Projek pembangunan litar lumba di Sungai Petani Kedah sudahpun disebut-sebut sejak 2014. Namun setelah beberapa kali bertukar kepimpinan kerajaan negeri, bayang litar berkenaan masih juga belum nampak. Apa sudah jadi?
Menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, pembinaan litar yang sebelum ini berjalan, namun tertangguh sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan dana. Beliau menyatakan bahawa pembinaan litar tersebut akan menggunakan reka bentuk asal yang menelan kos RM30 juta. Oleh itu, kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian tanah yang akan dibangunkan litar lumba tersebut untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pembinaannya
“Tanah untuk dibangunkan litar itu luas ada 100 ekar (40.4 hektar) lebih. Tanah itu milik Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan litar itu dan RM10 juta dibelanjakan untuk kerja tanah bagi pembinaan litar itu.
“Sekarang baki tinggal RM20 juta dan memang tidak cukup untuk membina litar itu dan perlu cari dana lain. Selain itu bayaran kepada pihak perunding projek RM890,000 juga tidak dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” katanya dalam laporan Bernama.
Rancangan untuk membina litar lumba di Sungai Petani ini telah diumumkan pada 2014 oleh Menteri Besar Kedah ketika itu, Mukhriz Mahathir. Litar sepanjang 1.6 km tersebut dijangka akan siap pada 2017.
Walau bagaimanapun tiada sebarang litar kelihatan pada 2017, apabila Perdana Menteri ketika itu Najib Tun Razak mengumumkan bahawa beliau telahpun meluluskan dana berjumlah RM30 juta bagi membangunkan litar di Sungai Petani berkenaan.
“Litar ini akan memberi manfaat kepada golongan belia, Mat Rempit tidak perlu lagi berlumba atas jalan raya. Mereka boleh berlumba sepuas-puasnya di atas litar selepas ini,” kata Najib ketika itu yang menyatakan bahawa sasaran pembinaan litar berkenaan adalah untuk menghentikan masalah lumba haram.
Namun Menteri Besar Kedah ketika itu, Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bahawa kerajaan Kedah tidak mahu tergesa-gesa untuk membina litar berkenaan kerana kos untuk menyelenggara litar tersebut mungkin tinggi.
Manakala Muhammad Sanusi pula mendedahkan tempoh hari bahawa kerajaan negeri sebelum ini mengubah pelan asal litar itu untuk menjadikannya lebih besar dengan menggunakan piawaian antarabangsa membabitkan kos RM73 juta, kemudian ia terhenti kerana kos tinggi dan KBS juga tidak dapat menyalurkan peruntukan tambahan diperlukan.
Menurut beliau lagi, bagi memastikan projek itu dapat berjalan semula, kerajaan negeri akan menggunakan pelan dan reka bentuk asal membabitkan kos RM30 juta, namun perlu mencari sumber dana baharu bagi menampung kekurangan peruntukan.
“Sekarang ini kita di peringkat jual tanah. Tanah itu akan dibahagikan kepada dua bahagian dengan sebahagian akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baharu,” katanya.
Muhammad Sanusi turut tidak boleh memberikan jangkaan bila litar berkenaan akan siap buat masa ini memandangkan pihaknya masih di peringkat mendapatkan dana yang akan membabitkan proses pindah milik tanah dan pembayaran dengan pelbagai pihak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.