Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, pelbagai cara masyarakat kita buat untuk berjimat tak kira dalam apa jua perkara. Ini termasuklah hal penyelenggaraan kereta.

Ada di antara kita yang lebih cenderung untuk membeli sendiri alat ganti sama ada di kedai alat ganti kenderaan, mahupun melalui platform beli-belah atas talian bagi mendapat harga komponen yang lebih murah. Namun kebiasaannya pihak bengkel agak tidak gemar dengan perkara ini dan menimbulkan perselisihan dengan pelanggan.

Pelanggan macam biasa, bila terjadi perkara seperti ini, pihak bengkel akan dituduh “nak untung lebih”. Tapi betul ke perkara ini adalah kerana keuntungan semata-mata? Sebenarnya apa yang digusarkan oleh pemilik bengkel adalah lebih daripada itu.

Alat ganti yang ditukar adalah berdasarkan diagnosis mekanik

Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

Ada pelanggan yang kadang kala membuat diagnosis sendiri terhadap kereta mereka tanpa sebarang pengetahuan dan pengalaman yang luas. Ada juga yang suka bertanya rakan-rakan dalam media sosial berkenaan masalah yang dialami kereta mereka bagi mengetahui punca kerosakan tersebut, sedangkan rakan-rakan yang menjawab soalan berkenaan juga bukan pakar dalam bidang pembaikan kenderaan.

Contohnya apabila enjin mengalami gejala ‘misfiring’ – ia menjadi kurang kuasa dan bergegar kerana salah satu silinder enjin tidak berfungsi. Memang lazimnya masalah ini terjadi kerana palam pencucuh sudah rosak, atau mungkin salah satu kabel palam pencucuh tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik. Namun kedua-dua faktor ini hanya sebahagian punca mengapa terjadinya misfiring, dan ada pelbagai lagi kemungkinan lain yang boleh menyebabkan masalah yang sama.

Jadi bagaimana sekiranya enjin kereta anda misfire dan anda terus membeli palam pencucuh dan juga kabel baru sendiri di kedai alat ganti, kemudian membawa kereta ke bengkel untuk menukar komponen tersebut, tetapi selepas itu masalah itu masih juga belum selesai? Duit anda juga yang rugi bukan?

Ingat, mekanik bukan bomoh. Mereka tak boleh buat diagnosis dengan cara anda hanya memberikan simptom-simpton yang terjadi melalui telefon, dan tidak boleh membuat ‘tafsiran’ yang tepat sekiranya lampu ‘check engine’ menyala. Cara yang paling bagus adalah bawa kereta anda ke bengkel untuk mekanik melakukan proses diagnosis, selepas itu barulah buat keputusan alat ganti mana yang perlu ditukar.

Ada risiko anda beli salah alat ganti

Membeli alat ganti ini sebenarnya memerlukan kemahiran. Ini kerana sesebuah model itu bukan sahaja dihasilkan dengan pelbagai varian yang mungkin diberikan komponen berbeza antara satu lain, malah pembuat pihak ketiga untuk satu-satu alat ganti tersebut juga terdiri dari pelbagai syarikat pengeluar berbeza.

Kadang kala, satu model yang sama dengan varian yang sama, mungkin rekaan satu-satu komponen tersebut berbeza mengikut tahun bila kereta berkenaan diproduksi. Malah ada juga kes di mana anda beli sendiri alat ganti berdasarkan nombor komponen (part number) yang tertera pada komponen berkenaan, ianya masih mempunyai perbezaan kecil yang menyebabkan ia tidak boleh dipadankan pada kereta anda.

Jadi bagaimana sekiranya alat ganti yang anda beli tersebut tidak sesuai atau tidak boleh dipadankan pada kereta anda? Ini bukan hanya akan menyusahkan diri anda sendiri untuk menukar semula alat ganti tersebut (lebih susah kalau anda beli secara online!) dan mencari komponen sesuai, malah akan menyusahkan pihak bengkel kerana kereta anda ‘tersadai’ di premis mereka, memakan ruang yang sepatutnya mereka boleh guna untuk membaiki kereta lain.

Bengkel tidak mahu ambil risiko

Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

Walaupun anda beli satu-satu komponen alat ganti tersebut baru dari kedai, bukan bermakna alat ganti berkenaan bebas dari sebarang kecacatan (defect) dari kilang. Ini sebenarnya yang dirisaukan oleh pihak bengkel – mereka gusar akan dituduh merosakkan alat ganti berkenaan, padahal ia memang sudah rosak dari kilang. Tak pasal-pasal kena ganti baharu untuk anda.

Risiko ini akan lebih tinggi sekiranya anda membeli komponen alat ganti recond (juga ada dijual di kedai alat ganti, sebagai pilihan alternatif lebih murah dari komponen 100% baharu), dan juga alat ganti terpakai.

Sekiranya pihak bengkel sendiri yang membekalkan alat ganti tersebut kepada anda, mereka tidak ada masalah untuk menuntut waranti bagi komponen yang rosak berkenaan dari pihak pembekal, dan tiada sebarang risiko yang mereka perlu risau.

Keuntungan memang jadi salah satu faktor

Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

Ya, keuntungan pihak bengkel memang menjadi salah satu faktor mengapa anda tidak patut bawa alat ganti sendiri ke bengkel. Anda perlu faham, sesebuah bengkel itu dibuka memang sebagai salah satu cara untuk berniaga dan mencari rezeki, mereka bukan badan kebajikan.

Anda rasa kos sara hidup tinggi menyebabkan anda susah? Begitu juga dengan tuan punya bengkel, mereka juga manusia. Sewa bangunan dan bil-bil perlu dibayar, segala peralatan pembaikan dalam bengkel perlu sentiasa diselenggara, gaji pekerja perlu diberikan mengikut masa, dan pelbagai perkara lagi yang memerlukan kos dikeluarkan. Jadi komponen yang mereka beli dari kedai alat ganti, perlu dijual kepada anda dengan sedikit keuntungan, sebab itulah harga tersebut menjadi lebih tinggi berbanding anda beli terus di kedai alat ganti.

Pernah tak anda cuba bawa sendiri nasi, ayam, ikan bilis, bawang dan sebagainya ke restoran, kemudian suruh tukang masak di situ masak nasi goreng untuk anda dan anda cuma bayar kos upah masak? Apa jadi kalau anda buat ‘perangai’ seperti itu di restoran? Jadi sama-samalah kita menghormati hak antara satu sama lain. Bukan mudah untuk menjadi seorang mekanik dan juga pemilik bengkel, ilmu, kemahiran dan pengetahuan mereka untuk menyelenggara kenderaan kita bukan diperolehi dalam masa sehari-dua.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Pelanggan mekanik bomoh on May 24, 2022 at 9:33 am

    Tajuk sepatutnya, “Para mekanik, ketuhui cara-cara kaut lebih untung dari pelanggan”

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • Mekanik cekik darah on Jun 11, 2022 at 11:13 am

    Nampak sangat bengkel ambik DOUBLE CHARGE…. 1) markup harga barang kaw2 2) upah kononnya buat kerja…. Smg cepat melingkup…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required