Subaru XV facelift 2022 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada Disember lalu, dengan peningkatan imej yang minimal serta menampilkan beberapa ciri baharu, termasuk kelengkapan bagi aspek keselamatan. Untuk itu, kami membawakan galeri penuh crossover generasi kedua dengan suntikan yang lebih segar ini bagi memberikan gambaran lebih jelas buat anda.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, XV baharu ini ditawarkan pada harga RM139,788 untuk varian 2.0-P EyeSight, namun untuk varian GT Edition yang anda lihat menerusi galeri foto ini, ia berharga RM146,788. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang berlangsung hingga 30 Jun ini, serta diberikan waranti lima-tahun/100,000 km.
Tidak kira apa varian yang dipilih, ia menerima enjin yang sama iaitu unit FB20D 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder, dengan hamburan output 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga mengekalkan Lineartronic CVT dengan mod manual tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Symmetrical. Versi facelift ini juga ditambahkan dengan pemilih mod pemanduan Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) dan sistem X-Mode dwi-fungsi bagaru dengan ketetapan ‘dirt’ dan ‘mud’.
Perubahan terbesar yang diberikan sudah tentu dengan adanya bantuan pemandu EyeSight, yang sebelum ini telah ditawarkan di beberapa pasaran lain tapi baru kini didatangkan di Malaysia, dan diperkenalkan buat pertama kalinya menerusi model terkini Forester. Ciri keselamatan ini didatangkan secara standard untuk semua varian XV dan ditambah dengan brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, amaran ketibaan lorong, kepekaan ketibaan hadapan dan kawalan salahguna pedal. Dengan penambahan ciri ini, kosnya juga bertambah sebanyak RM8,000 berbanding model sebelum ini.
Untuk model facelift ini, tidak banyak perubahan imej yang diberikan. Ia hanya ditambahkan dengan bampar hadapan yang disemak semula dengan sudut berbentuk-L, kemasan gril baharu, lampu hadapan yang direka semula dan roda aloi dua-tona 17-inci. Selain itu, GT Edition ini turut ditambah dengan spoiler bampar hadapan dan belakang, skirt sisi yang lebih dalam dan kemasan perak.
Imej dalamnya pula lebih kurang dengan Impreza dan ditambah dengan kemasan jahitan jingga. Selain itu, Subaru telah memberikannya tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala bersama fungsi memori, cermin sisi yang boleh dicondongkan secara automatik dan juga penahan brek auto. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan unit utama baharu iaitu dengan sistem Panasonic bersama skrin sesentuh lapan-inci dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri standard lain termasuk lampu utama LED adaptif, lampu kabus, rel bumbung, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear, kawalan suhu automatik dwi-zon, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, pedal aloi dna kamera undur. GT Edition turut menerima balutan kulit untuk tempat duduk dan juga kamera 360-darjah dengan pandangan 3D.
Kedua-dua varian ditawarkan dengan enam pilihan warna, termasuk Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl dan Pure White. Warna Cool Grey Khaki, yang ditunjukkan di sini, telah diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak 2018.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.