Prodrive P25 – model kelahiran semula Subaru 22B, 400 hp, terhad hanya 25-unit, akan didedahkan Jun ini

Prodrive P25 – model kelahiran semula Subaru 22B, 400 hp, terhad hanya 25-unit, akan didedahkan Jun ini

Pada tahun 1998, Subaru telah menghasilkan model edisi terhad 22B STi, iaitu Impreza istimewa yang dibuat hanya 424 unit sempena meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut dan ulangtahun ke-40 Subaru.

Model berkenaan bukan hanya menampilkan perincian kosmetik istimewa, tetapi ia dihasilkan jauh lebih berkuasa dari Impreza WRX STi biasa, menampilkan kit badan lebih lebar seiras dengan jentera rali Impreza WRC 1997. Tak boleh dinafikan, 22B merupakan Impreza paling ikonik pernah dihasilkan berbanding versi-versi lain, dan ia kini mempunyai nilai jualan semula melebihi RM1 juta.

Berita baik, Prodrive iaitu firma kejuruteraan British yang mengendalikan Subaru World Rally Team (SWRT) sejak ia ditubuhkan pada 1989 sehingga jenama tersebut menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada 2008, mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan model edisi terhad Prodrive P25, iaitu model jelmaan semula 22B tetapi diberikan pelbagai perincian yang lebih moden dan lebih berkuasa.

Hanya 25-unit P25 akan dihasilkan, sempena kemenangan pertama Impreza spesifikasi WRCar (undang-undang yang mula digunakan pada 1997 bagi menggantikan spesfikasi Group A sebelum itu) dalam WRC 25 tahun lalu. Model ini dibangunkan sepenuhnya oleh Prodrive di fasiliti mereka di Banburry, dan bakal membuat kemunculan sulung pada acara Goodwood Festival of Speed Jun nanti.

Dalam pengumuman yang dibuat, ia turut disertakan dengan lakaran P25 tersebut – menunjukkan ia tampil dengan rupa sama seperti Subaru 22B/Impreza WRCar 1997 dengan kit badan lebar, bampar hadapan serta sayap belakang yang ketika itu direka oleh pereka British, Peter Stevens.

Model asli Subaru 22B STi 1998

Ia juga dilihat tampil dengan warna badan biru Subaru yang ikonik, serta brek dari AP Racing dan cermin sisi seiras kereta WRC binaan Prodrive sebelum ini. Keseluruhan aspek kejuruteraan P25 ini akan diselia oleh pengarah teknikal Prodrive, David Lapworth, iaitu individu sama yang bertanggunjawab dalam pembangunan jentera Impreza WRC sebenar.

Menurut Prodrive, P25 ini akan dijana oleh enjin boxer dengan kapasiti 2.5 liter berkuasa 400 hp, berbanding 2.2 liter 280 hp pada versi asal 22B. Enjin tersebut akan dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan separa automatik bersama pedal penukar gear. P25 ini juga akan diasaskan dari casis yang lebih ringan, serta menggunakan banyak komponen dari material gentian karbon.

“Impreza 22B yang asli boleh dianggap sebagai Subaru yang paling ikonik dan paling dicari-cari. Kami mahu menambahbaik setiap perkara yang membuatkan kereta tersebut sangat istimewa dengan memberikan teknologi terkini bagi menghasilkan interpretasi kami sendiri terhadap kereta yang telah terkenal dalam sejarah permotoran,” kata pengerusi Prodrive, David Richards yang juga individu pertama mengutarakan idea bagi menghasilkan P25 ini.

Prodrive menyatakan bahawa mereka kini sedang mengambil respon orang ramai terhadap P25 berkenaan, namun unit-unit awal dari 25-unit kereta tersebut bakal diserahkan kepada pelanggan pada tahun ini juga.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required