opsyen, pembeli boleh memilih skrin 10-inci tanpa bingkai dan sistem audio premium dari Bose. Sistem navigasi yang dipadankan pula boleh berfungsi dengan skrin terbahagi membolehkan ia mengoperasikan sistem lain dalam masa yang sama.

Santa Cruz juga menerima sistem Kunci Digital yang boleh berfungsi menerusi aplikasi dalam telefon pintar Android. Fungsi tersebut membolehkan pemilik tidak perlu lagi membawa kunci biasa, dan aplikasi berkenaan menawarkan fungsi seperti mengunci/buka kunci, mengaktifkan butang panik, dan juga menghidupkan enjin dari jarak jauh.

Dari segi saiz, Santa Cruz dihasilkan dengan dimensi 4,971 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,694 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,005 mm, manakala bed belakangnya pula tampil dengan panjang 1,323 mm. Jadi berbanding Tucson, Santa Cruz ini 341 mm lebuh panjang, 42 mm lebih lebar dan jarak roda 249 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun, saiz Santa Cruz ini masih berada dalam lingkungan trak pikap seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, tidak sebesar trak saiz lebih besar di Amerika seperti Toyota Tacoma dan Nissan Frontier.

Disebabkan ia menggunakan platform SUV, Hyundai Santa Cruz menampilkan bentangan enjin yang diletakkan secara melintang seperti kereta pacuan hadapan dan tidak menegak kebelakang seperti trak pikap ladder frame biasa. Dua jenis pilihan enjin petrol ditawarkan, bermula dengan versi NA 2.5 liter dengan sistem suntikan terus empat-silinder sebaris menghasilkan kuasa kuda yang dianggarkan lebih 190 hp dan tork maksima lebih dari 244 Nm.

Manakala pilihan paling berkuasa adalah enjin petrol 2.5 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan terus (T-GDI) yang dianggar menghasilkan lebih dari 275 hp dan tork maksima lebih dari 420 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan automatik DCT lapan-kelajuan bersama pedal penukar gear pada stereng.

Hyundai Santa Cruz didedahkan – trak pikap dengan casis SUV, pilihan enjin petrol 2.5L NA dan Turbo

Kedua-dua versi berkenaan juga hadir dengan sistem pacuan semua roda HTRAC Hyundai. Sistem tersebut menampilkan klac yang membolehkan agihan tork antara gandar hadapan dan belakang dibuat secara bervariasi bersama kawalan tork aktif secara elektronik.

Dalam mod Sport, sistem ini akan memberikan agihan tork yang lebih banyak ke roda belakang bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty dan dinamik, menurut Hyundai. Selain itu, sistem HTRAC ini juga ditala dengan variasi agihan tork yang luas bagi memberikan cengkaman optimum pada situasi-situasi berbeza seperti pecutan jalan lurus, meredah selekoh dalam kelajuan sederhana dan tinggi, dan juga bantuan mula mendaki.

Manakala untuk kapasiti menunda pula, model 2.5L NA mampu untuk menunda beban sebanyak 1,588 kg, sementara model paling berkuasa 2.5L Turbo AWD pula mampu untuk menunda beban sehingga 2,268 kg.

Hyundai juga menyatakan bahawa casis Santa Cruz ini ditala bagi memberikan pemanduan yang dinamik serta prestasi yang responsif sama ada pada kawasan urban mahupun off-road serta dalam pelbagai permukaan jalan. Dengan jarak roda dan juntaian lebih pendek, trak pikap ini mudah dikendali serta menawarkan radius pusingan 6.1 meter.

Untuk keselamatan, Hyundai Santa Cruz pasaran Amerika Syarikat ini menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense yang terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal serta Bantuan Kekal Lorong sebagai ciri standard.

Sistem SmartSense ini juga ditawarkan dengan opsyen lebih baik terdiri dari sistem Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta, Bantuan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang, Amaran Selamat Keluar, cruise control pintar dengan fungsi stop & go, Bantuan Pemanduan Lebuh Raya dan Pemantau Pemandangan Sekeliling.

Hyundai Santa Cruz ini akan mula diproduksi di kilang Hyundai Motor Manufacturing Alabama (HMMA), Montgomery, Amerika Syarikat pada Jun nanti dan bakal masuk ke pasaran pada musim panas 2021. Namun pelanggan yang berminat boleh menempah model ini secara atas talian bermula lewat bulan ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required