Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Sepanjang penghasilannya dari model pertama pada tahun 1992, sehingga generasi terkini, Subaru Impreza WRX (hanya dikenali sebagai Subaru WRX sahaja untuk model-model terbaharu) hadir dalam pelbagai versi edisi terhad. Selain model-model tingkat taraf yang lebih berkuasa dihasilkan oleh badan penalanya, Subaru Technica International (STI) seperti siri S201 sehingga S209, Subaru turut menghasilkan banyak model bagi meraikan kejayaan-kejayaan mereka di kancah Kejuaraan Rali Dunia (WRC).

Antara model berkenaan adalah seperti Series McRae sempena gelaran Juara Dunia yang diperolehi oleh Colin McRae pada tahun 1995, Impreza WRX RB5 sempena ‘kepulangan semula’ Richard Burns ke pasukan Subaru pada tahun 1999 setelah berhijrah sementara ke Mitsubishi Ralliart (5 adalah nombor kereta Richard Burns dalam WRC), dan juga Impreza WRX P1 yang dihasilkan pembina kereta WRC Subaru iaitu Prodrive.

Dan yang paling lagenda dari antara semua model edisi terhad ini sudah tentu Subaru Impreza 22B STI yang diperkenalkan pada tahun 1998. Kereta ini dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, dan juga meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997.

Antara faktor yang menjadikan kereta ini sangat ikonik sudah tentu pada rupanya – ia dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997, direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven.

Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380.

Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan.

Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas.

Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik.

Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo sama seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa.

Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30.

Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik.

Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Subaru hanya menghasilkan sejumlah 424 unit 22B STI ini. Ia terdiri dari tiga unit prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!) dan lima unit dibawa ke Australia.

Manakala 16-unit selebihnya adalah model yang dihasilkan untuk pasaran United Kingdom, dikenali sebagai Subaru Impreza 22B STI Type UK. Kesemua 16-unit tersebut telah dibawa ke UK dan diolah semula untuk kesesuaian di negara berkenaan, dibuat oleh Prodrive.

Antara perkara yang disentuh semula oleh firma kejuruteraan perlumbaan yang berpusat di Banbury berkenaan adalah memanjangkan lagi nisbah pada kotak gear, agar ia tidak ‘mengerang’ ketika dipandu di lebuh raya.

Pernahkah anda terfikir, apa sebenarnya maksud di sebalik nama ’22B’ ini? Ada yang mengatakan, ’22’ bermaksud enjin EJ22 yang digunakan, manakala ‘B’ pula bermaksud suspensi Bilstein yang dilengkapkan pada model edisi terhad ini. Ya, tidak salah, tetapi ada lagi satu maksud yang diselindungkan oleh Subaru disebalik nama berkenaan.

Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Untuk pengetahuan anda, 22B ni sebenarnya kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut:

2x16x16 = 512
2×16 = 32
B = 11

Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Tajaan dari syarikat tersebut dari era 90’an hingga pasukan Subaru World Rally Team menarik diri WRC pada tahun 2008 membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan.

Dengan nilai sejarah yang begitu tinggi, berapa pula harga Subaru Impreza 22B ini dalam pasaran sekarang? Unit yang anda nampak dalam gambar yang kami siarkan ini adalah unit yang sememangnya untuk dijual oleh laman Appreciating Classics.

Subaru Impreza 22B STI – kini berharga RM1.57 juta!

Walaupun ia berada di UK, ini bukan 22B Type UK, sebaliknya adalah antara unit terawal dari pasaran Jepun yang berjaya dibeli individu dari UK untuk dibawa pulang. Berdasarkan plat produksi yang berada dalam kabin, ini adalah unit yang ke-309 dari 400-unit 22B JDM.

Menurut laman tersebut, tujuan kereta ini dibeli dahulu sememangnya untuk pelaburan masa hadapan. Oleh itu ia dipandu seminima yang mungkin, dan meter perbatuannya hanya mencatatkan 270 km walaupun sudah berumur 22-tahun! Malah plastik pada tempat duduk belakang dan juga pelekat pada tayar Pirelli P Zero kereta ini juga masih ada!

Pemilik kereta ini juga telah membuat servis rutin bagi memastikan bahagian-bahagian kritikal tidak terjejas kerana tidak berjalan. Antaranya menukar timing belt bersama pulley, pam air, kesemua minyak, bendalir dan juga penapis – tentunya semua ini menggunakan alat ganti tulen.

Selain itu, semua yang ada pada 22B ini adalah asli dari kilang. Dan harga untuk anda memiliki kereta ini adalah 295,000 pound sterling, atau sekitar RM1.57 juta! Sekarang, siapa cakap nak melabur tak boleh beli kereta?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required