Hyundai Santa Cruz – teaser disiar, disifatkan sebagai “kenderaan Sport Adventure”, didedah minggu depan

Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya Hyundai mengesahkan bahawa mereka bakal mendedahkan trak pikap mereka yang digelar Santa Cruz pada 15 April ini, dan sebelum itu satu video teaser yang menunjukkan lakaran model berkenaan telah pun disiarkan.

Menurut Hyundai, Santa Cruz bukanlah trak pikap, sebaliknya ia lebih disifatkan sebagai “kenderaan Sport Adventure”. Rekaan lakaran yang didedahkan ini juga menampilkan profil sisi yang seakan sama dengan model konsepnya yang didedahkan pada tahun 2015.

Ia menampilkan tiang-C yang landai, tetapi model produksi ini menampilkan konfigurasi double cab sebenar, berbanding versi konsep yang diberikan pintu hadapan lebih panjang bersama pintu belakang yang dibuka terbalik (suicide door) memberikan rupa seakan trak pikap single cab.

Hyundai Santa Cruz – teaser disiar, disifatkan sebagai “kenderaan Sport Adventure”, didedah minggu depan

Manakala pada muka pula, Santa Cruz versi produksi yang direka oleh pasukan pereka California di Hyundai Design North America ini tampil dengan rekaan seakan SUV segmen-C Hyundai Tucson generasi terkini, menggunakan gril ‘parametic jewel‘ bersama lampu hadapan LED ‘Parametic Hidden Lights’ yang seakan ‘menyamar’ sebagai sebahagian daripada elemen pada gril.

Tiada perincian lain serta sebarang maklumat teknikal didedahkan oleh Hyundai buat masa sekarang. Jenama dari Korea Selatan berkenaan cuma menyatakan bahawa Santa Cruz bakal menawarkan “rekaan yang garang dan sofistikated, pilihan rangkaian kuasa yang berkuasa dan efisien, bed terbuka yang fleksibel untuk membawa kelengkapan, sistem terhubung yang maju, serta platform pacuan semua roda yang sangat boleh dikendalikan secara seimbang sama ada di kawasan urban atau persekitaran yang fokus kepada pengembaraan.”

Namun sebelum ini ketua produk global Hyundai, Lorenz Glaab telahpun mengesahkan bahawa Santa Cruz tidak menggunakan casis ladder frame seperti pesaingnya yang lain seperti Ford Ranger atau Toyota Hilux, sebaliknya ia dihasilkan di atas platform unibody yang sama dengan SUV Hyundai Tucson generasi baharu.

Hyundai bukanlah pengeluar pertama yang menghasilkan trak pikap dengan konsep berkenaan, kerana Honda juga telah sekian lama menghasilkan trak pikap unibody dengan asas kenderaan pacuan hadapan (bersama sistem AWD) untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu Honda Ridgeline. Malah trak pikap pertama Hyundai yang dihasilkan pada era 70’an dulu juga sama, diasaskan dari sedan Hyundai Pony seperti Proton Arena.

Secara spesifik, platform unibody generasi baharu untuk asas Santa Cruz dan Tucson tersebut digelar sebagai ‘M3’ dan ia turut menjadi asas kepada SUV divisi mewah Hyundai, Genesis GV80. Jadi boleh dijangka unit janakuasa pada Santa Cruz ini juga akan mirip kepada sebuah SUV dengan suspensi bebas di belakang yang lebih selesa, serta sistem pacuan semua roda sepanjang masa tanpa transfer case dengan gear rendah.

Untuk enjin, penawarannya juga mungkin mirip dengan Hyundai Tucson generasi ke-empat berkenaan, ditawarkan dengan enjin petrol Smartstream 2.5 liter suntikan-terus empat-silinder NA berkuasa 190 PS/260 Nm untuk versi tanpa sistem hibrid.

Juga tidak mustahil ia akan hadir dengan enjin diesel dari barisan SUV Hyundai yang lain, seperti unit turbodiesel 2.2 liter R CRDi berkuasan 193 PS/440 Nm pada Santa Fe, dan juga enjin 3.0 liter enan-silinder turbodiesel sama seperti Genesis GV80.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required